Monday, 19 January 2015

Jangan makan 2 jenis epal ini

Pengimport epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat sedang menarik balik kesemua buah-buahan itu daripada pasaran tempatan.
 
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, rakyat tidak perlu bimbang membeli epal jenis lain yang dijual di pasaran negara ini, selepas dakwaan terdapat bakteria jenis 'Listeria Monocytegenes' pada kedua-dua jenis epal tersebut.

"Syarikat berkenaan sedang menguruskan proses mengambil semula kedua-dua jenis epal itu di seluruh negara dan jika terdapat peniaga masih menjualnya, (orang ramai) boleh membuat laporan kepada kami," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah dan Organ Perdana Pasca Banjir di Politeknik Kota Bharu, hari ini.
   
Beliau berkata Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang giat menjalankan operasi pemantauan di seluruh negara berhubung perkara berkenaan.
   
Semalam, Kementerian Kesihatan menyita 19,960 biji epal jenis Gala dan Granny Smith yang diimport dari Amerika Syarikat bernilai RM82,000 dalam pemeriksaan di Kuching dan Sibu, Sarawak selepas dikhuatiri dicemari bakteria yang boleh menyebabkan kematian.  

Antara tanda awal gejala serangan penyakit bawaan makanan itu ialah sakit kepala, muntah, demam serta kekejangan pada leher dan orang ramai dinasihatkan tidak panik kerana hanya dua jenis epal tersebut disahkan tercemar manakala epal lain masih selamat dimakan.

Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata, kesedaran rakyat Malaysia untuk mendaftar sebagai penderma organ masih rendah berbanding keperluan semasa yang jauh lebih tinggi.
   
"Sejak diperkenalkan pada 1975, kita hanya mampu mengumpulkan sejumlah 500 penderma sedangkan terdapat 18,322 penerima organ yang sedang dalam senarai menunggu," katanya.
   
Beliau berkata, kesedaran yang masih rendah itu disebabkan persepsi dan pandangan orang ramai yang belum jelas berhubung pendermaan organ.
   
Sementara itu, beliau berkata, sehingga 11 Januari lepas, Pusat Darah Negara menghantar 430 unit darah merah dan lapan platelet 'apheresis' ke Kelantan, 250 unit darah merah dan 60 platelet jenis sama ke Terengganu, manakala 200 unit darah merah ke Pahang.

"Kita memerlukan antara 1,800 dan 2,000 penderma darah sehari bagi memenuhi keperluan pesakit seluruh negara," katanya.
   
Program yang diadakan selama tiga hari di Politeknik Kota Bharu itu dijangka mengumpul kira-kira 1,500 unit darah dengan pembabitan penuntut institusi berkenaan selain beberapa kolej komuniti lain di Kelantan.

Sinar Harian