Wednesday, 4 February 2015

JDT 2 - Bengaluru FC 1 | Liga Juara-Juara AFC 2015

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan Bengaluru FC 2-1 pada perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2015 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin, di sini, malam ini.

Perlawanan yang mengheret ke masa tambahan ternyata berpihak kepada Harimau Selatan apabila sepakan leret S Chanthuru pada minit ke-97 masa tambah meledakkan gol kemenangan kepada tuan rumah.

Separuh masa pertama tanpa sebarang gol, anak buah Bojan Hodak bangkit mudah menjaringkan gol pendahulu perlawanan melalui tandukan Hariss Harun pada minit ke-46 separuh masa kedua.

JDT berjaya menundukkan Bengaluru FC 2-1 pada perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2015 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin. – Foto Bernama
Pada aksi separuh masa pertama, JDT berpeluang menjaringkan gol pembuka tirai seawal minit kelapan perlawanan, namun tandukan Safiq Rahim yang menerima hantaran lambung daripada J Eldstald sedikit tersasar keluar.

Bagaimanapun sepakan percuma yang disempurnakan Mohd Nazrin Mohd Nawi selepas Safiq dijatuhkan pada minit ke-19 tepat ke gawang gol lawan, namun berjaya didakap kemas Lalthuammawia Ralte selaku penjaga gol Bengaluru FC.

Pasukan pelawat turut memperoleh peluang keemasan melalui sepakan penjuru pada minit ke-23, namun tandukan John Johnson terkena palang gol tuan rumah.

Bengaluru FC sekali lagi mendebarkan Harimau Selatan melalui sepakan lambung Sean Rooney yang hampir memboloskan gol tuan rumah pada minit ke-44, namun berjaya ditepis keluar Farizal Marlias selaku benteng terakhir tuan rumah.

Gawang gol pasukan pelawat hampir meledakkan gol buat kali kedua hasil tendangan kencang Safiq, namun tidak berjaya merebahkan kekebalan Mawia.

Kealpaan benteng pertahanan JDT membawa padah apabila berjaya dimanfaatkan peluang oleh anak buah Ashley Westwood melalui tandukan Sunil Chhetri yang membuahkan gol penyamaan pada minit ke-90.

Bagaimanapun perlawanan berkenaan menggembirakan lebih 17,000 penyokong tuan rumah yang hadir ke stadium apabila berakhir dengan keputusan yang berpihak kepada Harimau Selatan 2-1.

Sinar Harian