Saturday, 31 January 2015

Piala Sumbangsih milik JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya merangkul kejuaraan pertama musim ini selepas menewaskan Pahang 2-0 dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2015, Piala Sumbangsih di Stadium Larkin, malam ini.

Gol pertama JDT berjaya dijaringkan oleh Marcos Antonio hasil sepakan sudut pada minit ke-36.

JDT kemudiannya, berjaya menggandakan jaringan hasil sepakan dari Luciano Figueroa pada minit ke-58.

Kemenangan ini memberi makna kepada JDT yang sebelum ini kalah dengan Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

Selaku juara Liga Super musim lalu, JDT dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan gelaran mereka musim ini.

Kemenangan menentang Pahang ini pastinya akan membakar semangat anak buah Bojan Hodak untuk terus beraksi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia 2015.

Baca lagi >>

Pengorbanan seorang ibu, kayuh basikal 15 km untuk mengambil BR1M

SEGAMAT - Semata-mata mahu mengambil duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ibu tunggal di Kampung Tengah dekat sini, sanggup mengayuh basikal 15 kilometer (km) ke Dewan Serba Guna Jalan Genuang, kelmarin.

Kamsah Mudakir, 55, berkata, dia terpaksa mengambil masa selama 45 minit dari rumahnya ke dewan tersebut dan mengakui sudah biasa berbasikal walaupun terpaksa melalui jalan raya yang penuh sesak dengan kenderaan.

Kamsah menunjukkan duit BR1M yang diterimanya.
“Mak cik sudah lama mengayuh basikal sejak dahulu lagi kerana ini sahajalah kenderaan yang ada. Hendak beli motosikal, tetapi belum mampu kerana keadaan kewangan belum mengizinkan.

“Mak cik hanya bekerja di kedai makan sahaja dan pendapatan diterima diguna untuk persekolahan dua anak saya dan perbelanjaan harian kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut ibu kepada lima anak itu, setiap hari dia akan menghantar dan menjemput anak bongsunya, Siti Nurdiana Idris, 13, dari Sekolah Tinggi Segamat (STS) kerana tidak mampu untuk membayar tambang bulanan bas sekolah.

Katanya, dia juga sanggup berkorban untuk anak-anaknya asalkan mereka mendapat pendidikan sewajarnya agar mampu mengubah nasib kelak.

“Alhamdulillah, walaupun mak cik kayuh basikal berpuluh tahun, mak cik tidak pernah terjatuh dan mendapat kecederaan serius. Mak cik akan terus mengayuh selagi kudrat mak cik masih berdaya.

“Duit BR1M yang diterima hari ini (kelmarin), mak cik akan simpan untuk kegunaan anak-anak mak cik. Banyak lagi yang perlu dibayar dan ini sedikit sebanyak meringankan beban yang dihadapi oleh mak cik,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Anjing juga punya perasaan, menangis kembar mati

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Reaksi Brutus, seekor anjing jenis Rottweiler yang menangis apabila kembarnya, Hank, mati menarik perhatian ratusan pelayar laman video YouTube.

Dalam video tersebut, keadaan Brutus menyayat hati apabila dia menangis dan tidak berganjak walaupun ditenangkan tuannya, Brett Bennett.


Menurut laporan Dailymail UK, Hank, kembar kepada Brutus, mati ketika tidur dan punca kematian haiwan berkenaan tidak diketahui. Hank disahkan mati 20 Januari lepas.

Brutus dilihat jelas menitiskan air matanya ketika baring di atas kepala Hank dan reaksi anjing berkenaan menarik simpati pencinta haiwan anjing dan seumpamanya.


Sinar Harian

Baca lagi >>

Harga minyak turun lagi bermula 1 Feb 2015

Harga runcit bagi petrol RON95 diturunkan 21 sen seliter kepada RM1.70 seliter manakala harga RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter kepada RM2 seliter berkuat kuasa 1 Februari 2015.
 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga runcit bagi diesel pula diturunkan sebanyak 23 sen seliter kepada RM1.70 seliter.
 

Beliau berkata, kerajaan pada 21 November 2014 memutuskan bahawa penetapan harga runcit RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember 2014.
   
"Harga baharu bagi petrol dan diesel dibuat berdasarkan kepada purata harga kos produk sepanjang bulan Januari 2015 dan kadar pertukaran matawang," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
   
Beliau berkata, kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.
   
"Semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak diingatkan agar mematuhi penetapan harga baharu ini dan tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang melanggar peraturan harga baharu yang ditetapkan kerajaan ini," katanya.

Baca lagi >>

Ustaz Zahazan kembali bersiaran di radio untuk kuliah tafsir

Nota dari Ustaz Zahazan:

Kuliah tafsir kini bermula semula di radio Nasional.fm

Para tamu,

Akhirnya saya menerima juga ...

Atas permintaan ramai, saya kini mengambil inisiatif menyampaikan kuliah tafsir semula kat radio.

Cuma disebabkan jadual yang amat padat, saya menerima cadangan para tamu, para sahabat untuk meneruskn kuliah tafsir di radio nasionalFm yang akan bermula pada Ahad 1 Feb 2015 ini pada jam 8.05-8.20 malam.
Saya mengambil keputusan ini selepas lebih setahun menyepi dari radio kerana ingin membantu memberikan kefahaman umat pada al Quran khasnya ilmu tafsir berbekalkan sedikit kemahiran dlm ilmu bahasa Arab yang menjadi teras pada tafsir itu sendiri.

Saya teringat pesan guru dulu semasa saya bertalaqqi dengan mereka agar menyampaikan ilmu, maka walaupun sibuk menguruskan Telaga Biru yang amat memerlukan perhatian saya, dan tambahan pula kuliah ini bersifat mingguan, maka saya cuba untuk mengisinya sedaya upaya.

Buat para peminat & tamu doa kalian kami harapkan.

Agar dapat istiqomah dalam apa jua kerja yang kita lakukan..

