Peniaga buah di bahu jalan, di Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Pulau Kerengga di sini, mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian berikutan hasil jualan dicuri orang.
Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati ada peniaga yang sanggup bermalam di gerai masing-masing bagi mengelak hasil jualan dicuri, walaupun terpaksa tidur dalam keadaan tidak selesa.
Bagaimanapun, seorang peniaga, Norlia Musa, 54 berkata, dia bersama anaknya, Norul Syafiqah Roslan, 20, tidak tidur di gerai sebaliknya akan pulang ke rumah selepas selesai waktu berniaga.
Menurutnya, keuntungan menjual pelbagai jenis tembikai dan manisan tidaklah seberapa, namun hasil pendapatan berdasarkan komisen jualan sekitar RM600 sebulan itu sekurang-kurangnya dapat membantu menambah pendapatan keluarganya.
Kata Norlia, kes kecurian buah-buahan dan manisan yang dijual tidak dapat dielak kerana kebanyakan peniaga meninggalkan hasil jualan mereka digerai masing-masing pada waktu malam.
“Kecurian berlaku pada waktu malam dipercayai dilakukan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya yang pernah menjadi mangsa sepanjang menjalankan perniagaan menjual buah pada tahun lalu.
Sinar Harian
No comments:
Post a comment