Monday, 16 February 2015

Tindakan diambil terhadap wanita yang berpakaian ketat

Berkuatkuasa serta merta, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan mengambil tindakan ke atas umat Islam yang berkelakuan tidak senonoh dan berpakaian menimbulkan keghairahan di tempat awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah JHEAT, Moktar Salleh berkata, penguatkuasaan itu akan dilakukan anggota JHEAT dalam operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasa lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, tindakan ke atas remaja lelaki dan wanita Islam itu terpaksa dilakukan selepas JHEAT menerima banyak aduan terutama dalam kalangan ibu bapa.

"Hasil tinjauan rambang dilakukan, kita dapati perbuatan tidak sopan dan pergaulan terlalu bebas serta berpakaian mencolok mata sehingga menimbulkan keghairahan oleh golongan remaja semakin serius.

"Ketika menyertai operasi bersepadu di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu Sabtu lalu, seramai tujuh remaja wanita berpakaian ketat termasuk seorang lelaki berpakaian wanita dikenakan tindakan," katanya.

Moktar yang juga Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) berkata, tindakan pertama dikenakan dengan memberi notis kepada mereka untuk menghadiri dan menjalani proses kaunseling bersama ibu bapa di ibu pejabat JHEAT.

BHarian