Baca lagi >>

Perkembangan Kesihatan Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Alhamdulillah, walaupun masih keletihan, ayahanda telah mampu jalani proses rehabilitasi dengan baik, meningkat dari hari ke hari.

Semalam ayahanda dibawa ke bilik fisioterapi untuk latihan berdiri. Syukur, ayahanda boleh berdiri dengan sokongan sekitar setengah jam.

Terima kasih atas ziarah YAB Dato Seri Mohamad Najib bin Abdul Razak kepada ayahanda semalam. Walau pun sekejap dan ayahanda keletihan, ia bermakna buat kami sekeluarga.

Terima kasih rakyat Malaysia.

Anakanda
11 Rabiul Akhir 1436H / 31 Januari 2015H

(Gambar: Ayahanda ditunjukkan surat perutusan khas dan doa daripada Syeikh Ali Asy Shobuni untuk kesihatan ayahanda. Ayahanda pernah dikunjungi syeikh tahun lepas di Kelantan.)

Baca lagi >>

Azran Osman lepaskan jawatan CEO AirAsia X

AIRASIA X Bhd hari ini mengesahkan Azran Osman Rani mengosongkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuatkuasa hari ini.

Syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah itu melantik Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu dan Benyamin Ismail sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, berkuatkuasa serta merta, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula berterusan syarikat.

AirAsia X dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam jawatan yang baru diwujudkan itu, Kamarudin akan menerajui pembangunan strategi bagi AirAsia X Group, yang terdiri daripada AirAsia X, AirAsia X Thailand dan Indonesia AirAsia Extra.

Kamarudin dan Benyamin kedua-duanya akan menerajui penyusunan semula dan pemulihan bagi memantapkan lembaran imbangan syarikat dan memaksimumkan keuntungan bagi memastikan kedudukan kewangan yang lebih kukuh.

Kamarudin berkata, dengan adanya pelan ini, AirAsia X akan melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dan mengekalkan kedudukan penerajunya dalam pasaran jarak jauh tambang rendah.

Mengenai pelantikan beliau, Benyamin berkata, AirAsia X akan terus berkembang ke pasaran baharu bagi membina rangkaian serantau yang tiada tandingan.

Beliau menyertai AirAsia Bhd pada 2010, mengetuai pasukan Perhubungan Pelabur dan paling terbaharu memegang jawatan sebagai Ketua Kumpulan Pembangunan Korporat, Pelaksanaan dan Perhubungan Pelabur. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Friday, 30 January 2015

"Solat menenangkan jiwa saya"

PEMAIN bola sepak dari Jerman Danny Blum, 24, telah mengisytiharkan dirinya memeluk agama Islam selepas ‘menemui sesuatu yang baharu’.

Memetik laporan OnIslam.net, Danny berkata, agama baharu anutannya itu (Islam) memberi harapan dan kekuatan terhadapnnya.

“Kadangkala hati dan perasaan tidak menentu dan saya pun tidak faham dengan diri saya ketika itu…hingga saya kenal Islam. Islam beri harapan dan kekuatan, solat menenangkan jiwa saya,” katanya.

Jelas Danny, antara keinginannya untuk memeluk Islam tercetus apabila beliau terfikir akan hidup di dunia ini yang tiada arah tujuan.

“Tinggal dalam kemewahan, setiap hujung minggu boleh bercuti, tiada tanggungjawab untuk apa pun dan apa yang akan terjadi ?,” katanya.

Danny  menyertai FC N├╝rnberg Bavaria pada Julai lalu.

Pasukan itu bermain di Bahagian Kedua bola sepak profesional di Jerman, Bundesliga.

Tidak lama selepas menyertai pasukan itu, dia mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat selama enam bulan.

Jelas Danny, ketika melawat masjid, ada sesuatu yang menolaknya untuk mengetahui tentang isinya.

"Saya telah melawat masjid, dan saya terus berdebar-debar. Saya rasa ada sesuatu yang ingin saya tahu,” ujarnya.

Semenjak itu, dia berdoa lima kali sehari dan makan makanan halal. Lantas memberitahu ibu bapanya tentang keputusannya untuk memeluk Islam.

"Mereka adalah orang Kristian yang taat. Tetapi tidak lama lagi mereka berkata yang saya perlu berbuat demikian jika saya percaya bahawa ia adalah betul," katanya.

"Islam adalah agama yang aman. Iman saya mengatakan: tidak pernah memaksa sesiapa untuk melakukan apa yang dia tidak mahu. Jika anda berfikir, ia perlu datang secara sukarela dari hati! " ujarnya

Jerman dianggarkan terdapat hampir 4 juta umat Islam, termasuk 220,000 di Berlin.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tabung RM10

Hulurkan tangan.
Ringankan beban.
Nilai yang bermakna.

Baca lagi >>

Pasca banjir di Kelantan: sumbangan bahan binaan diperlukan (7 foto)

Sudah lebih 20 hari, mangsa banjir yang kehilangan rumah dan rumah rosak teruk tinggal di dalam khemah. Keperluan utama di lapangan ialah tempat berteduh dan rumah dibaiki serta didirikan sesegera mungkin.

Atas kesedaran itu, Yayasan Darul Hijrah mengambil inisiaitif menyediakan Stor Wakaf Bahan Binaan sebagai tempat transit bahan binaan untuk diagihkan kepada penduduk yang terlibat banjir. 

Antara bahan yang diperlukan bagi menjayakan OPS BAIK PULIH RUMAH ialah :

1) SIMEN
2) KAYU
3) TANGKI
4) CAT
5) PAPAN LAPIS
6) ATAP
7) PAIP
8) ALATAN PERTUKANGAN
9) BESI

Justeru dipelawa syarikat-syarikat mahupun orang perseorangan untuk mengirim barangan yang diperlukan ke :

STOR WAKAF,
YAYASAN DARUL HIJRAH
DATARAN HIJAU, KAMPUNG LALOH,
KUALA KRAI.

Hubungi RelawanYDH : 014-520 5592 (WEY) 019-987 7623 (HAZMI)

atau kirimkan sumbangan ke 
Yayasan Darul Hijrah
Maybank 
5660 1060 9934
dan email maklumat sumbangan ke darulhijrahmalaysia@gmail.com dan sms atau WhatsApp ke 018-359 0403.

