Friday, 23 January 2015

Asteroid bersaiz 500 meter diameter dijangka hampiri bumi Selasa depan

Asteroid 2004 BL86 bersaiz 500 meter diameter (0.5 kilometer) yang menghampiri Bumi setiap 200 tahun sekali, akan muncul semula pada Selasa depan.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia dijangka muncul pada jam 12.20 tengah malam, hari terbabit.

Laluan Asteroid 2004 BL86 bersaiz 500 meter diameter (0.5 kilometer) yang akan melintasi bumi
Katanya, jarak asteroid berkenaan dari bumi ketika itu dianggarkan sejauh 1.2 juta kilometer atau kira-kira tiga kali jarak bumi ke bulan.

"Pada kedudukan ini, ia kelihatan bergerak di hadapan bintang-bintang dan dapat dilihat hanya menerusi teleskop atau binokular berkuasa tinggi.

"Pada 26 dan 27 Januari ini, kecerahan Asteroid 2004 BL86 adalah dianggarkan pada magnitud kesembilan dan bergerak pada orbitnya mengelilingi matahari dengan kelajuan 56,420 kilometer sejam," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, asteroid berkenaan telah ditemukan oleh teleskop Lincoln Near-Earth Asteroid Research (LINEAR) di White Sands, New Mexico pada 30 Januari 2004.

"Penyelidik di seluruh dunia menjangkakan, selepas kemunculan Asteroid 2004 BL86 pada tahun ini, tiada asteroid lain yang diketahui akan berada paling hampir dengan Bumi sehingga tahun 2027.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mendatangkan sebarang bahaya kepada Bumi. menurut kenyataan itu," katanya.

Bagi mereka yang ingin mencerap, boleh merujuk kepada buruj Cancer dan lokasi pencerapan mestilah jauh dari pencemaran cahaya di kawasan yang lapang dengan keadaan cuaca yang mengizinkan.

BHarian