Tuesday, 17 February 2015

Lagi cerita kenangan dengan Tok Guru

Bagaimanakan ku mula, dan apakah kata-kata yang indah untukku abadikan...

Saya tidak tahu untuk menyambung bagaimana coretan saya berkaitan banjir disaat kita kehilangan Tok Guru yang kita sayangi.

Perasaan sebak dan sedih masih lagi terasa terutama apabila teringat cara Tok Guru RahimahulLah bekerja yang pasti menjadi suri tauladan untuk saya.


Masih teringat-ingat cara Tok Guru RahimahulLah bertindak dengan segera bila ada saja musibah yang berlaku dalam negeri ini samada banjir, kebakaran, kematian, kemalangan dan lain-lain baik yang dekat dengan pusat pentadbiran di sekitar Kota Bharu atau jauh seperti Kuala Krai hatta Gua Musang sekalipun.

Menjadi kebiasaan Tok Guru RahimahulLah apabila saja berlaku musibah beliau antara yang terawal akan sampai samada untuk menyantuni mangsa ataupun menyampaikan sumbangan.

Biasanya sumbangan yang beliau sampaikan adalah sumbangan peribadi, kemudian barulah diikuti sumbangan kerajaan yang akan diuruskan oleh pihak ADUN ataupun jabatan berkaitan.

Tok Guru RahimahulLah juga akan terus mengambil tindakan segera apabila sesuatu isu diangkat untuk mendapat kelulusan beliau khususnya yang berkaitan dengan bencana.

"Kita kena duduk di tempat orang hok kena musibah tu, kita berasa lagu mana".

Kata-kata itu cukup berazimat dan menjadi panduan kepada saya sehingga kini.

Pernah saya membawa permohonan untuk membina masjid baru di Chenulang kerana masjid lama setiap tahun akan ditenggelami air, bukan sekali, kadang-kadang dua atau tiga kali setiap kali musim bah.

Kedudukan masjid ditepi sungai dan lebih rendah daripada paras jalan menyebabkan cepat ditenggelami air seandainya berlaku hujan yang lebat.

Saya bawakan permohonan beserta dengan gambar masjid lama sewaktu banjir yang airnya mencecah paras tingkap. Tok Guru RahimahulLah terus mengarahkan Setiausaha Sulitnya supaya mengambil tindakan segera setelah melihat permohonan yang diserahkan.

Alhamdulillah, akhirnya bangunan masjid baru yang lebih tinggi bernilai RM500,000 termasuk jejantas daripada jalan utama siap dibina bersebelahan bangunan masjid lama yang selamat digunakan beberapa tahun.

Namun bah besar penghujung tahun 2014 lalu, masjid tersebut juga dinaiki air tetapi sudah pasti bukan menjadi ukuran kerana bah 2014 adalah luar biasa bahkan mengatasi bah 1967.

Seperkara lagi yang agak sukar untuk dilupakan ialah Allahyarham pantang ada jemputan sama ada kenduri kahwin atau kenduri kesyukuran, beliau pasti akan menghadirkan diri.
YB Abdul Latiff dan Tok Guru
Ada satu peristiwa di musim cuti Hari Raya Aidilfitri, pembantu beliau menghubungi saya mengatakan Tok Guru akan ke Kuala Krai pada pagi tersebut untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Kg Batu Pagar, Pasir Jering dalam Mukim Chenulang.

Saya tertanya-tanya siapakah insan bertuah tersebut sehingga mendapat perhatian Tok Guru. Akhirnya saya dapati jemputan tersebut daripada Saudara Razali (Allahyarham) yang pergi sendiri ke Pejabat Menteri Besar menjemput Tok Guru hadir majlis menyambut menantu sulungnya.

Allahyarham Razali yang meninggal dunia dua tahun lepas pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Cawangan Pasir Jering dan bekerja keras satu keluarga setiap kali musim pilihanraya umum.

Saya sedikit risau dengan laluan ke Kuala Krai pada musim perayaan yang akan berlaku kesesakan teruk yang kadang kala akan mengambil masa 3 atau 4 jam perjalanan Kota Bharu ke Kuala Krai berbanding hari biasa hanya sekitar 1 jam atau 1 jam setengah saja.

Saya cuba nasihatkan supaya Tok Guru RahimahulLah diiringi oleh pihak polis untuk menjimatkan perjalanan tetapi Tok Guru RahimahulLah tidak menerima pandangan kerana ingin merasai sendiri suasana yang terpaksa dihadapi oleh rakyat biasa setiap kali musim cuti persekolahan.

Akhirnya saya cadangkan supaya menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk saya bawa menggunakan laluan kampung yang menjadi alternatif kepada warga Kuala Krai.

Sebenarnya banyak lagi kenangan peribadi saya bersama Allahyarham Tok Guru. Insya Allah saya akan cuba catatkan dalam coretan khusus untuk mengenang jasa beliau dan menjadikannya tauladan untuk kita dalam meneruskan perjuangan ini.

Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan,
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Selautan budi jadi kenangan.

Abdul Latiff Abdul Rahman
Selasa, 3.53 ptg
17 Feb 2015.