Sumbangan anda membawa erti yang besar untuk meringankan beban saudara mara kita.

Foto di bawah:

Operasi Bantuan Utiliti Aring, Gua Musang. Hari ni relawan Yayasan Darul Hijrah gotong royong menyiapkan tandas serta sambungan elektrik ke khemah.
Bagi teman-teman yang mahu melupuskan wang tidak patuh syariah boleh salurkan kepada kami untuk tujuan ini.








Dari FB Dato Haji Husam Musa

Baca lagi >>

Status perkahwinan mangsa MH370 beragama Islam tidak terbubar

Status perkahwinan bagi mangsa MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang beragama Islam tidak terbubar walaupun kerajaan mengisytiharkan semua penumpang pesawat malang itu terkorban.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang, berkata untuk menentukan status sesuatu perkahwinan terbubar, perintah Anggapan Kematian atau perintah pembubaran perkahwinan perlu dibuat oleh mahkamah.

"Pada pandangan saya walaupun dengan pengisytiharan yang dibuat oleh kerajaan mengenai status MH370, ia belum membubarkan status perkahwinan mangsa-mangsa dan sebarang tuntutan ke atas harta pusaka tidak boleh dibuat.

"Hanya mahkamah yang boleh mengeluarkan perintah Anggapan Kematian," katanya di sini, hari ini.

Musa berkata jika pasangan mangsa berhasrat untuk memuktamadkan status perkahwinan, individu berkenaan boleh memohon perceraian secara fasakh atas alasan suami telah ghaib lebih setahun atau mereka boleh memohon mendapatkan perintah Anggapan Kematian daripada mahkamah.

Musa menjelaskan menurut Seksyen 18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah dinyatakan dengan jelas bahawa setiap kematian di negara hendaklah didaftarkan dengan syarat mayatnya dijumpai.

Dalam kes mayat tidak dijumpai atau individu yang diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati, maka perintah Anggapan Kematian perlu diperoleh di Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 108 Akta Keterangan 1950, katanya.

Bagi kes Anggapan Kematian, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mendaftarkan atau mengeluarkan sijil kematian, sebaliknya hanya akan mengemas kini maklumat individu yang telah dianggap mati oleh Mahkamah Tinggi di dalam sistem jabatan.

"Untuk sebarang urusan berkaitan individu yang telah dianggap mati, waris perlulah menggunakan perintah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah" katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan insiden pesawat malang MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Azharuddin berkata pengisytiharan itu dibuat mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, yang lazimnya dirujuk sebagai Konvensyen Chicago.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapa dalam satu kenyataan berkata hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum lain hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang ditetapkan setelah pengesahan atau sabitan kematian diputuskan mahkamah.

Bernama

Baca lagi >>

Aziz Desa terlantar di hospital

Bekas wartawan Berita Harian (BH) dan bekas pengacara TV3, Aziz Desa kini terlantar di Hospital Langkawi akibat masalah buah pinggang kronik dan penyakit kencing manis.


Aziz atau nama sebenar Abdul Azid, 50, dimasukkan ke hospital berkenaan kali kedua sejak dua hari lalu selepas pengsan di rumah adiknya di Kampung Bayas, di sini.

Ketika ditemui, Aziz berkata, doktor mengesahkan masalah buah pinggangnya pada tahap serius dan sedang menunggu ujian darah sebelum menjalani proses heamodialisis dalam tempoh terdekat.

Baca lagi >>

Gajet pengesan nyamuk Aedes pertama di dunia

Universiti Malaysia Perlis (Unimap) kini dalam proses membangunkan gajet atau peranti untuk mengesan kehadiran nyamuk aedes betina yang bertujuan mengurangkan masalah wabak denggi.

Pengarah Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (Unimap), Profesor Dr Uda Hashim berkata, peranti itu boleh mengesan kehadiran nyamuk aedes betina berasaskan gelombang akustik yang dihasilkan menerusi bunyi sayap nyamuk.

Bidang ini adalah gabungan penggunaan teknologi nano dalam kejuruteraan elektronik. Peranti akustik yang dihasilkan kelak adalah mudah alih, praktikal dan mampu dimiliki oleh orang ramai.

Peranti akustik berkenaan peka kepada bunyi sayap nyamuk aedes betina dan akan digabungkan dengan sistem kawalan tanpa wayar yang akan menghantar maklumat ke pusat pengumpulan data utama sama ada di dalam rumah itu sendiri atau di pusat-pusat kawalan nyamuk atau vektor yang berdekatan.

Kedua-dua teknologi itu akan dibangunkan serentak.

MEMBANTU USAHA YANG DIJALANKAN

Kaedah ini dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tentunya tidak mampu untuk pergi dari sebuah rumah ke sebuah rumah dalam proses pemantauannya.

Sehingga kini memang terdapat banyak pendekatan yang digunakan bagi mengawal populasi nyamuk aedes termasuklah kawalan secara biologikal, fizikal, kimia, pengurangan sumber pembiakan nyamuk dan pengurusan vektor yang bersepadu.

"KKM memang telah melaksanakan pelbagai cara untuk mengawal wabak ini. Oleh kerana belum ada lagi vaksin yang boleh memulihkan pesakit denggi, cara terbaik adalah dengan mengawal tempat pembiakkannya.

"Ia adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan kita mengharapkan peranti akustik yang dibangunkan ini dapat membantu mengurangkan masalah denggi yang semakin meningkat," ulas Prof Uda.

Sehingga Januari ini kes denggi seperti yang dilaporkan dalam laman web iDenggi masih terus meningkat dan mencapai lebih 2,600 kes dengan lapan kematian di seluruh negara.

Tahun lepas sahaja angka kematian akibat kes denggi di seluruh negara meningkat 224 peratus. Mangsa yang terkorban akibat denggi direkodkan 199 orang berbanding 88 kematian pada 2013.

