Saturday, 21 February 2015

Berjalan kaki 2 1/2km untuk ke masjid setiap hari

Demi berkongsi ilmu agama, pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Al Fairosz sanggup berjalan kaki menerima undangan masyarakat setempat kerana masih tidak mempunyai kemudahan kenderaan.

Maahad yang ditubuhkan pertengahan tahun lalu dengan dua pelajar kini mencecah 23 orang sebenarnya sukar bergerak untuk melakukan aktiviti berkaitan kerana terpaksa bergantung kepada pihak lain.

Mudir maahad berkenaan, Fais Rosli berkata, pelajar terbabit bagaimanapun tidak pernah merungut kepenatan malah mereka berjalan kaki bersama-sama ke lokasi yang dijanjikan.

“Sudah menjadi rutin kami berjalan sejauh dua setengah kilometer setiap hari untuk menunaikan solat di Masjid Permatang Badak tetapi itu tidak menjadi halangan mereka beribadah,” katanya.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan mereka yang nampak kepenatan  berjalan dari maahad yang terletak di kawasan Perumahan Bukit Rangin Perdana.

“Memang mereka boleh berjalan dalam kumpulan dan dilihat menjadi rutin namun kita  sedang berusaha  mendapatkan sebuah van bagi mengurangkan beban pelajar dan menjimatkan masa,” katanya.

Katanya, ada ketika, mereka terpaksa berjalan sehingga tiga kilometer bagi menghadiri majlis keagamaan atau jemputan penduduk setempat.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul dana untuk membeli kenderaan sesuai dengan jumlah pelajar.

“Selepas berbincang, kita bersetuju untuk mendapatkan sebuah van yang mempunyai 18 tempat duduk tetapi masih belum berkemampuan kerana harganya dianggarkan bernilai RM123,000,” katanya.

Katanya, kenderaan itu diharap boleh digunakan untuk mereka berulang-alik ke Temerloh bagi aktiviti agama yang dilaksanakan dua bulan sekali.

Justeru, katanya, bagi memenuhi hasrat berkenaan, mereka yang mahu memberi sumbangan boleh berbuat demikian melalui cek ke akaun Maahad Tahfiz Bustanul Al Fairosz (556226406825)melalui Maybank.

Maahad Tahfiz Bustanul Al Fairosz adalah  pusat pendidikan agama yang sepenuh masa menumpukan perhatian kepada hafazan al-Quran, fekah, Hadis dan syariah manakala Sabtu dan Ahad untuk aktiviti kokurikulum.

Sinar Harian