Friday, 20 February 2015

Pantang larang semasa membuat kuih bakul

Langkah penulis ke bahagian dapur kediaman Yap Kim Sin, 56, serta isterinya, Cham Pa, 47, diiringi suasana sepi,  hanya kelihatan kesibukan pasangan itu menyiapkan tempahan kuih bakul untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Bermula daripada membuat adunan sehinggalah ke peringkat mengukus, kesemuanya dilakukan sendiri oleh pasangan itu dan selama 24 jam, mereka bertungkus lumus menyiapkan kerja-kerja berkenaan.

Itulah pengorbanan pasangan suami isteri ini setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dalam meneruskan tradisi peninggalan nenek moyang mereka.

Titik berat pantang larang

Kim Sin yang lebih mesra dengan panggilan Pakcu King memberitahu, dia dan isterinya masih mengekalkan tradisi lama dalam proses pembuatan kuih bakul termasuk menitik beratkan pantang larang sepanjang proses penyediaannya.

Menurutnya, antara pantang larang yang diamalkan keluarganya dalam proses membuat kuih bakul adalah tidak boleh bercakap sepanjang membuat kuih bakul dan ia telah diamalkan sejak lima generasi.

"Pantang larang tersebut adalah untuk memastikan kuih bakul dibuat dengan sepenuh hati dan sedap dimakan. Ia juga bagi memastikan kuih bakul yang dibuat dapat disimpan lama sehingga mencecah setahun jika disimpan dalam peti sejuk," katanya.

Kim Sin berkata, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, dia akan dibantu isterinya untuk menyediakan kuih bakul dan sebanyak tujuh guni beras dengan setiap guni seberat 24 kilogram digunakan untuk menyiapkan tempahan kuih itu.

Katanya, dia bersama isterinya akan memulakan proses pembuatan kuih bakul sejak awal pagi dengan menguli beras pulut yang dicampurkan gula menggunakan tangan dan ia akan mengambil masa dua jam.

"Adunan yang siap diuli akan dimasukkan ke dalam acuan khas seakan-akan tin susu dan dilengkapi plastik serta daun pisang. Kemudian kuih bakul akan dikukus menggunakan dapur khas.

"Kami masih guna kayu api untuk masak kuih bakul bagi mengekalkan keaslian rasanya. Kuih bakul dikukus seharian sehingga ia betul-betul masak," katanya.

Kim Sun memaklumkan, sekilogram beras pulut hanya dapat menghasilkan empat biji kuih bakul dan sebanyak 50 kg beras pulut perlu digunakan untuk sekali memasak kuih bakul.

Tambahnya, kesemua kuih bakul yang dihasilkan akan disejukkan terlebih dahulu sebelum dibungkus dan diedarkan kepada pelanggan.

Sejarah kuih bakul.

Kuih bakul turut dikenali sebagai Nian Gao atau kuih Tahun Baharu Cina adalah makanan tradisi masyarakat itu yang diperbuat daripada tepung pulut dan bentuknya seperti dodol.

Sungguhpun ia boleh dimakan pada bila-bila masa, namun secara tradisinya, kuih ini lebih laris dijual dan lebih banyak disediakan pada Tahun Baharu Cina.

Bersesuaian maksud 'nian gao' iaitu 'setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan', masyarakat Cina percaya, tradisi memakan kuih bakul pada perayaan tersebut boleh membawa tuah.

Di Asia Tenggara termasuk Malaysia, kuih bakul dimakan begitu sahaja atau dicecah dengan kelapa parut selain digoreng bersama ubi, keledek atau telur serta direbut untuk membuat pelbagai jenis sup.

Bagi masyarakat Kantonis, kuih bakul dihidangkan sebagai puding berperisa air ros atau adunan kacang merah, manakala bagi masyarakat di Shanghai, kuih bakul dihiris nipis dan dicampurkan ke dalam sup serta masakan goreng yang mempunyai lauk pauk.

Sinar Harian