Wednesday, 21 January 2015

Pertumbuhan ekonomi perlahan tak jejas pekerja - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya pertumbuhan ekonomi global yang perlahan sekarang tidak akan menjejaskan pekerja di negara ini.

Katanya, walaupun keadaan ekonomi tidak rancak, ia tidak sampai ke tahap majikan perlu mengambil langkah mengurangkan pekerja.

"Saya tidak fikir akan berlaku retrenchment, pengurangan pekerja atau pun pendapatan mereka akan berkurangan, tetapi itu mungkin bererti bahawa kegiatan ekonomi perlahan sedikit," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Soal Jawab terbitan TV3 malam ini.

Dalam temu bual itu, Najib diminta memberi pandangan tentang kesan yang mungkin dihadapi golongan pekerja di negara ini akibat pertumbuhan ekonomi global yang perlahan pada masa ini, khususnya dari segi pendapatan mereka. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berpandangan bahawa keadaan sekarang mungkin akan memberi kesan dalam penawaran peluang pekerjaan yang baharu.
“Pertambahan peluang kerja baharu akan tetap ada dalam bilangan yang mungkin lebih kecil, namun keadaan ini bukan bererti negara sedang mengalami krisis ataupun kegawatan. 

"Bilangan pekerjaan tetap bertambah cuma kadar pertumbuhannya itu nanti mungkin ada sedikit sebanyak kesan daripada pengurangan pertumbuhan ekonomi global," katanya. 

Selain membincangkan isu kelembapan ekonomi global, program selama sejam itu turut mengupas isu-isu lain seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), masalah banjir yang melanda beberapa negeri, isu militan serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Semalam, Perdana Menteri menyampaikan perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara bagi menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah. 

Bernama