Monday, 2 February 2015

Nicol cipta rekod dunia

RATU skuasy negara Datuk Nicol David mencipta rekod dunia baru apabila dapat bertahan selama 106 bulan sebagai pemain nombor satu dunia dalam senarai terbaharu Persatuan Skuasy Wanita (WSA).

Pemain berumur 31 tahun ini yang berasal dari Pulau Pinang yang muncul pemain nombor satu dunia sejak Januari 2006, mengatasi rekod 105 bulan yang dicipta Susan Devoy dari New Zealand yang dipegangnya sejak Februari 1993.

 
Susan merupakan bekas juara dunia empat kali dan juara terbuka British lapan kali.
   
Menurut laman web www.squashsite.co.uk, Nicol memungut 3,446 mata sementara pemain Mesir, Raneem El Welily selaku pemain nombor dua dunia mengumpul 2,580 mata diikuti pemain dari England, Laura Massaro dengan 2,145 mata.
   
Rekod itu diumum pada kejohanan JP Morgan Tournament of Champions di New York bulan lalu di mana pengerusi kejohanan John Nimick dan pengarah Beth Rasin menyerahkan kepada Nicol poster yang ditandatangani kesemua pemain dunia lain.
   
"Pencapaian Nicol meletakkannya dalam kalangan atlet terhebat dalam sejarah dan sesungguhnya beliau meningkatkan taraf sukan kita," katanya.
   
Bulan ini turut menyaksikan Nicol mengekalkan ranking kejuaraan hingga 103 bulan sejak Ogos 2006, 45 bulan mengatasi Devoy.
   
"Untuk menjadi pemain nombor satu dunia adalah unik dan memerlukan persembahan luar biasa, tetapi untuk memegang tangga teratas selama 106 bulan adalah menakjubkan," kata Ketua Eksekutif WSA, Tommy Berden.
   
Nicol pula berkata: "Menjadi nombor satu memerlukan kerja keras. Bagi saya, ia berkaitan bermain dalam kejohanan, yang lain merupakan bonus."

Sinar Harian