Wednesday, 11 February 2015

"Ikatan kasih tidak sesekali kan terlerai..air mata mengiring ketabahan Anwar.." - Wan Azizah -

Tangisan keluarga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memuktamadkan beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 30, tujuh tahun lalu.

Di samping itu, pelbagai situasi luar biasa berlaku. Ia termasuk tindakan barisan hakim bertindak keluar dari kamar apabila Anwar mengecam sistem kehakiman negara semasa diberi ruang untuk mengemukakan rayuan.

Hiba dalam pelukan sang suami
Kerosakan kecil sistem pembesar suara juga mengganggu bacaan penghakiman. Namun, suasana di dalam galeri awam Dewan 1 Mahkamah Persekutuan yang dipenuhi ahli keluarga, pemimpin PR dan penyokong Anwar bertukar suram sejurus keputusan diumumkan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang menolak rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Membacakan keputusannya yang mengambil masa kira-kira dua jam itu, Arifin berkata pendakwaan berjaya buktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Ketika keputusan itu mula dibacakan, Anwar yang pada mulanya tenang di kandang tertuduh dilihat beberapa kali berpaling ke belakang memandang ke arah isteri dan anak-anaknya.

Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pembelaan memohon mahkamah ditangguhkan seketika sebelum mengemukakan hujahan untuk diambil kira sebelum keputusan dibuat.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat tidak dapat menahan sebak dan terus memeluk anak-anaknya.

Bapa Wan Azizah, Wan Ismail Wan Mahmud  juga kelihatan sebak ketika didakap menantunya. “You have to be strong (Bapa perlu tabah)," bisik Anwar ketika itu.

Ketika mahkamah bersidang semula kira-kira jam 1.15 petang, Gopal Sri Ram mengemukakan hujahnya memohon mahkamah mengambil kira sumbangan Anwar kepada demokrasi Malaysia terutama ketika bersama kerajaan.

Katanya, tiada alasan untuk mahkamah menambah hukuman penjara sebaliknya mahkamah perlu mempertimbangkan untuk jatuhkan hukuman lebih ringan.

Pihak pendakwa raya yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun berhujah kesalahan itu serius dan hukuman penjara enam tahun perlu dikenakan.
Wajah sedih Wan Ismail, bapa Dr Wan Azizah ketika keluar dari kamar mahkamah.
Mahkamah itu mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas menolak rayuan peringanan hukuman oleh peguam bela. Arifin turut menolak rayuan pemberatan hukuman yang dikemukakan pendakwa raya.

Sejurus prosiding kes itu berakhir, salah seorang penyokong Anwar yang berada di dalam dewan mahkamah sempat melaungkan ungkapan 'reformasi dan takbir' yang disambut beberapa penyokong dan pemimpin PR.

Anwar kemudian bersalaman dan berpelukan dengan ahli keluarga dan penyokongnya sebelum dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Rayuan akhir Anwar didengar dari 28 Oktober hingga 7 November tahun lalu di hadapan panel lima hakim mahkamah tertinggi negara.

Ketua Umum PKR itu didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 30, di antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara.

Pada 7 Mac 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Hakim Datuk Balia Wahi Yusof yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah dan jatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Sinar Harian