Tuesday, 3 February 2015

Koleksi gambar EcoSport SUV kompak

PERTAMA kali memandang Ford EcoSport, pasti anda dapat melihat ciri-ciri ken­deraan utiliti sukan (SUV) pada­nya, iaitu tinggi. Tetapi badannya agak kecil. Mungkin spesifikasi cross over pun wajar dilabel pada EcoSport.

FORD EcoSport merupakan SUV kompak terbaharu yang sesuai digunakan dalam bandar.
Secara rasmi Ford meletakkan klasifikasi EcoSport dalam segmen B iaitu kereta kompak atau dalam konteks EcoSport ia adalah SUV kompak dan yang mampu dimiliki.

Dibina berdasarkan kepada platform segmen B global Ford seperti Ford Fiesta, EcoSport memiliki jarak setinggi 200 milimeter dan boleh mengharung air setinggi 550 milimeter. Faktor ini juga menjadikannya pilihan ideal untuk ibu-ibu mengambil dan menghantar anak ke sekolah, misalnya.

Menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan, mudah dikendalikan dan rangkaian ciri pintar, EcoSport sememangnya sebuah kenderaan yang tepat untuk pemanduan di bandar dan laluan-laluan yang mencabar.
DARI pandangan belakang, Ford Ecosport memperlihatkan ciri-ciri SUV.
Ketika ia selesa mengharung air di kawasan banjir dan menghiburkan pemandu dengan pemilihan muzik serta panggilan telefon bebas ta­ngan, SUV kompak ini juga menawarkan tahap keselesaan terbaik dan operasi yang senyap.

EcoSport serba baharu dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder global Ford 1.5 liter twin independent variable camshaft timing (Ti-VCT). Mampu menjana sehingga 110PS dan kuasa kilas mencecah 142Nm, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik Ford PowerShift enam kelajuan yang ultra efisien dengan ciri Select Shift untuk menawarkan penjimatan bahan api sehingga 15.4km/L dan emisi karbon dioksida 154g/km.

EcoSport ditawarkan dalam dua varian iaitu Trend dan Titanium. Untuk Trend harganya ialah RM92,888 dan didatangkan dalam tiga warna, Candy Red, Midnight Sky dan Frozen White. Varian Titanium pula berharga RM103,888 dengan empat warna pilihan iaitu Mars Red, Winning Blue, Midnight Sky dan Frozen White.

EcoSport serba baharu membuatkan pemanduan lebih seronok dan intuitif dengan barisan ciri pintar. Ini termasuklah sistem sambungan di dalam kereta yang diaktifkan melalui suara, Ford SYNC. Buat pertama kalinya di Malaysia, Ford SYNC boleh didapati dalam bahasa Mandarin dan Inggeris.

Sistem yang memenangi anugerah itu membolehkan pemandu terus memegang stereng dan mata mereka fokus ke atas jalan raya ketika memilih muzik kegemaran atau membuat panggilan telefon menggunakan arahan suara.
Dashboard EcoSport yang serba moden dan mesra pemandu. 
Antara ciri pintar dan memudahkan pengguna ialah lampu yang menyala selama beberapa saat selepas enjin kereta dimatikan (follow-me-home lights), Rear Parking Aid dengan Park Pilot dan lampu pandang belakang anti-silau yang mengelakkan pemandu menjadi silau akibat pancaran cahaya lampu kenderaan di belakang mereka.

Varian EcoSport Titanium juga hadir bersama sistem kemasukan pintar tanpa kunci dengan butang Push Start Ford, penggilap cermin, lampu utama automatik dan bumbung suria.
TERDAPAT bumbung terbuka dalam EcoSport.

Terdapat 20 ruang penyimpanan barang yang gabungan semuanya berkapasiti 21 liter, ia termasuklah:
  • Ruang penyimpanan hadapan yang disejukkan dan boleh menyimpan sehingga enam tin minuman
  • Tempat menyimpan cermin mata hitam di bahagian atas konsol
  • Satu laci di bawah tempat duduk penumpang hadapan yang cukup besar untuk menyimpan sebuah komputer riba
  • Poket pada pintu hadapan yang boleh meletak botol-botol air 1.5 liter dan 600ml
  • Poket pada pintu hadapan yang boleh meletak botol-botol 600ml

Ruang kargo belakangnya juga cukup versatil. Tempat duduk belakang boleh diba­ringkan untuk lebih keselesaan atau dilipat sepenuhnya bagi memperoleh ruang kargo tambahan.

Apabila tempat duduk belakang dilipat ke arah kerusi hadapan, ruang but mence­cah 705 liter, cukup besar untuk meletak sebuah mesin basuh. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 untuk me­ngangkut objek-objek yang panjang seperti pek perabut, pada masa yang sama boleh membawa penumpang di belakang.
REKA bentuk meter yang menarik dalam EcoSport.
Untuk menghilangkan tekanan ketika memandu, EcoSport juga ha­dir bersama pelbagai sistem bantuan pemandu serta ciri keselamatan.

Ciri-ciri lain termasuklah Anti-lock Braking System (ABS), Emergency Brake Assist (EBA), Passive Anti-Theft System (PATS) dengan Pelumpuh Enjin, tali pinggang ke­ledar pra regangan, teknologi Ford BeltMinder dan ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

Sebagai tambahan, varian Eco­Sport Titanium dilengkapi tujuh beg udara sebagai standard – beg udara untuk pemandu dan penumpang ha­dapan, beg udara sisi, curtain dan pada bahagian lutut pemandu.

Utusan