Saturday, 21 February 2015

Di sebalik tabir pembikinan filem Dragon Blade

BUKAN setahun, bukan dua tahun, tetapi tujuh tahun digunakan Datuk Jackie Chan untuk mencari idea, dan menyiapkan naskhah filem epik terbaru terbitan dan lakonannya, Dragon Blade.

Kini pemilik nama sebenar Chan Kong-sang ini, sudah boleh menarik nafas lega apabila filem bernilai RM233.93 juta arahan Daniel Lee itu sudah mula menemui penonton di China, Malaysia dan beberapa negara lain sejak 19 Februari lalu. Manakala filem ini akan ditayangkan di Hong Kong pada 12 Mac ini.

Tidak sekadar menjadi penerbit dan pencetus idea, filem yang memperlihatkan Jackie sekali lagi bertindak selaku pengarah aksi ini, turut ditayangkan di beberapa buah negara lain seperti Hong Kong, Thailand, Taiwan, Singapura, Korea dan banyak lagi.

Selain Jackie, filem ini juga menampilkan nama-nama besar dalam industri perfileman, terutamanya penglibatan dua artis terkenal, John Cusack dan Adrien Brody.

Ia juga turut dibantu oleh bintang terkenal Korea yang juga ahli Super Junior, Choi Si-Won bersama dua aktres dari China, Lin Peng dan Mika Wang.

Jackie yang memegang watak sebagai Huo An berkata, filem ini dijayakan oleh 700 orang kru bekerja keras untuk menghidupkan suasana tandus pemerintahan Dinasti Han di China sekitar tahun 206 hingga 220 sebelum Masihi.

“Sejak hari pertama lagi kami berdepan pelbagai cabaran di Padang Pasir Gobi, China. Ribut pasir yang tidak menentu bersama cuaca panas 41 darjah Celcius pada siang hari dan kosong pada sebelah malamnya sudah menjelaskan kesukaran itu.

“Kami terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan filem ini. Selain terpaksa berurusan dengan kru yang datang daripada pelbagai bangsa, suhu dan cuaca di lokasi penggambaran iaitu di Gurun Gobi, Mongolia juga tidak menentu.

“Pujian harus diberikan kepada para pelakon yang terlibat dalam filem ini kerana memberikan komitmen yang baik, walaupun terpaksa berkeras sedikit,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon Hollywood, Cusack yang memegang watak sebagai Lucius, seorang Panglima Rom menyifatkan penglibatannya dalam filem ini adalah sesuatu yang telah lama diimpikan.

“Saya dari Chicago, bukan Hollywood (ketawa). Hollywood hanyalah idea tetapi semua duit sebenarnya datang dari negara China. Hollywood adalah sebuah tempat yang boleh saya katakan ‘muzium’ di mana terkumpulnya orang-orang hebat dan popular.

“Filem adalah filem. Saya membesar dengan filem, saya melihat perkembangan filem. Saya sering mendengar tentang Jackie Chan, tentang aksi dan keberanian beliau.

“Ramai mengagumi beliau termasuk saya. Peluang dapat bekerja dengan beliau sesuatu yang sangat diimpikan. Satu pengalaman baru apabila dapat menjalani penggambaran di China lebih-lebih lagi Jackie mengajar saya koreografi untuk babak berlawan," katanya.

Bagi pemenang pelakon Terbaik Anugerah Oscar, Brody pula yang turut berseloroh bahawa dia bukan berasal dari Hollywood, sebaliknya dari New York, berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Jackie.

“Saya rasa bertuah dapat terlibat sama dalam filem ini, apatah lagi dapat berlakon dengan Jackie. Ia bagaikan angan-angan semasa saya kecil kini jadi kenyataan.

“Sepanjang di set saya dapat mengenali lebih dekat siapa beliau dan mempelajari skil berlawan dengan beliau. Bagi saya watak kali ini mencabar kerana melibatkan babak berlawan dan Jackie banyak memberi tunjuk ajar.

“Ada babak saya perlu berteriak pada ribuan tentera saya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menjerit sekuatnya. Satu lagi cabaran apabila kami terpaksa menjalani penggambaran di bawah terik matahari yang suhunya 41 darjah Celsius dan satu ketika apabila set dilanda
ribut debu.

“Walaupun berdepan dengan cabaran tetapi pengalaman yang kami peroleh itu cukup bermakna dan berbaloi”, katanya yang memegang watak sebagai Tiberius.

Filem Dragon Blade diilhamkan dari lagenda misteri di sebuah bandar China berhampiran sempadan utara China di mana ianya didakwa telah didiami oleh keturunan tentera Empayar Rom.

Sinar Harian