Thursday, 19 February 2015

Bekas YB pun layak terima BR1M?

Kerajaan Melaka akan membentangkan cadangan untuk mengkaji semula elaun saraan wakil rakyat yang sedang berkhidmat di negeri ini pada persidangan Dun sesi kedua, Mac ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, langkah itu diambil berikutan terdapat bekas wakil rakyat di negeri ini menerima wang pencen serendah RM1,250 sebulan sehingga membariskan mereka layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Malah, katanya, keadaan itu perlu dilihat secara serius dan menyarankan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) peringkat kebangsaan menyuarakan isu berkenaan kepada kerajaan.

“Saya mencadangkan supaya Enakmen Anggota Pentadbiran dan Adun (Saraan) ini dibawa ke Sidang Dun pada sesi kedua nanti bagi menimbang semula elaun saraan wakil rakyat yang sedang berkhidmat, sekali gus memberi kesan positif kepada yang bersara.

“Saya mengharapkan tiada sebarang masalah besar ketika membentangkan enakmen ini nanti. Kalau dipersetujui, ia akan dilaksanakan mengikut kekuatan dan keupayaan kita,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Mubarak di Taman Indah, Bukit Sebukor, di sini semalam.

Turut hadir, Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Idris berkata, usaha yang sudah mendapat persetujuan barisan Exco Kerajaan Negeri itu membantu menangani kos sara hidup wakil rakyat sedang berkhidmat dan menjaga kebajikan mereka dan keluarga apabila sudah bersara nanti.

Sinar Harian