Thursday, 26 February 2015

Maybank untung RM6.72b tahun lepas

Maybank sekali lagi mencatat prestasi kewangan kukuh dengan keuntungan bersih meningkat 2.5 peratus ke paras tertinggi baharu, RM6.72 bilion bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding RM6.552 bilion tahun sebelumnya.

Pendapatannya pula melonjak 7.4 peratus kepada RM35.712 bilion berbanding RM33.250 bilion sebelumnya.

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2014, keuntungan bersihnya melonjak 11.5 peratus kepada RM1.931 bilion berbanding RM1.732 bilion, didorong oleh peningkatan 21.6 peratus dalam pendapatan fi dan peningkatan 1.6 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih.

Pendapatan pada suku itu meningkat kepada RM9.662 bilion berbanding RM8.269 bilion sebelumnya.

Berikutan pencapaian memberangsangkan itu, Maybank mengisytiharkan dividen akhir 33 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan menjadikan jumlah dividen keseluruhan tahun lalu 57 sen sesaham.

"Prestasi kukuh itu didorong pengukuhan segmen francais di rantau ini walaupun berdepan persekitaran yang mencabar.

"Kami berjaya menampan kesan aktiviti pasaran modal yang perlahan bagi perniagaan perbankan pelaburan dan pasaran global dengan menutup tahun lalu pada paras pendapatan yang kukuh untuk kedua-dua sektor," katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Farid Alias, dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohamed Rafique Merican.

Dalam pada itu, Megat Zaharuddin berkata, Maybank berharap anak syarikatnya, Maybank Islamic, akan menjadi antara bank Islam kelima teratas di Indonesia menjelang akhir tahun ini.

Maybank Islamic mempunyai kira-kira 450 cawangan di negara itu.

Megat Zaharuddin berkata, di bawah Ketua Pegawai Eksekutif, Muzaffar Hisham, Maybank Islamic berjaya menembusi pasaran Indonesia melalui dua unit iaitu, Maybank Syariah dan Bank Internasional Indonesia. Maybank Islamic juga merancang untuk berkembang ke Singapura.

Pada 2014, pendapatan Maybank Islamic meningkat kepada RM3.27 bilion, 16.4 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya berikutan sumbangan lebih baik daripada pasaran antarabangsa.

Keuntungan sebelum cukainya berjumlah RM1.61 bilion, 9.2 peratus lebih tinggi daripada 2013. Pembiayaan kasar Maybank Islamic naik 25 peratus kepada RM108.5 bilion, dirangsang pertumbuhan 25 peratus tahun ke tahun dalam perkhidmatan pembiayaan komuniti dan kenaikan 23 peratus dalam pembiayaan perbankan global.

Pembiayaan Islam kini merangkumi 43.8 peratus daripada jumlah pembiayaan domestik Maybank berbanding 38.9 peratus pada tahun kewangan 2013.

Maybank Islamic mengekalkan kedudukannya sebagai bank Islam ketiga terbesar dunia dengan aset AS$38.7 bilion (RM139.7 bilion) dan sebagai bank Islam utama di Malaysia dengan 29.3 peratus penguasaan pasaran aset Islam.

Bharian