Wednesday, 18 February 2015

Rumah Ngaji bantu masyarakat memahami Al-Quran

Program Rumah Ngaji menjadi satu pendekatan baru yang ditunggu-tunggu masyarakat yang membolehkan mereka kembali kepada ajaran al-Quran, sekali gus mengamalkan apa yang diajar melalui isi kandungannya.

Timbalan Pengerusi Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah berkata, bagi perkasakan al-Quran tersebut, kaedah mengaji al-Quran sistematik turut diperkenalkan Karangraf melalui undangan guru agama melalui  konsep ‘Celik, Faham, Fasih dan Amal’.

Beliau berkata, memang sukar untuk mengajak masyarakat mengaji al-Quran dan datang ke masjid, namun melalui cara baru itu, ia mampu menarik peserta untuk mendalami al-Quran.

“Masjid Iktikaf Jamek Panji ini adalah masjid kelima daripada 500 masjid terpilih di bawah Program Rumah Ngaji di negeri ini.

“Kita buat projek Rumah Ngaji, letak sasaran di mana semua peserta boleh baca dan mampu milik al-Quran yang mempunyai terjemahan serta senang difahami,” katanya selepas merasmikan Program Rumah Ngaji di Masjid Iktikaf Jamek Panji, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor dan Pengerusi Masjid Iktikaf Jamek Panji merangkap Pengurus Pasukan Young Warriors Belia Kelantan, Jae Affandi Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusof dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Md Noor.

Muhammad Nasir berkata, kaedah yang diperkenalkan Rumah Ngaji juga membolehkan peserta memahami maksud di dalam al-Quran sehingga praktikkannya dalam amalan hidup seharian.

Sementara itu, Marhaini berkata, melalui sistem tiga hari untuk membaca al-Quran di bawah program Rumah Ngaji membolehkan peserta mendalami al-Quran dengan lebih santai dan menarik.

“Semasa wakil Karangkraf lawat Turki, kami tertarik lihat semua orang bersatu dan dapat bina madrasah, jadi melalui program ini, Sinar Harian dapat siarkan apa keperluan masjid ini,” katanya.

Sinar Harian