Friday, 13 February 2015

Husam, 'budak suruhan' Tok Guru


Pemergian Allahyarham Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan kesan mendalam kepada bekas Exco Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa.

Sejurus pengebumian selesai, air mata berjujuran mengalir di pipi Husam sambil bersandar di sebatang pokok kerana tidak mampu menahan sebak atas pemergian Nik Aziz yang selama ini dianggap sebagai seorang bapa, guru dan kawan.

Dengan nada hiba dan sayu, Husam mengakui tenang apabila insan yang digelar 'Tok Guru Nik Aziz' pergi dalam keadaan yang sangat indah dan mengharapkan pengakhiran hayat beliau juga seperti idolanya itu.


"Malam tadi saya ada di rumah beliau saat Tok Guru Nik Aziz menghembuskan nafas terakhir. Walaupun kami sudah tidak berbual sejak sebulan dua lalu tetapi daripada kerdipan mata dan cara memandang, saya faham kasih dia kepada saya juga kasih saya kepada dia.

"Saya lebih hiba bila Allah SWT mengambil beliau pada malam Jumaat, bagi orang Islam ia adalah malam yang sangat berkat dan mulia.

"Ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kasih sayang rakyat jelata juga tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

"Allah mengambil Tok Guru Nik Aziz dalam keadaan rakyat menumpahkan kasih. Kita boleh lihat bagaimana orang berpusu-pusu, bacaan Al-Quran berkumandang sejak malam tadi sehingga hari ini.

"Ia adalah satu anugerah Allah, malaikat, penghuni bumi dan langit kepada seorang pemimpin. Saya berbahagia mempunyai seorang pemimpin yang diterima Allah SWT dengan penghormatan seperti ini," katanya yang menahan sebak ketika ditemui wartawan.

Ketika ditanya berkenaan pengalaman manis sepanjang berkhidmat di sisi Nik Abdul Aziz, beliau berkata, pengalaman pahit lebih banyak daripada pengalaman manis.

Husam berkata, beliau adalah 'budak suruhan' yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit.

Katanya, falsafah politik yang diamalkan Mursyidul Am PAS itu lebih terarah kepada politik kepelbagaian kaum berlandaskan Islam.

"Saya lebih banyak bertugas sebagai budak suruhan beliau untuk menyelesaikan masalah berbangkit dengan pihak istana, mahkamah dan parti lain.

"Tanggungjawab itu membimbing saya supaya lebih matang memahami falsafah politik dan dakwah beliau. Apa yang ditekankan adalah politik kepelbagaian kaum iaitu Malaysia mesti didekati dengan Islam dalam konteks majmuk.

"Ini adalah satu perkara penting yang perlu diwarisi PAS dan generasi muda," katanya.

Husam antara Exco senior yang berkhidmat bersama Nik Abdul Aziz sepanjang beliau bergelar Menteri Besar Kelantan.