Sunday, 1 February 2015

Polis tu minta lima puluh ringgit...

Duduk bersembang di surau suatu pagi, seorang jemaah berkata,
"Aku hilang lima puluh ringgit kelmarin, kena tahan polis, tak pakai topi keledar. Buat selesai, polis tu minta lima puluh ringgit.”

Saya mencelah, "Jika hang mati pagi ini, masuk neraka dengan kerana lima puluh tu.

Sabda Nabi, “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka”.  (riwayat At Tirmidzi).

Dia terkejut dan tergamam.

Kita selalu mendahulukan tindakan yang memudahkan dan melepaskan diri sebelum merujuk kepada agama. Bila kena tahan dengan polis, maka jalan keluar beri rasuah dalam istilah " boleh berkira, atau boleh runding".

Bila test lori di Puspakom dan tak lulus, boleh berkira. Bila penguatkuasa bandaran nak ambik tindakan, boleh berkira. Bila pi sempadan Siam, nak masuk tak ada pas sempadan, bagi seringgit dua kat polis Siam, nak dapat projek, bagi hadiah pada pegawai dan 1001 gaya rasuah lagi.

Semuanya rasuah dan diancam dengan neraka.

Betul kita terlepas di dunia yang sedikit sahaja kepayahannya, tetapi kena terjun ke neraka yang dahsyat siksaannya. Memberi rasuah bermakna menggalak orang berbuat dosa, membiayai orang makan sumber haram termasuk anak isterinya.

Jangan seronok tak kena saman kerana beri rasuah. Lebih baik kita korbankan sejumlah wang membayar saman dan tak perlu menjawab di hadapan Tuhan.
Anak saya pernah disaman kerana menunggang motor saya. Ada juga tawaran untuk runding tapi kami tolak, akibatnya tiga saman dikenakan RM300.

Pada saya ok, kerana saya dah buat satu suruhan Tuhan iaitu menegah mungkar bila kami menolak permintaan rasuah. Saya juga tidak mahu beri rasuah bila lori saya tidak lulus test Puspakom walau telah 4 kali masuk.

Jika anda terkena situasi begini,  minta dilepaskan tanpa rasuah, jika tidak biarlah disaman. Jika mereka minta rasuah, inilah ruang yang Tuhan beri untuk anda berkata demi menegah mungkar. Ambillah kesempatan ini untuk menegah mungkar.

Mungkin anda ditahan itu sebagai ujian Tuhan, mungkin juga sebagai peluang yang Tuhan buka. Jadi jangan pula jadikan ia sebagai tiket ke neraka.

Beri rasuah dalam perjalanan, maka perjalanan anda tidak diberkati, moga anda tidak kemalangan dan mati, bimbang anda terus ke neraka Allah. Beri rasuah kerana mendapatkan sesuatu, maka apa yang diperolehi itu menjadi haram seluruhnya. Beri rasuah untuk luluskan sesuatu, maka haramlah apa yang terhasil darinya. Jangan kahwinkan kambing yang halal dengan babi yang haram kerana yang terbit nanti akan menjadi haram.

Rasuah berleluasa kerana ada pemberi. Jika semua orang sanggup menerima kesalahannya, tidak berusaha mendapat sesuatu tanpa ikut saluran dan peraturan, rasuah sukar untuk ujud. Seperkara lagi, marilah kita menegah perbuatan rasuah ini dengan nasihat dan peringatan.

Dua tiga hari lepas saya menelefon ketua balai polis Tikam Batu dan mengingatkannya tentang pegawai bawahnya yang selalu dilihat meminta wang dari pendatang dan dari pesalah lalu lintas. Saya dah bersedia untuk mengambil gambar dan video perbuatan mereka jika berterusan.

Saya menyeru semua, jom kita mula bertindak kepada siapa saja yang mengambil rasuah. Adu pada SPRM, ketua yang di atas, siar dalam fb.

Itulah menegah mungkar, sesuatu yang melengkap diri sebagai Muslim sebenar iaitu kita diwajib melaksana amal makruf dan menegah mungkar. Beramal makruf sahaja tidak melengkapkan kita sebagai Muslim sebenar.

Tulisan: Cikgu Abdul Ghani Haron