Thursday, 19 February 2015

Bapa lemas ketika mahu selamatkan anaknya di Pantai Aur Telong

Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan mangsa yang hampir lemas berakhir dengan tragedi apabila dia sendiri kehilangan nyawa selepas dihanyutkan ombak dalam kejadian di Pantai Aur Telong, jam 4 petang, semalam.

Anak mangsa, Mohd Rossmaizat Rosli, 20, memberitahu, bapanya, Rosli Arifin, 48, cuba menyelamatkan beberapa orang yang dikatakan hampir lemas semasa mandi di pantai berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berjoging di tepi pantai apabila terlihat adik rakannya terkapai-kapai kelemasan.

"Salah seorang rakan saya yang memakai jaket keselamatan turun ke air dengan segera untuk menyelamatkannya, tetapi rakan saya itu juga dilihat lemas menyebabkan saya juga turun ke air untuk menyelamatkan mereka.

"Malangnya paras air terlalu dalam dan ombak kuat menyebabkan saya juga hampir lemas. Kami bertiga berpegang pada jaket keselamatan rakan saya sehinggalah abah datang," katanya ketika ditemui di pekarangan Klinik Kesihatan Bachok semalam.

Mohd Rossmaizat berkata, ayahnya bersama seorang rakan, Zawadi Che Pa, 49, membawa pelampung untuk mereka bertiga tetapi selepas itu dia sendiri dihanyutkan arus air yang deras.

Katanya, mereka kemudiannya dibantu oleh penduduk yang menghulurkan buluh bagi mengheret mereka ke daratan manakala mayat bapanya timbul 100 meter dari lokasi kejadian dan dibawa naik ke darat oleh orang awam.

Sementara itu, rakan mangsa, Zawadi menceritakan, ketika kejadian, dia baru selesai solat zuhur sebelum melihat orang ramai berlari ke pantai.

"Saya terus turun ke air namun gagal tiba di tempat Rosli lemas, menyebabkan saya sendiri lemas. Tetapi saya diselamatkan orang awam.

"Kami datang ke pantai ini seramai tujuh keluarga sempena hari keluarga kumpulan WhatsApp Cendikiawan. Saya sendiri datang bersama sembilan ahli keluarga. Kami tidak menyangka ia akan berakhir dengan tragedi sebegini," katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan kejadian dan memaklumkan, mangsa terselamat di bawa ke hospital di Kota Bharu.

Mayat Rosli dituntut ahli keluarga untuk disemadikan di kampung halamannya.

Sinar Harian