Wednesday, 25 February 2015

Penyamun dibelasah sampai mati

Percubaan seorang lelaki untuk menyamun seorang wanita, berakhir dengan dia mati dibelasah oleh suami mangsa di luar sebuah rumah di Air Kuning Tambahan, Gemencheh, 30 kilometer dari sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 49 tahun itu ditemui terlentang dengan tangan diikat ke belakang, menggunakan tali rafia. Satu topeng juga ditemui di situ.

Lokasi di mana mayat suspek ditemui, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam yang memberitahu terdapat pergaduhan di kampung itu.

“Sebaik tiba di lokasi, lelaki itu ditemui sudah mati. Turut ditemui di lokasi kejadian ialah sebilah pisau, dua biji batu dan serpihan batang paip," katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar 12.30 tengah malam apabila lelaki itu menyerang pasangan suami isteri berusia 57 dan 50an itu yang baru tiba di kawasan rumah selepas membeli makanan.

Menurutnya, sebaik sahaja si isteri, seorang warga Singapura, turun dari kereta, dia diserang lelaki tersebut.

"Si suami cuba meleraikan pergelutan dengan memukul lelaki itu dengan batang paip. Si isteri cedera di lengan kiri dan luka pada jari telunjuk.

"Wanita itu dibawa ke klinik kesihatan berdekatan oleh suaminya sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan," katanya.

Kooi Cheang berkata, polis sedang mencari waris si mati, yang dipercayai dari Cheras, Kuala Lumpur.

“Mayatnya kini di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat," katanya.


Beliau meminta mereka yang ada maklumat mengenai kes itu menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tampin, Asisten Superintendan Mohd Safari Sidik atau Asisten Superintendan P Pusparani di talian 06-4411222 untuk membantu siasatan.

Kooi Cheang menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak memukul suspek jenayah.

“Orang ramai hendaklah menangkap dan menyerahkan suspek kepada polis. Memukul suspek sehingga cedera atau mati menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun serta mencederakan orang, serta seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, polis sudah mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri berkenaan semalam.

Sinar Harian