TINGKATKAN LANGKAH PENCEGAHAN

Nyamuk aedes boleh membiak dalam takungan air jernih dan memerlukan hanya satu minggu untuk menjadi nyamuk dewasa.

Menurut kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, peningkatan kes dan kematian akibat denggi ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Langkah-langkah pencegahan denggi perlu dipertingkatkan dengan penglibatan aktif dan kerjasama semua agensi, jabatan dan masyarakat setempat.

Pihaknya menyarankan agar aspek kebersihan persekitaran diberi fokus utama iaitu dengan memastikan tiada tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan aedes.

SIAR PEMANTAUAN MINGGUAN

Denggi hari ini bukan lagi sejenis wabak tetapi boleh dijangkiti oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia dan kes jangkitan denggi berlaku sepanjang tahun.

Memandangkan bertambahnya penyakit ini di kawasan bandar mahupun kawasan separa bandar, satu langkah telah diambil oleh Cawangan Penyakit Bawaan Vektor KKM dengan mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Ia dilaksanakan mengikut kawasan utama sebagai langkah mencegah dan mengawal di samping mengadakan pelbagai aktiviti dan tindakan perancangan melalui media massa dan elektronik.

Kempen atau seruan yang sering diulang ialah dengan meluangkan masa 10 minit seperti yang dianjurkan oleh KKM untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah.

Antara tempat yang perlu diberi perhatian ialah longkang, saluran hujan, kolah, dan pasu bunga. Bahan-bahan terbuang seperti tin, botol, tayar kereta dan tempurung kelapa elok ditanam. Bagi barang yang boleh menakung air dan masih berguna, pastikan diletakkan dalam keadaan terbalik.

KKM turut menyiarkan pemantauan mingguannya yang dipaparkan dalam laman web iDenggi. Maklumat terkini berkenaan wabak berkenaan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

Bernama

Baca lagi >>

Apa sebenarnya yang terjadi kepada MH370?

Dalam tempoh kurang daripada dua bulan mulai sekarang, tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 akan genap setahun, namun kejadian itu terus menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.

Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk ditemui dan pelbagai persoalan terus diungkapkan.

Persoalan yang terus bermain diminda semua pihak; Apa sebenarnya yang terjadi? Di manakah sebenarnya pesawat itu? Bagaimanakah nasib anak kapal dan penumpang di dalam pesawat itu? Adakah lokasi pencarian itu tepat? Adakah aset pencarian tidak canggih sehingga sukar mendapatkan sebarang petunjuk? Sampai bilakah operasi mencari perlu dilakukan? Malah ada juga yang bertanya; Apa tindakan seterusnya jika pesawat diisytihar hilang? Adakah solat ghaib boleh dilakukan jika tiada sebarang kelibat ditemukan? Bagaimana dengan pampasan kepada waris keluarga dan siapa yang akan menanggung kos keseluruhan operasi?

>
Kesemua soalan ini diajukan Bernama kepada pakar penerbangan, bekas kapten kapal terbang, ahli akademik dan pakar agama bagi merungkai misteri kehilangan pesawat ini yang masih lagi belum terjawab sehingga kini.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Mengulas lanjut mengenai operasi mencari dan kawasan pencarian, seorang pakar penerbangan, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata saiz sebuah pesawat B777 adalah sekitar 4,500 meter persegi, sementara luas kawasan pencarian adalah sekitar 59,600 kilometer persegi.

"Ini bermakna saiz pesawat tersebut hanyalah 0.078 peratus keluasan kawasan pencarian. Sedangkan pesawat AirAsia QZ8501 jatuh pada kedalaman hanya 30m iaitu 0.5 peratus kedalaman pesawat MH370.

"Itu pun telah mengambil masa dua minggu untuk menjumpai bahagian ekor pesawat QZ8501 dengan banyak petunjuk seperti serpihan dan mayat yang terapung," katanya yang membandingkan operasi mencari MH370 dengan pesawat AirAsia QZ8501.

Pesawat Airbus yang membawa 162 orang termasuk tujuh anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 28 Dis semasa dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia. Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia.

Abdul Rahmat, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia menjelaskan, pencarian untuk MH370 bukanlah satu pencarian yang mudah dan mencadangkan agar kapal dan peralatan ditambah bagi memperkuat operasi pencarian pesawat Boeing yang ke-404 dibina itu.

Memetik laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang menerajui operasi itu, beliau berkata kawasan pencarian MH370 bertumpu di kawasan lebih jauh ke selatan iaitu kawasan terpencil dikenali sebagai 'lengkungan ketujuh' di lautan tersebut.

Ia ditetapkan selepas memperhalusi data komunikasi satelit dan maklumat panggilan telefon selama 17 minit dari darat ke udara yang tidak dijawab selepas maklumat terakhir diterima daripada radar.

Senada dengan Abdul Rahmat adalah Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian yang berpendapat lokasi pencarian adalah tepat kerana ia berdasarkan analisis terperinci akan isyarat 'ping' yang berasal dari pesawat itu yang mana setiap ping mempunyai "pengenalan" nya yang tersendiri dan pengenalan ping ini menunjukkan yang ia memang berasal dari MH370.

"Lokasi di selatan Lautan Hindi yang di "tunjukkan" oleh Inmarsat dikukuhkan lagi oleh radar yang mengatakan pesawat MH370 telah bergerak ke laut Andaman. Pencarian telah dilakukan dengan menggunakan aset yang mencukupi dan canggih.

"Cuma lokasi pencarian telah dikenal pasti lebih kurang seminggu selepas pesawat itu dilaporkan hilang. Dalam tempoh seminggu ini, serpihan atau pesawat tersebut mungkin telah dibawa arus ke lokasi-lokasi lain mengikut pola arah ombak dan angin. Inilah yang menyukarkan pencarian serpihan dan pesawat tersebut," katanya.

Mohd Harridon yang juga ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat Universti Kuala Lumpur (UniKL) itu menjelaskan satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah kebanyakan serpihan ini diperbuat daripada bahan metalik yang mudah tenggelam, jadi pencarian adalah lebih kepada pencarian dasar laut dan ini mengambil masa yang agak lama.

