Saturday, 28 February 2015

Tips berjimat-cermat untuk pelajar U

Mengalami situasi selalu kekura­ngan wang perkara biasa sebagai pelajar kolej atau universiti. Sebenarnya tempoh belajar masa terbaik untuk remaja melatih diri mengurus kewangan.

Ada beberapa cara boleh diamalkan untuk mengelak pelajar berasa sangat kesempitan wang di kampus. 

Gen Y kongsi amalan mengawal perbelanjaan untuk siswazah di luar sana praktikkan.

1. Jimat perbelanjaan makan

Berjimat dalam perbelanjaan ke atas makanan tidak bererti kurangkan makan dalam seharian. Ia bermaksud jangan berbelanja berlebihan dalam membeli makanan. Pakar mengatakan sebagai pelajar mempunyai empat set makanan iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam dalam sehari sudah mencukupi.

Jangan membeli makanan yang mahal selalu dan jangan terikut-ikut lepak di kafe atau restoran mahal hanya untuk mengambil gambar dan menunjukkannya di laman sosial. Tidak salah jika mahu merasakan sesuatu makanan mahal untuk memberi ganjaran ke atas diri sendiri, namun jangan jadikannya alasan dan amalan.

Boleh berjimat juga dengan membeli makanan yang boleh disimpan agak lama, namun masih sihat untuk dimakan dan jadikannya sebagai hidangan dalam set makanan. Contohnya, mungkin boleh beli roti dan jem yang tahan selama seminggu untuk hidangan sarapan atau minum petang. Dari situ saja boleh jimat banyak wang berbanding makan di kafe atau restoran.

2. Beli buku terpakai

Buku yang sudah digunakan atau dalam terma yang biasa digunakan, terpakai, jauh lebih murah daripada buku baru di kedai. Tanyalah kepada senior di kampus sama ada mereka mahu menggunakan buku teks atau rujukan yang sudah gunakan semasa di semester kamu sekarang. Namun, pastikan edisinya masih relevan dan disyorkan pensyarah supaya ia boleh digunakan nanti.

Amalan ini juga boleh dilakukan untuk membeli novel atau bahan bacaan lain.

3. Diskaun pelajar

Antara cara yang bagus untuk berjimat ketika bergelar siswazah adalah dengan membeli di kedai atau restoran yang mempunyai diskaun atau potongan harga khas untuk pelajar. Ramai pelajar tidak sedar beberapa kedai dan restoran menawarkan diskaun untuk pelajar daripada 5 peratus hinggalah 20 peratus.

Jika ia tidak ditulis di tag harga atau kedai, janganlah malu bertanya kepada jurujual.

4. Belajar secara online

Waktu bergelar pelajar memang satu masa sesuai untuk belajar tentang skil atau ilmu lain kerana mungkin banyak masa yang terluang. Contohnya ada yang ingin belajar bahasa Perancis, belajar berenang atau sebagainya.

Untuk berjimat, dicadangkan belajar melalui kelas dalam talian. Banyak bahan bacaan dan tutorial yang terdapat dalam laman web khas dan media sosial seperti YouTube misalnya. Jadi tak perlulah membayar yuran bulanan atau caj lain yang selalunya mahal.

5. Jangan menunjuk

Sebagai pelajar tidak sesuai untuk kita menunjuk-nunjuk terutama jika bukan daripada keluarga kaya raya. Jika melihat kawan lepak di cafe mahal, pakai baju berjenama atau memiliki gajet pintar yang mahal tidak perlulah kita juga terikut-ikut dan berbelanja seperti mereka.

Bergayalah mengikut kemampuan. Apa yang penting keyakinan diri diiringi rasa rendah diri supaya kita tidak mengalami masalah kewangan yang boleh menyusahkan diri sendiri nanti.

Hmetro