Saturday, 21 February 2015

Ambil upah menghantar barang demi mencari rezeki halal

Bertemankan sebuah motosikal dan beg galas, dia bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar Shah Alam, Selangor dan Lembah Klang untuk menghantar pesanan pelanggan.

Dalam raganya tersedia baju hujan dan alatan lain sebagai persediaan andai menghadapi sebarang masalah di tengah jalan.

Memilih untuk memberi khidmat sebagai penghantar barang, Ahmad Faizal Murtadza, 25, tidak memilih barang yang dihantar.

Daripada sekecil-kecil barang sehinggalah kepada kotak besar, dia sedia menerima upah asalkan membawa rezeki pada dirinya.

Ahmad Faizal menunjukkan beg kalis air yang digunakan bagi mengisi dokumen penting
Lebih menarik, Ahmad Faizal tidak meletakkan harga tetap bagi khidmatnya itu, sebaliknya membiarkan pelanggan memberikan upah mengikut keikhlasan hati mereka.

Dia giat mencari rezeki buat diri serta keluarga apatah lagi bakal menimang cahaya mata pertama awal bulan hadapan.

“Soal upah bukan perkara penting. Saya serahkan kepada pelanggan untuk memberi seikhlas hati mereka. Kalau dapat RM3 sehari pun, saya anggap ia sebagai rezeki.  

“Tak kisahlah apa orang nak kata. Asalkan memberikan rezeki yang halal selain membawa pengalaman kepada diri saya,” katanya.

Daripada riak wajahnya, memang tergambar rasa puas dan selesa melakukan perkhidmatan ini.

“Saya lakukan kerja ini bukan sahaja atas dasar mencari rezeki, malah lebih kepada menolong orang. Penghantaran paling jauh adalah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya sedia menawarkan khidmat ini bila-bila masa sahaja sekiranya pelanggan terdesak untuk gunakan khidmat saya.

“Malah saya juga bukan sahaja menawarkan khidmat hantar barang, tetapi buat khidmat lain seperti menguruskan dokumen di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dia memulakan tugasnya seawal lapan pagi sehingga lewat malam sekiranya masih ada permintaan dari pelanggan.

“Biasanya kalau dokumen atau barang itu penting sangat, saya akan terima juga walaupun dah malam,” katanya.


Tugas sebagai penghantar barang dipertikai

Menurutnya, ramai mempertikaikan niatnya untuk menyediakan khidmat penghantaran barang, namun ia tidak mematahkan semangatnya.  

“Ramai yang bertanya, betul ke nak buat perkhidmatan ini? Boleh hidup ke sekadar hantar-hantar barang? Tetapi saya sudah buktikan saya boleh menyara isteri saya dengan duit menjadi penghantar barang,” katanya.

Ahmad Faizal yang sudah dua bulan menyediakan khidmat tersebut berkata, hasil diperoleh tidak selalu banyak namun dia tetap bersyukur.

“Purata perolehan saya untuk setiap hari adalah sekitar RM50 hingga RM100. Bergantung kepada kerja yang saya dapat pada hari itu.

“Jika rezeki saya baik, dapatlah lebih daripada itu,” katanya.

Mengimbas sejarah hidupnya, Ahmad Faizal berkata, dia bukanlah pelajar yang boleh dikategorikan sebagai pelajar pintar.

Katanya, sesudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia terus melanjutkan pelajaran ke Institut Kemahiran Mara Alor Setar, mengambil jurusan sijil seni bina.

“Selepas tamat pengajian, saya bekerja di restoran makanan segera selama dua tahun sebelum saya bertekad untuk membuka gerai nasi lemak bersama isteri, Aqlema Ilias, 28.

“Masa mula-mula nak mulakan perniagaan, memang kami hadapi banyak masalah. Kadang-kadang kuih dan nasi lemak tak laku sehinggakan terpaksa beralih tempat jualan beberapa kali,” katanya.

Katanya, nasibnya baik apabila mendapat ramai pelanggan ketika berniaga di Seksyen 7, Shah Alam.

“Perniagaan nasi lemak saya itu berkembang maju, tetapi saya terpaksa tangguhkan dahulu kerana keadaan isteri saya yang sarat mengandung,” katanya.


Ramai tempah makanan ke pejabat

Namun, katanya, perniagaan nasi lemak yang diberi nama Walima Cikangke itu akan diteruskan selepas isterinya melahirkan anak.

“Ramai pelanggan tetap kami bertanya kenapa sudah tidak menjual nasi lemak. Insya-ALLAH dalam tiga bulan lagi kami sambung,” katanya.

Dia kadang kala menatap skrin telefon tatkala perbualan bersama wartawan masih rancak berjalan.

“Saya iklankan khidmat penghantaran barang ini melalui laman sosial Facebook dan syukur sambutan yang diterima amat positif. Biasanya waktu makan tengah hari, saya adalah orang paling sibuk kerana ramai pekerja yang menempah makanan dari pejabat. Jadi saya perlu menghantar kepada mereka.

“Sekejap lagi saya perlu ke Universiti Kebangsaan Malaysia pula untuk hantar barang kepada pelanggan di sana,” katanya sambil menunjukkan maklumat dan alamat penghantaran barang di skrin telefon bimbitnya.

Sinar Harian