Menurutnya ini kerana dasar laut di selatan Lautan Hindi mempunyai lurah dan bukit bukau yang menindaskan lagi operasi pencarian dan disebabkan kawasan dasar laut ini belum lagi dipetakan, ia menyukarkan lagi pencarian.

Sehubungan itu, Mohd Harridon mencadangkan kaedah matematik digunakan untuk menambahkan lagi keberkesanan pencarian.

"Kaedah yang saya cadangkan ialah kaedah kebarangkalian iaitu "Bayesian Inference" di mana kaedah ini akan mengambil kira beberapa kebarangkalian dan kaedah ini akan mengambil kira pola angin, ombak, beberapa orientasi pesawat ini mungkin menjunam ke laut, berat pesawat berdasarkan minyak yang digunakan, dan lain-lain lagi.

"Dengan kaedah ini segala maklumat dan data akan diguna pakai dan kemungkinan ini akan mengecilkan lagi radius pencarian," kata Mohd Harridon.

Mengenai persoalan apabila kerajaan dan pasukan pencari telah mengisytiharkan pesawat itu hilang, beliau berkata mengikut undang-undang antarabangsa, satu penyiasatan menyeluruh akan diadakan.

"Jika pesawat diisytiharkan hilang, tindakan seterusnya, mengikut undang-undang ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) Lampiran 13, adalah untuk membuat satu penyiasatan rasmi melibatkan pihak-pihak yang berkenaan.
"Antaranya ialah pemilik pesawat, negara di mana pesawat didaftarkan, pendaftaran, jabatan penerbangan di negara di mana pesawat didaftarkan, negara-negara asal penumpang, dan pengeluar pesawat akan bekerjasama di dalam penyiasatan tersebut.

"Daripada hasil penyiasatan tersebut, satu laporan komprehensif akan dijana mengikut standard dan format yang ditetapkan dalam Lampiran 13," tambahnya.

Mengulas mengenai pampasan, Mohd Harridon berkata secara lazimnya, syarikat yang memiliki pesawat itu akan memberi pampasan kepada ahli keluarga.

Mohd Harridon menarik perhatian, jikalau penumpang ada mengambil insurans penerbangan, maka syarikat insurans itu akan memberi pampasan juga.

Kos operasi pencarian pula adalah berdasarkan persetujuan bersama di mana pihak Malaysia, Australia dan China telah bersetuju untuk menyumbangkan aset dan kakitangan untuk proses pencarian, katanya.

Dilaporkan, kerja mencari di dasar laut itu kini meliputi kira-kira 30 peratus daripada 60,000 kilometer persegi kawasan pencarian dan kira-kira 208,000 kilometer persegi lautan telah dipetakan.

Jika tiada halangan dan kelewatan, keseluruhan operasi pencarian dijangka selesai pada Mei ini.

Empat kapal kini terlibat dalam misi mencari pesawat malang tersebut iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan terbaru Fugro Supporter yang dilengkapi kenderaan dasar laut (AUV).

"AUV akan digunakan bagi mengimbas bahagian kawasan pencarian yang tidak boleh diusahakan dengan berkesan menggunakan peralatan dalam kapal-kapal pencarian yang lain," kata ATSB pada Rabu.

Kapal Fugro Equator, Discovery dan Supporter telah disediakan syarikat Belanda, Fugro dan dibiayai bersama-sama kerajaan Australia dan Malaysia, manakala GO Phoenix menerima kontrak daripada kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Mohd Ajib Ismail berkata solat ghaib boleh dilakukan jika tiada jenazah sampai kepada ahli dan waris keluarga.

"Mereka perlu tunggu pengisytiharan dahulu. Kemudian bolehlah solat ghaib dilakukan sama ada di kalangan mereka atau seluruh negara secara besar-besaran. Terpulang kepada kehendak masing-masing," katanya.

Katanya dari sudut pandangan agama, tidak berbangkit soal upacara pengebumian atau mengadakan kubur untuk anak kapal dan penumpang pesawat itu memandangkan tiada jenazah atau mayat ditemukan.

Selain solat ghaib, ahli dan waris keluarga dinasihatkan supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan pelbagai ibadah dan pada masa yang sama berlapang dada serta reda menerima ketentuan ini.

Bernama

Baca lagi >>

Thursday, 29 January 2015

PM ziarah Tuan Guru di ICU HUSM

Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak hari ini melawat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Foto: FB
Beliau yang tiba kira-kira jam 2.15 petang diiringi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustapha meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk melihat dan bertanyakan perkembangan kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan itu.
Foto: FB
Foto: FB

Baca lagi >>

WhatGapo?

Aplikasi pesanan mesej seperti Whatsapps, Wechat sudah biasa di pendengaran masyarakat kita, kini muncul sebuah aplikasi pesanan mesej bercirikan negeri Kelantan iaitu WhatGapo Mesengger.

WhatGapo merupakan satu aplikasi pesanan mesej yang menggunakan platform Telegram dan dibangunkan untuk tujuan keseronokan semata-mata dan bercirikan negeri Kelantan.

Selepas memuat turun aplikasi ini, WhatGapo secara automatik menambah rakan anda di dalam list Telegram ke dalam list WhatGapo.

Tinjauan di Google Play mendapati aplikasi ini telah dimuat turun oleh hampir 10,000 pengguna.

Sinar Harian

Baca lagi >>

MH370 diisytihar kemalangan, 239 orang dalam pesawat dianggap terkorban

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.

Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi mencari pesawat Boeing 777 itu tetap menjadi keutamaan.


Kerajaan komited meneruskan usaha untuk merungkai tragedi malang itu dengan kerjasama dan bantuan berterusan daripada kerajaan China dan Australia, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Ketika membuat pengumuman itu menerusi televisyen yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM, beliau berkata: "Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines sebagai satu kemalangan ... dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat MH370 dianggap telah terkorban."

