Wednesday, 21 January 2015

Banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk

Keadaan banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk apabila bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus meningkat malam ini.

Sehingga jam 9 malam ini, jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu kini sebanyak 8,218 orang, meningkat sebanyak 617 orang berbanding petang tadi.

Banjir di Sarawak

Di SABAH, mangsa di daerah Beaufort adalah sebanyak 1,233 orang daripada 442 keluarga, Sipitang (60 orang), Tenom (249) manakala Membakut sebanyak 332 orang.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shahid Othman berkata hujan masih berterusan di daerah itu manakala paras air Sungai Padas setakat jam 6 petang tadi masih melepasi paras bahaya iaitu 9.32 meter.

Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapin pula berkata paras air Sungai Padas di Tenom setakat ini ialah 177.42 meter, juga melepasi paras bahaya.

Madiyem juga berkata dua pusat pemindahan banjir di daerah itu telah ditutup hari ini iaitu Dewan Antanom dan Rumah Kebudayaan Ponontomon.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata satu lagi pusat pemindahan dibuka malam ini, menjadikan ketika ini 38 pusat pemindahan banjir disediakan di bahagian Kuching, Samarahan, Mukah dan Limbang.

Jumlah mangsa di pusat pemindahan di bahagian Kuching meningkat kepada 3,592 orang kira-kira pukul 8 malam ini, daripada 3,373 orang petang tadi, manakala Samarahan turun kepada 1,507 orang daripada 1,598 orang dan Limbang juga turun sedikit kepada 1,211 orang daripada 1,244 orang.

Katanya bahagian Mukah kekal dengan satu pusat pemindahan menempatkan 34 mangsa daripada 10 keluarga.

Di Limbang, beberapa tempat hari ini menghadapi masalah kekurangan bekalan petrol dan diesel, menyebabkan orang ramai di sana hanya dibenarkan untuk membeli bahan api itu tidak lebih daripada RM30 bagi setiap pengisian.

Sementara di KELANTAN dan PERAK, jumlah mangsa kekal seperti yang direkodkan petang tadi iaitu masing-masing 255 dan 77 orang.

Bernama

Foto sekitar banjir di Sarawak (dari FB YM Raja Shamri)