Tuesday, 27 January 2015

Iqbal El-Assaad doktor termuda di dunia

PADA  usia 20 tahun, Iqbal El-Assaad kini bergelar doktor termuda di dunia selepas berjaya menamatkan pengajiannya dari Kolej Perubatan Weill Cornell (WCMC-Q) di Qatar.

Ketika berusia 12 tahun, beliau lulus dengan cemerlang dari sekolah tinggi dan berada di kedudukan teratas di dalam kelas. Bukan itu sahaja, beliau juga telah menguasai subjek biokimia dan matematik yang merupakan antara pelajaran penting untuk ke sekolah perubatan.

Melangkah ke usia 13 tahun, Iqbal bukan  hanya belajar memandu, malah kebijaksanaannya telah menarik perhatian Menteri Pelajaran Lubnan yang membantu beliau mendapatkan biasiswa perubatan di Qatar.

Baginya, kekurangan penjagaan kesihatan di kalangan rakyat Palestin adalah antara faktor utama beliau ingin menjadi seorang doktor.


Kehidupan peribadi

Iqbal dibesarkan di Bar Elias, iaitu sebuah perkampungan kecil di Lembah Beeka, selepas ibu bapanya tiba di Lubnan. Di sana, beliau berpeluang melawat saudara maranya yang tinggal di kem pelarian dan kemiskinan yang membelenggu pelarian di situ benar-benar menyentuh hatinya walaupun ketika itu beliau masih seorang kanak-kanak.

“Saya adalah paling muda dalam keluarga dan bapa mula perasan minat saya untuk belajar dengan abang ketika masih berusia dua setengah tahun. Bagi bapa, pendidikan adalah paling penting terutamanya bagi anak perempuan.

“Katanya, lelaki akan keluar mencari kerja tetapi pendidikan adalah senjata bagi wanita di masa hadapan. Kami dibesarkan dengan diajar betapa pentingnya pelajaran dan ibu bapa saya sentiasa membantu anak-anak mereka belajar,” katanya.

Pendidikan awal

Iqbal bersekolah di sebuah sekolah swasta di Lubnan yang berdasarkan kurikulum di negara itu. Selepas dua tahun, pihak sekolah memberinya biasiswa penuh. Beliau juga kerap melangkau gred dan selalu menjadi pelajar paling muda dalam kelas.
Selepas habis sekolah tinggi, Menteri Pelajaran Lubnan ketika itu, Khaled Qabbani mengiktirafnya sebagai pelajar termuda yang pernah menamatkan sekolah tinggi.

Iqbal memberitahu Khaled tentang cita-citanya untuk menjadi seorang doktor. Khaled berjanji untuk mendapatkannya biasiswa dan kemudian bertemu Pengerusi Yayasan Qatar Sheikha Mozah bint Nasser Al Missned.

Nyata, rezeki berpihak kepada Iqbal apabila Qatar menawarkan beliau biasiswa penuh di (WCMC-Q), sebahagian daripada kumpulan cawangan kampus elit Amerika di Bandar Pendidikan.

Iqbal memulakan pengajian dalam bidang yang diminatinya itu dikelilingi mereka yang kebanyakan berusia sekurang-kurangnya lima tahun lebih tua daripadanya.

Cabaran jadi pelajar termuda

Menjadi pelajar paling muda di sesebuah tempat pengajian bukan perkara mudah. Bagi Iqbal, waktu paling sukar dihadapi adalah ketika mula-mula tiba di Qatar.

Biasiswa penuh diterima dari Qatar Foundation dirasakan menambahkan lagi tekanan, kerana baginya dia perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa amanah yang diberikan kepadanya tidak akan sesekali disia-siakan.

“Saya membesar dengan pelajar lebih tua daripada saya, jadi saya sudah biasa berurusan dengan mereka yang lebih berusia dan saya juga cukup matang untuk bekerja dengan mereka. Interaksi antara dua golongan berbeza umur turut membantu meningkatkan cara saya berfikir,” katanya.

Selepas menghabiskan pengajian, Iqbal akan kembali ke Timur Tengah dan bekerja di antara Qatar dan Lubnan sebagai membalas jasa kerana telah menaja pengajiannya selama enam tahun.

Selain itu, beliau juga ingin kembali ke Lubnan untuk membantu rakyat Palestin kerana mereka sebenarnya adalah inspirasi utama beliau menjadi doktor selain mahu memenuhi impian zaman kanak-kanaknya yang ingin membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat di wilayah bergolak itu.

Inspirasi sebagai doktor

Menurut Iqbal, beliau membuat keputusan untuk menjadi doktor ketika berusia 12 tahun. Membesar sebagai seorang Palestin yang tinggal di Lubnan, beliau melihat banyak penderitaan dalam kalangan Palestin Lubnan memandangkan mereka tidak mempunyai insurans kesihatan.

“Lawatan ke kem pelarian menyedarkan saya ramai ibu bapa di sana yang melihat anak-anak mereka menderita tetapi mereka tidak dapat membantu kerana tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian," katanya.

Kini, Iqbal berkhidmat di bahagian pediatrik di Hospital Kanak-kanak di Cleveland,  Amerika Syarikat selama tiga tahun dan bakal menyambung pengajian dalam bidang kardiologi pediatrik selepas tamat tempoh tiga tahun tersebut.

Sinar Harian