"Kami telah berusaha dan menjalankan pencarian daripada setiap sudut dan meneliti semua data yang sedia ada. Walaupun semua usaha ini dijalankan sejak 327 hari lepas (sehingga semalam), namun usaha pencarian itu malangnya masih belum menemukan lokasi pesawat yang hilang itu," katanya.

Bernama

Baca lagi >>

Video Raja Salman tinggalkan Obama untuk solat Asar

Jika Selasa lalu, wanita nombor satu Amerika Syarikat (AS) Michelle Obama tidak menutup kepala ketika bertemu dengan pemerintah Arab Saudi Raja Salman, kali ini giliran raja baru itu pula meninggalkan presiden Barack Obama dan rombongannya apabila azan Asar berkumandang.

Raja Salman dilaporkan menghentikan protokol sambutan dan meminta izin daripada tetamunya untuk menunaikan solat Asar terlebih dahulu.

Obama berkunjung ke Riyadh bagi merapatkan hubungan dengan Raja Salman serta menyampaikan ucapan takziah atas kemangkatan Raja Abdullah.

Baca lagi >>

Padi tumbuh dalam longkang

IPOH - “Orang tengok padi di bendang tapi saya jumpa padi dalam longkang” luah seorang penduduk Taman Meru III C yang mendakwa tanaman itu hidup subur dalam longkang di hadapan kawasan rumahnya sejak tujuh bulan lalu.

Mohd Nor, 59, berkata, walaupun terkejut, dia percaya padi itu tumbuh disebabkan perbuatan bekas jirannya yang membuang saki baki makanan burung peliharaan ke dalam longkang.

“Saya rasa ia mungkin berpunca daripada lebihan padi yang menjadi makanan burung peliharaan seorang bekas penduduk yang tinggal berhampiran rumah saya,” katanya.

Dia berkata, pokok padi itu hanya disedari tumbuh kira-kira tiga bulan lepas setelah longkang berkenaan didapati tersumbat.

Mohd menunjukkan pokok padi yang ditemui tumbuh dalam longkang di hadapan kawasan rumahnya.
“Longkang yang tersumbat itu berpunca daripada sistem perparitan di kawasan sekitar Persiaran Jati 5 dan Persiaran Jati 6 ini tidak diselenggarakan dengan baik,” dakwanya.

Mohd berkata, keadaan sistem perparitan yang tidak terurus turut menyebabkan kejadian banjir kilat kerap melanda jika hujan berterusan lebih sejam.

Katanya, aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun sehingga kini hanya sebahagian kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan pihak terbabit.

“Saya ada buat aduan pada 11 Januari lepas dan petang hari sama mereka datang melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Namun, hanya separuh dan masih ada lebih daripada 50 meter jarak longkang yang tidak diselenggara," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Anas Ngah Zainun, 62, berkata, PBT perlu membina culvert lebih besar pada longkang berkenaan bagi memastikan banjir kilat tidak berulang di kawasan terbabit.

“Culvert jenis bulat yang sedia ada agak kecil dan tak mampu untuk menampung air hujan yang melalui longkang berkenaan, akibatnya seluruh kawasan sekitar ditenggelami air dan kadang-kadang hingga paras betis,” katanya.

Anas berkata, banjir kilat itu menjejaskan dan menyukarkan pergerakan penduduk sekitar serta orang ramai yang menggunakan laluan terbabit.

“Bukan sahaja digenangi air, bahkan banjir kilat itu turut menyebabkan banyak sampah sarap dan pasir halus terkumpul di hadapan rumah saya,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kes Altantuya: Akhirnya Razak Baginda buka mulut

Sekian lama menyepikan diri, nama penganalisis politik, Abdul Razak Baginda muncul semula selepas kes membabitkan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu menemui titik noktah.

Bercakap kepada sebuah portal, Abdul Razak yang sebelum ini dikaitkan dengan kes itu menyifatkan spekulasi membabitkan kes kematian penterjemah itu sudah sampai ke tahap tidak masuk akal.

"Spekulasinya lebih kurang sama seperti sebelum ini. Tetapi kini lebih berbelit kerana kita sampai ke penghujung proses undang-undang yang panjang. Ia jadi berbelit-belit kerana Sirul (Sirul Azhar Umar) melarikan diri ke Australia,” ujarnya.

Pada 2008, Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Abdul Razak Baginda
Abdul Razak mengakui bersedia untuk membuka mulut sekarang kerana kes itu sudah berakhir dari sudut undang-undang.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, walaupun tidak tahu motif pembunuhan Altantuya, tetapi sedia maklum ramai yang mati tanpa sebarang penjelasan kukuh semasa dalam tahanan polis.

"Hanya dua anggota polis itu sahaja yang tahu," katanya sambil mendakwa memang wujud kes sebelum ini di mana polis bunuh tahanan reman.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan konspirasi dalam kes ini walaupun tiada bukti menyokongnya.

"Masih ada orang di luar sana yang yakin polis tidak boleh melakukan ini tanpa arahan.

"Berapa ramai orang yang mati dalam tahanan reman? Kiraan terakhir ialah 156 pada tahun 2008 dan angka itu semakin bertambah. Jadi, siapa yang mengarahkannya?" soalnya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Berita gembira dari Lisa & Yusri

PENGARAH dan pelakon, Yusry Abdul Halim mengesahkan isterinya, Lisa Surihani kini hamil.

Bagaimanapun ujar pengarah Cicakman 3 ini, mereka enggan berkongsi maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

"Mengenai berita kehamilan itu, ya, Lisa mengandung. Tapi kami mohom maaf kerana tidak dapat berkongsi maklumat lanjut.

"Sejujurnya kami memegang pesanan orang tua-tua bahawa berita mengenai kehamilan hanya boleh dikongsi selepas tempoh tertentu.


"Jadi apabila tiba masanya, kami akan berkongsi dengan lebih lanjut," ujarnya yang ditemui selepas pelancaran filem Cicakman 3 di Pavilion, Kuala Lumpur, sebenar tadi.

