Thursday, 12 February 2015

Buang komponen motosikal curi ke dalam sungai

Seorang remaja yang memakai pakaian lokap, terketar-ketar ketika disoal polis berhubung rangka motosikal yang ditemui di sungai Tukul, Kampung Mengkali, Limbat, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Dalam keadaan tangannya bergari, remaja lelaki yang berusia 16 tahun itu, tidak keruan selepas berkali-kali disoal oleh polis berhubung tindakannya.

Remaja tersebut turut berpakat dengan seorang lagi rakannya meleraikan komponen motosikal dan membuang rangkanya ke sungai terbabit yang dipercayai bergerak aktif sejak setahun lalu.

Rohaimi (kiri) menyoal remaja berusia 16 tahun ini yang terlibat leraikan komponen motosikal dan membuangnya dalam sungai, semalam.
Remaja berkenaan yang ditahan berasingan bersama tiga lagi rakannya pada 9 Februari lalu dalam Ops Bersepadu di rumah masing-masing kira-kira jam 5 pagi itu, dibawa ke kawasan terbabit untuk membantu siasatan.

Dalam keadaan ketakutan, dia turut menceritakan pergerakannya itu turut dilakukan bersama seorang lagi rakan yang berasal dari Kampung Limbat bagi mendapatkan upah dengan cara mudah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, remaja berkenaan bergerak aktif dalam kumpulan bersama beberapa rakannya, dan dalam kes ini kita berjaya tahan kesemua empat suspek yang terlibat.

“Hasil soal siasat yang dilakukan terhadap remaja berkenaan termasuk rakan-rakannya, kita berjaya menemui lima rangka motosikal jenis Honda.

"Kami percaya masih terdapat banyak lagi rangka yang masih tertinggal dibuang di sungai terbabit dan akan berusaha mengesannya melalui unit skuba.

“Kita percaya kumpulan ini bergerak aktif sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian dan menjadikan kawasan berkenaan sebagai ‘port’ mereka untuk membuang bahan bukti," katanya.

Rohaimi berkata, dalam perkembangan kes curi motosikal sepanjang Januari lalu, sebanyak 131 kes kecurian motosikal dilaporkan di Kota Bharu dan pihaknya berjaya menyelesaikan 63 kes dengan tangkapan 16 orang.

“Dengan tangkapan terbaru ini, kita harap dapat menyelesaikan banyak kes kecurian di daerah Kota Bharu memandangkan tangkapan ini merupakan kejayaan terbesar pasukan pada tahun ini dan kesemua suspek di tahan di bawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan (KK) ,”katanya.

Sinar Harian