MESKIPUN saingan Liga Super baru sahaja memasuki dua perlawanan, namun pengendali The Red Warriors (TRW), George Boateng kini sudah mampu tersenyum lebar bukan kerana pasukannya gah menerajui takhta ketika ini tetapi kerana sebab-sebab tertentu.
Apa tidaknya, tiga daripada empat gol pasukannya yang terhasil setakat ini hadir menerusi set piece, sesuatu yang mungkin terlindung daripada pandangan penyokong TRW tetapi tidak bagi jurulatih kelahiran Ghana itu.
Boateng berkata, anak buahnya telah menjalani latihan set piece sejak lapan bulan lalu, dan malam kelmarin mereka rasa puas dapat menuai hasil, lebih-lebih lagi merakamkan kemenangan bergaya ke atas Lions XII FC di hadapan penyokong sendiri.
“Setiap minggu kami menjalani latihan sepak bebas dan penjuru sebelum menghadapi sesuatu perlawanan, malah dua hari menjelang pertemuan Lions XII FC, kami terus fokus melakukan perkara sama.
“Kami juga mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan cara sama. Memenangi dua perlawanan dengan cara sebegini rasanya agak menakjubkan bagi Kelantan,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan.
Pada perlawanan itu, Kelantan menewaskan Lions XII FC 2-0 apabila tonggak pertahanan import, Jonathan McKain menanduk masuk tendangan penjuru Mohd Fitri Omar seawal minit keenam sebelum sepakan percuma kapten, Mohd Badhri Radzi menerjah jaring pada minit ke-42.
Mengulas kemenangan pasukannya, Boateng memuji persembahan yang ditonjolkan barisan pemainnya apabila beraksi mengikut strategi ditetapkan sepanjang aksi 90 minit perlawanan itu.
“Kami sepatutnya menjaringkan banyak gol dalam babak kedua, namun pemain saya lebih banyak bermain secara individu. Apa pun, kemenangan 2-0 ini sudah memadai kerana kami berjaya mengekalkan rekod tidak bolos dalam dua perlawanan setakat ini,” katanya.
Jurulatih berusia 39 tahun itu turut menghamburkan pujian kepada benteng pertahanan mereka, diterajui McKain apabila berjaya membentuk gandingan ampuh mengekang asakan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.
“Begitu juga aksi Isaac Pupo, betul-betul membuatkan 25,000 penyokong malam ini terhibur, cara dia menghantar bola kepada rakan-rakannya bagaikan satu fenomena baharu. Saya fikir dia adalah pemain yang sepatutnya berada di Kota Bharu (menyarung jersi Kelantan),” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a comment