Yusry turut menafikan sengaja merahsiakan perkara ini kerana terlibat dengan kontrak penyiaran bersama Astro mengenai pengumuman kehamilan Lisa.
"Pasal kontrak itu semua hanya spekulasi. Kami tidak terikat dengan sesiapa," katanya.

Sementara itu Lisa menambah, dia pada mulanya berasa serba salah untuk berkongsi mengenai berita kehamilannya, namun bersetuju untuk memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan spekulasi berpanjangan.

"Bila ada wartawan yang mesej, saya memang serba salah nak jawab, sebab masih baru dan orang tua-tua pesan kalau boleh lepaskan trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan) baru kongsi berita ini.

"Apa pun Alhamdulillah atas doa banyak pihak dan terima kasih atas mesej positif yang saya terima menerusi pelbagai medium," ujarnya sambil tersenyum.

Yusry dan Lisa mendirikan rumahtangga pada 23 Februari 2012.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wednesday, 28 January 2015

Aiskrim pasu....nikmati keenakannya....

SUNGAI PETANI – Fenomena terbaharu mengubah suai pasu bunga sebagai bekas aiskrim terbukti berkesan apabila sambutan terhadap produk itu mendapat permintaan tinggi.

Pengusaha Butik Gerobok Tuan Tanah, Rozlyanna Basharuddin, berkata, jualan hari pertama mencecah 100 unit melebihi jangkaan sasaran hanya 50 aiskrim.

“Kelainan rasanya membuatkan pelanggan datang semula untuk mendapatkan aiskrim pasu bagi kali kedua dan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Usahawan muda berusia 26 tahun ini berkata, dia mula mendapat idea menyediakan aiskrim pasu ketika cuba merasai keenakannya di sebuah lokasi pelancongan.

Pelbagai ramuan dan perasa disediakan dengan hanya RM5 sebekas.
“Sebelum itu, saya mula sediakan ruang untuk vendor mempromosikan barangan mereka di Butik Gerobok Tuan Tanah yang berkongsi bangunan dengan kilang baju Rokiah Garments di Taman Bandar Baru, Sungai Petani (terletak di belakang Institut Kemahiran Mara).

“Bagaimanapun, apabila memikirkan cara untuk tarik pelanggan ke butik vendor ini, kami cuba sediakan sesuatu yang berlainan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan begitu menggalakkan sehingga kini mencecah 500 aiskrim pasu berjaya dijual sehari.

Katanya, bagi melancarkan urusan, suami, Mohd Ridhaus Irffan, 26, dan adik lelaki, Rozaimy, 24, turut membantunya kerana tidak menang tangan dengan tempahan pelanggan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Awie hilang hak penjagaan anak

PENYANYI rock popular, Awie kehilangan hak penjagaan ke atas tiga orang anaknya setelah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam memberikan perintah hak penjagaan sementara (hadanah) kanak-kanak itu kepada isterinya, Rozana Misbun.

Perintah penjagaan kepada Rozana, 37, diputuskan oleh Hakim Syarie Ibrahim Deris ketika prosiding berlangsung di kamarnya.

Ibrahim membuat keputusan itu setelah beliau berpuas hati dengan dokumen yang dikemukakan oleh Rozana yang merupakan pemohon dalam kes tersebut.

Rozana diwakili peguam syarie, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman.

Dalam perintah itu, mahkamah memutuskan Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diberikan kepada Rozana sehingga perintah penjagaan kekal ke atas anak-anak pasangan itu dikeluarkan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, sebagai responden diberikan hak melawat di kediaman anak-anaknya selama dua jam sebanyak dua kali sebulan pada Sabtu atau Ahad pada minggu pertama dan ketiga.

Bagaimanapun, sebelum melawat anak-anaknya itu, Awie diperintahkan supaya memaklumkan terlebih dulu kepada Rozana.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Budak makan Spongebob Squarepants

JEDDAH - ARAB SAUDI. Seorang doktor di Hospital Universiti di Jeddah, terkejut apabila menemui ‘makhluk akuatik’ berada dalam perut seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, setelah diamati menerusi imbasan X-Ray, ‘makhluk akuatik’ yang berada dalam perut kanak-kanak terbabit sebenarnya  sekeping pin berukiran kartun animasi ‘Spongebob Squarepants’.

Doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan, Dr Ghofran Ageely Raja Abdulaziz berkata, pin tersebut sebenarnya loket yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut.

“Menerusi imbasan X-Ray, apa yang boleh kita lihat adalah sekeping loket kecil yang agak nipis, ia kelihatan seperti pin. Saya hampir menjerit apabila melihat objek tersebut dengan lebih dekat.

“Saya kagum dengan butiran jelas yang boleh kita lihat. Kalau kita teliti dari imbasan tersebut, kita boleh lihat kasut, mata dan wajah Spongebob yang sedang tersenyum; berada dalam perut kanak-kanak ini,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah kiriman e-mel.

Memetik laporan oleh portal Metro.co.uk, doktor telah berjaya mengeluarkan loket tersebut dan kanak-kanak tersebut dibenarkan pulang ke rumahnya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tuesday, 27 January 2015

Penggodam laman web MAS rancang serangan baru

Kumpulan penggodam yang mengaku bertanggungjawab menggodam laman web Malaysia Airlines pada Isnin merancang untuk meneruskan serangan siber mereka.

Walaupun laman web syarikat penerbangan itu telah kembali normal, satu twit daripada The Lizard Squad menyatakan yang mereka sedang merancang untuk mendedahkan email yang berjaya digodam.

“More to come soon. Side note: We’re still organizing the @MAS email dump, stay tuned for that,” tulisnya dalam tweet tersebut.

Pada Isnin, laman web rasmi Malaysia Airline digodam pada kira-kira pukul 10 pagi diikuti serangan kedua pada 10.25 pagi.

Syarikat penerbangan itu mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan sistem akan kembali normal.

"Malaysia Airlines mengesahkan Sistem Nama Domain (DNS) telah diceroboh, di mana pengguna diarahkan ke laman web penggodam sewaktu URL www.malaysiaairlines.com ditaip," dalam satu kenyataan.

