Saturday, 28 February 2015

Harga rumah dijangka meningkat 2-3% selepas GST

Emkay Group (Emkay) menjangka harga pasaran kediaman berkembang antara dua hingga tiga peratus selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April ini berikutan kos barangan pembinaan dijangka meningkat.

Namun, permintaan pembelian perumahan tetap ada walaupun terdapat pelbagai spekulasi mengenai peningkatan harga jualan hartanah memandangkan ia satu keperluan.

Pengerusinya, Tan Sri Mustapha Kamal berkata, situasi itu akan kembali stabil bergantung kepada permintaan dan pasaran memandangkan pemaju memastikan produk dilancarkan mampu terjual.

Beliau berkata, pasaran hartanah pada suku pertama ini seperti biasa tidak berlaku sebarang pembelian panik daripada orang ramai.

“Terdapat tiga kategori pembeli hartanah iaitu spekulator yang ingin menaik taraf hartanah dan pembeli tulen. Berikutan GST, besar kemungkinan dua golongan pertama itu tidak membeli produk hartanah, hanya tinggal golongan pembeli tulen yang akan membeli aset berkenaan.

“GST sememangnya memberi kesan kepada pasaran, tetapi kita perlu menyediakan produk berkualiti kepada pembelian kerana ia membantu meningkatkan permintaan pasaran pada masa panjang,” katanya pada majlis menandatangi perjanjian antara CIDB Holdings Sdb Bhd dan MK Land Holdings Bhd di sini, semalam.

Menerusi perjanjian itu kedua-dua pihak bekerjasama dalam bidang berkaitan industri pembinaan serta berkongsi kemudahan bagi pendidikan, kursus, penyelidikan serta pembangunan.

MK Land menjadikan Sistem Penilaian Kualiti Untuk Kerja Pembinaan Bangunan(Qlassic) sebagai mandatori dalam projek pembinaannya yang mana setiap kontraktor perlu mempunyai penilaian berkenaan sebelum mendapat penganugerahan projek.

Dari 2007 hingga 2014 terdapat 976 projek dinilai menerusi Qlassic yang disediakan oleh CIDB. Menerusi Qlassic, prestasi kontraktor akan dinilai secara keseluruhan bagi membolehkan produk yang dibangunkan berkualiti.

Hmetro