Tuesday, 10 February 2015

Selepas kisahnya tersebar, lelaki ini akhirnya mampu memiliki sebuah kereta

KISAH seorang lelaki di Amerika Syarikat yang sanggup berjalan sejauh 33 kilometer untuk ke tempat kerja pada setiap hari telah menarik perhatian masyarakat untuk menggerakkan tabung derma bagi membantunya.

Sumbangan daripada lebih 11,000 individu berjaya mengumpulkan lebih AS$300,000 (RM1.1 juta), sekali gus membolehkan James Robertson, 56, dari Detroit, Michigan membeli sebuah kereta.

Pengasas kempen di laman GoFundMe, Evan Leedy memberitahu pada awalnya, sasaran mereka adalah hanya AS$5,000 (RM17,735), namun ia telah mencatat kutipan yang jauh lebih tinggi.
Robertson di samping kereta baru miliknya
“Saya hanya mahu memastikan dia memiliki sebuah kereta untuk berulang alik ke tempat kerja. Usaha ini tidak akan berhasil tanpa bantuan orang ramai yang bermurah hati menyalurkan derma di bawah kempen kami,” katanya.

Difahamkan, Robertson mula berjalan kaki hampir sedekad selepas kereta Honda miliknya rosak pada 1988.

Menurutnya, dia tidak berkemampuan untuk membeli kereta baharu kerana gajinya sebagai seorang pekerja kilang di pinggir bandar Rochester Hills hanya AS$10.55 (RM37) sejam.

Robertson akhirnya memilih kereta Ford Taurus untuk kegunaannya ke tempat kerja.

“Kereta ini seakan menggambarkan diri saya. Rekaan luarannya sangat kukuh dan dalamannya ‘kuat’ seperti saya,” katanya dalam nada sebak selepas diberi peluang untuk pandu uji kenderaan tersebut. – The Mirror

Sinar Harian