Sunday, 15 February 2015

'Nanti abang tak dok, sapo nak jago Yah'

“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah."

Sayu hatinya bila mengingati ungkapan itu seakan terpatri bahawa orang yang disayanginya itu akan pergi menemui Ilahi tidak lama lagi.

Bagi Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri mantan menteri besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, ungkapan yang dibuat tiga hari sebelum beliau meninggal dunia cukup menyentuh hatinya.

Baju kesukaan Tok Guru yang dipakai Tuan Sabariah semalam akan menjadi kenangan untuk selama-lamanya.

“Itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang meninggalkan saya buat selama-lamanya,” kata Tuan Sabariah.

Tuan Sabariah berkata demikian dalam satu temu bual bersama akhbar Sinar Harian sehari selepas ikon negeri Kelantan itu meninggal dunia.

Sesungguhnya pemergian suami yang telah berkongsi hidup dengannya selama 53 tahun itu pasti memberikan kesan mendalam buat Tuan Sabariah.

Menurut Tuan Sabariah, kata-kata itu diluahkan arwah ketika masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Kata-kata abang itu saya sambut dengan senyuman, sambil menggenggam tangan abang.

“Saya kata ‘Anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau.’

“Walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata,” cerita Tuan Sabariah sambil menyeka air matanya dan ditenangkan oleh sanak saudara.

Tuan Sabariah juga mengakui terlalu rindukan suaminya walaupun baru sehari arwah pergi menghadap Ilahi.

Astroawani

Antara foto kenangan Datin Tuan Sabariah dan Tok Guru







Foto: Internet