Sunday, 1 February 2015

Jejak kasih - yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasi-serasikan

Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang bapa apabila doanya untuk bertemu kembali dengan dua anaknya  yang terpisah sejak lebih 25 tahun lalu dimakbulkan, semalam.

Pertemuan bersejarah antara Aminudin Mat Amin, 55 dengan dua anaknya, Zul Hafez Aminudin, 29 dan Nur Asyikhin Aminudin, 28 bukan sahaja berjaya menyatukan kembali hubungan mereka malah mempertemukan lima lagi anaknya dengan abang dan kakak mereka itu.

Aminudin berkata, dia berpisah dengan bekas isterinya kira-kira 25 tahun lalu dan ketika itu, Zul Hafez baru berusia 2 tahun manakala adiknya, Nur Asyikhin berusia satu tahun.

Aminuddin terharu apabila anak sulungnya Zul Hafez mencium tangannya selepas mereka dipertemukan semula setelah terpisah hampir 25 tahun lalu, semalam.
Menurutnya, selepas berpisah, bekas isteri membawa bersama dua anaknya itu pulang ke kampung di Bentong manakala dia  keluar bekerja di merata tempat sebelum kembali dan menetap di Kampung Jaya Gading dekat sini kira-kira 20 tahun lalu.

“Selepas berpisah, kami terputus hubungan sehinggalah tahun lalu apabila ada saudara bertemu mereka dalam satu majlis di sini dan melalui dia jugalah kami dipertemukan.

“Saya amat bersyukur kerana hasrat untuk bertemu kembali dengan mereka dimakbulkan hari ini (semalam). Tiada yang dapat menggambarkan perasaan saya hari ini apabila dapat menatap kembali wajah mereka yang sudah dewasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jaya Gading dekat sini, petang semalam.

Aminuddin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Temerloh kini mempunyai lima anak berusia 18 hingga 24 tahun hasil perkahwinannya yang kedua.

Sementara itu, Zul Hafez yang sudah mendirikan rumah tangga dan bekerja serta menetap di Johor Bahru juga tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila dapat bertemu ayah kandungnya.

Menurutnya, sebelum ini, dia dan adik serta ibu dikenali sebagai Ros, 52, ada mencari ayahnya. Namun, ketika itu mereka buntu kerana langsung tidak mempunyai maklumat menganai lelaki tersebut.

"Namun tahun lalu, kami datang ke Kuantan untuk menghadiri perkahwinan sepupu. Kebetulan keluarga sebelah isterinya memaklumkan kenal dengan ayah.

“Bermula dari situlah kami mula jejaki ayah. Bantuan saudara mara, akhirnya kami dipertemukan hari ini,” katanya.

Sinar Harian