Monday, 23 February 2015

Opah Piah, 74 tahun, pakar tebar roti canai

BATU GAJAH – Jika di Jalan Teknik, Alor Setar Kedah popular dengan kisah penebar roti canai berusia 17 tahun, Chantal Viola, 17, yang berasal dari Rome, Itali, di Kampung Changkat Tin di sini tidak kurang hebatnya apabila terdapat seorang wanita yang mahir dan masih mampu menebar roti canai walaupun sudah mencecah usia emas.

Sufiah Mohd Tahir, 74, atau lebih mesra dengan panggil Opah Piah tidak kekok menebar 80 roti canai, setiap hari walaupun pekerjaan itu sinonim dengan golongan lelaki.

Kemahiran itu diwarisi daripada arwah suaminya ketika memulakan perniagaan di Ipoh sekitar tahun 90-an.

Opah Piah yang merupakan penduduk asal di Kampung Changkat Tin gembira kerana masih diberikan kesihatan yang baik untuk terus bekerja walaupun kebanyakan wanita seusianya sudah tidak berupaya berbuat demikian.

Tak boleh duduk diam

Opah Piah berkata, selepas sekian lama berniaga di Ipoh, dia dan suaminya ke kampungnya dan memulakan perniagaan di situ sehinggalah suaminya meninggal dunia pada 2002.

Katanya, sejak ketiadaan suami, dia berasa gusar kerana tidak dapat berniaga sehinggalah dia berpakat dengan seorang rakan, Hapipah Shaari, 46, untuk membeli sebuah kedai makan.

"Sejak itu, saya bekerja dengan Hapipah hingga hari ini. Sebelum ini memang saya tebar roti, jadi bila bekerja dengan pemilik baharu ni pun saya minta kerja menebar roti diserahkan kepada saya,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kemahiran menebar roti canai dipelajarinya daripada arwah suaminya dan kemudiannya diturunkan pula kepada anak tunggal dan cucunya.

Katanya, walaupun kedua-dua warisnya itu tidak membuka kedai makan namun mereka mampu menebar roti dengan baik.

Opah Piah berkata, dia tidak boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa kerja kerana dari kecil sudah diasuh mencari rezeki.

“Pernah Hapipah tutup kedai sehari kerana ada urusan, masa tu saya rasakan lama sangat. Satu hari tu nak dihabiskan kerana asyik duduk rumah untuk tunggu esok.

“Saya jadi serba tak kena kalau satu hari itu tidak bekerja malah saya pun bukan jenis yang suka berjalan walaupun di usia seperti saya ramai yang sudah duduk di rumah dan tidak bekerja,” katanya.


Gemar makan ulam

Opah Piah berkata, dia bersyukur kerana diberikan kesihatan tubuh badan oleh ALLAH SWT dan masih mampu bekerja di usia 74 tahun.

Tersenyum apabila ditanya rahsianya kekal sihat dan cergas, Opah Piah berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua khusus tetapi percaya amalan pemakanan yang baik sejak usia muda banyak mempengaruhi kesihatan dirinya kini.

“Saya tak ada makan apa-apa pun cumanya kita ni orang kampung jadi makan ulam-ulaman tu dah jadi kebiasaan la, mungkin la juga sebab makan ulam-ulam yang pahit ni buat saya sihat, tak tahulah pula saya.

“Sakit lenguh badan, sakit kepala tu adalah juga cuma penyakit yang kronik tu memang tak ada, Alhamdulillah. Ulam yang pahit tu orang kata ada khasiat, jadi memang itulah yang saya makan,” katanya.

Menurutnya, dia mahu terus bekerja hingga menutup mata atau Hapipah sudah tidak lagi berniaga.


Terkejut kisah jadi viral

Sementara itu, Hapipah berkata, dia terkejut melihat gambar Opah Piah menjadi viral di laman sosial baru-baru ini sedangkan sudah lama warga emas itu membantu di gerainya.

Katanya, gerainya yang beroperasi sejak 15 tahun lalu kerap dikunjungi pelanggan, namun disebabkan berita itu tersebar di laman sosial, ia menjadi bualan penduduk kampung termasuk pelanggan luar.

“Kebiasaannya orang luar pasti akan datang dekat untuk melihat sendiri Opah Piah menebar roti canai, malah ada di antaranya yang mengambil gambar dan video.

“Biasanya orang akan tanya apa rahsia opah sihat walaupun sudah berumur 74 tahun dan soalan selalu ditanya orang ramai adalah berapa umurnya,” katanya.

Menurutnya, dia amat kagum dengan kegigihan Opah Piah walaupun di usia 74 tahun, warga emas itu gigih bekerja untuk mencari rezeki.

“Jam 3 pagi dia akan tunggu saya ambil di rumahnya dan bila sampai di gerai, Opah akan mula bekerja kerja hinggalah kedai dibuka pada enam pagi sampai tengah hari,” katanya.

Sinar Harian