Tuesday, 24 February 2015

Guna lidah untuk menaip

Kemiskinan dan status orang kurang upaya (OKU) tidak pernah melemahkan semangat wanita dari Kampung Gelong Gajah, Mukim Tobiar, dekat sini, untuk membaca dan menggunakan lidah sebagai pengganti tangannya.

Bagi Salmawati Mahmud, 30, walaupun tidak pernah ke sekolah dan mengalami masalah kecacatan tangan serta kaki, ia bukan penghalang bagi dirinya untuk belajar membaca.

Menurutnya, dia tidak dapat belajar  akibat kemiskinan selain jarak ke sekolah jauh dari rumahnya.

"Dulu, saya seorang yang pendiam dan kecacatan ini menyebabkan saya sukar bertemu atau berbual dengan rakan di kampung. Bagaimanapun sejak berumur lapan tahun, saya sudah boleh bermain ‘game’ di dalam telefon bimbit.

Salmawati menggunakan lidah bagi menggantikan tangan untuk menaip di telefon bimbitnya.
“Dari situlah saya mula belajar menggunakan telefon bimbit dan penggunaan telefon pintar di pasaran memudahkan lagi saya untuk menambah kenalan. Dengan bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) saya mula mengumpul dan membelinya," katanya.

Salmawati menyatakan penggunaan telefon pintar menggunakan lidah lebih mudah berbanding dengan penggunaan komputer riba kerana saiznya agak besar.

"Sejak menggunakan telefon pintar itu, saya telah mengaplikasikan jaringan perhubungan melalui Facebook, WhatsApp, Instagram dan Wechat bagi menambah rakan-rakan selain boleh berkongsi pengalaman,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak membuka Facebook pada 2011 sehingga kini, dia sudah mempunyai  kenalan mencecah 1,200 orang.

"Melalui laman sosial itu, saya dapat ramai kawan dan sekali gus memberi keyakinan pada diri dan tiada lagi rasa terpinggir.

Katanya, selain dari mencari kenalan dia juga turut menyertai beberapa peraduan kuiz melalui program sebuah radio pada 2013 dan berjaya memenangi hadiah.

"Apa yang melucukan ialah DJ berkenaan telah meminta saya pergi mengambil hadiah di Kuala Lumpur dan saya memaklumkan bahawa saya tidak mampu dengan kecacatan saya ini. Pada mulanya pihak berkenaan kurang percaya dan apabila mereka datang sendiri ke rumah barulah mereka tahu kecacatan yang saya alami selama ini .

"Mereka terkejut apabila saya menunjukkan teknik menaip dengan hanya menggunakan lidah sahaja dan kejayaan itu turut memberi semangat kepada saya bahawa orang cacat seperti saya juga mampu berdikari,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Saudah Shaari, 54, berkata, pada mulanya dia sedih dengan keadaan anaknya yang cacat dan tidak mendapat pendidikan.

Bagaimanapun semua itu bertukar menjadi sesuatu menggembirakan apabila anaknya itu menunjukkan minat mahu belajar membaca melalui bantuan adik-adiknya.

"Kegigihan anak saya membaca serta mampu menggunakan internet banyak mengubah sikapnya yang pendiam kepada seorang yang periang.

"Kemampuan anak saya menguasai internet juga turut menjadi kebanggaan penduduk kerana dia sering dijadikan rujukan penduduk untuk mendapat sebarang maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, urusan harian anaknya termasuk makan, mandi dan memakai pakaian dilakukannya kerana Salmawati tidak mampu berjalan selain hanya terbaring sejak kecil lagi.

Sinar Harian