Wednesday, 25 February 2015

Bahaya guna minyak masak kitar semula

Orang ramai dinasihati lebih berwaspada terhadap syarikat tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti mengutip minyak masak terpakai sebelum mengitarkannya semula dijadikan minyak masak.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar berkata, penjualan minyak masak terpakai yang  dibungkus semula itu kemudiannya dijual di pasaran menyumbang masalah kebersihan, kesihatan dan juga isu halal.
Mohlis (dua, kanan) bersama Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (kanan) dan Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abd Malik (tiga, kiri) semasa program berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan minyak masak dikitar semula itu dikutip daripada sumber yang tidak diketahui dari aspek kebersihannya terutama daripada aspek makanan halal kepada pengguna Islam. 

“Sebagai umat Islam, isu halal ini menjadi perkara utama dalam kehidupan seharian kita terutama yang melibatkan soal makanan dan ibadah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Pelancaran Inkubator Keusahawanan Minyak Masak Terpakai (CWASCO) di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam, di sini.

Mohlis berkata, penggunaan minyak masak itu juga boleh menjejaskan taraf kesihatan penduduk kerana menyumbang kepada risiko penyakit seperti kanser, penyakit kardio vascular (penyakit berkaitan jantung dan salur darah), strok, alzheimers dan parkinson.

Dalam pada itu, beliau berkata, PSIS Sabak Bernam disaran menggunakan minyak masak terpakai yang dijual kepada  Kris Biofuels untuk diproses menjadi biodiesel untuk kegunaan kenderaan politeknik berkenaan.

Beliau berkata, PSIS yang menjalin kerjasama dengan menjual minyak masak terpakai kepada Kris Biofuels perlu membelinya semula dengan syarikat terbabit berdasarkan perjanjian dan harga yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.

Katanya, menerusi kolaborasi itu PSIS bukan saja menjual minyak masak kepada syarikat terbabit, malah mereka dapat menggunakan biodiesel untuk kenderaan politeknik seperti pacuan empat roda dan bas.

“Apa yang kita buat ini mestilah kita amalkan kerana terbukti biodiesel ini lebih bersih dan tidak mengeluarkan karbon seperti diesel,” katanya.

Mohlis berkata, PSIS menjadi satu-satunya politeknik di negara ini yang menggerakkan inkubator keusahawanan minyak terpakai dan berharap agar kesemua politeknik lain juga dapat menghasilkan produk sama dan lain yang berimpak tinggi kepada penuntut politeknik dan masyarakat.

“Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM120,000 kepada seluruh politeknik di negara ini bagi program pemerkasaan inkubator keusahawanan politeknik,” katanya.

Katanya, PSIS menjalin kerjasama dengan pihak sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sekitar daerah Sabak Bernam bagi menjayakan projek pengumpulan minyak masak terpakai berkenaan.

Sinar Harian