Astroawani

Baca lagi >>

Mejar Zaidi dakwa gaji 'ditarik balik'

Bekas juruterbang pesawat pejuang TUDM, Mejar Zaidi Ahmad mendakwa gajinya sebagai seorang tentera untuk bulan Januari 'ditarik balik' oleh pihak tentera selepas didepositkan pada hari sama pada 22 Januari 2015.

Beliau menyedari perkara itu selepas meneliti penyata akaun banknya hari ini.

"Saya sahkan hari ini yang gaji bulan Januari saya tidak dibayar kepada saya.


"Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun saya pada 22 Januari tetapi dikeluarkan pada hari sama," katanya dalam kenyataan yang dilampirkan dengan penyata tersebut.

Zaidi dibuang kerja oleh tentera pada 12 Januari lalu selepas diputuskan bersalah memberi kenyataan media tentang dakwat kekal tanpa izin Majlis Angkatan Tentera.

Menurut Zaidi, tindakan itu dibuat walaupun pihak TUDM masih belum mengeluarkan surat rasmi penamatan khidmatnya sebagai seorang tentera.
"Sehingga kini tiada surat rasmi dari tentera udara menyatakan hukuman mahkamah tentera sudah dimuktamadkan.

"Tiada juga sebarang surat menyatakan saya dipecat secara rasmi dari tentera udara," katanya.

Secara sinis, Zaidi berkata beliau kini perlu menoreh getah untuk menyara hidupnya - satu rujukan kepada komen Facebook yang didakwa dibuat oleh seorang ahli mahkamah yang mengadili kesnya.

"Bermula esok, saya mungkin perlu menoreh getah atau menjala ikan untuk menyara keluarga," katanya.

Malaysiakini

Baca lagi >>

18 telaga tiub dibina sekitar lokasi terjejas

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia membina sebanyak 18 telaga tiub di Kelantan dalam usaha membantu penduduk yang terjejas banjir yang melanda negeri ini, bulan lepas.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, kesemua telaga tiub itu dibina di tiga jajahan iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu.
 
"Kita bina telaga (tiub) sedalam tujuh meter yang berkemampuan membekalkan 3,500 gelen air dalam tempoh satu jam, ini merupakan inisiatif pihak kami.
 
"Fasiliti seperti pam dan barangan lain pula dibekalkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan ini merupakan inisiatif untuk membantu meringankan beban mangsa banjir yang terputus bekalan air," katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Telaga Tiub Sumber Air Tanah di Kampung Teluk Rejuna di sini, hari ini.
 

Yunus (dua, kiri) bersama Shahlan (kiri) menunjukkan telaga tiub yang siap dipasang di hadapan Masjid Pulau Teluk Rejuna.
Turut hadir Pengarah Bahagian Perancangan Strategik JPM, Datuk Shahlan Ismail dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan Che Abdul Rahman Jaafar.

Tanpa menyebut kos pembinaan kesemua telaga berkenaan, beliau berkata, pembinaan telaga tiub ini khusus membekalkan bekalan air untuk tujuan pembersihan di beberapa kawasan seperti di sekolah, masjid dan lain-lain.
   
"Ini memang untuk tujuan pembersihan sahaja dan kalau untuk minum, air itu perlu dimasak terlebih dahulu dan kita buat sekadar yang mampu untuk membantu orang ramai yang memerlukan (bekalan air) selepas banjir.
   
"Pembinaan telaga ini hanya mengambil masa selama paling lama dua hari untuk disiapkan, buat masa ini tiada perancangan untuk membuat (telaga tiub) tambahan kerana kita dapati bekalan air sudah mula pulih," katanya.
   
Sementara itu, Yunus berkata pembinaan telaga tiub di kawasan terputus bekalan air memang wajar dilaksanakan kerana kerja pembersihan kawasan yang terjejas banjir sukar untuk dilakukan tanpa bekalan air bersih.
   
"Ada sukarelawan yang datang untuk membuat kerja pembersihan tetapi bekalan air tidak ada, jadi kerja pembersihan tidak dapat dibuat...dengan adanya telaga tiub ini proses pembersihan kawasan yang terjejas banjir akan dapat dilakukan dengan lebih lancar," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ini puncanya FB dan Instagram meragam tadi

LAMAN sosial popular Facebook dan Instagram  mengalami masalah teknikal di rantau Asia, Australia, Amerika Syarikat hari ini.

"Maaf, berlaku masalah. Kami sedang mengusahakannya dan kami akan cuba membaikinya secepat mungkin," kata Facebook di laman webnya.
Laman sosial popular Facebook mengalami masalah teknikal hari ini

Tinjauan di Twitter juga mendapati ia sudah "trending".

Pengguna di Malaysia juga terjejas dan kini ramai beralih menggunakan Twitter untuk urusan harian.


Walaubagaimanapun, sejam kemudiaan, Facebook dan Instagram kembali berfungsi seperti biasa.


Sinar Harian

Baca lagi >>

Iqbal El-Assaad doktor termuda di dunia

PADA  usia 20 tahun, Iqbal El-Assaad kini bergelar doktor termuda di dunia selepas berjaya menamatkan pengajiannya dari Kolej Perubatan Weill Cornell (WCMC-Q) di Qatar.

Ketika berusia 12 tahun, beliau lulus dengan cemerlang dari sekolah tinggi dan berada di kedudukan teratas di dalam kelas. Bukan itu sahaja, beliau juga telah menguasai subjek biokimia dan matematik yang merupakan antara pelajaran penting untuk ke sekolah perubatan.

Melangkah ke usia 13 tahun, Iqbal bukan  hanya belajar memandu, malah kebijaksanaannya telah menarik perhatian Menteri Pelajaran Lubnan yang membantu beliau mendapatkan biasiswa perubatan di Qatar.

Baginya, kekurangan penjagaan kesihatan di kalangan rakyat Palestin adalah antara faktor utama beliau ingin menjadi seorang doktor.


Kehidupan peribadi

Iqbal dibesarkan di Bar Elias, iaitu sebuah perkampungan kecil di Lembah Beeka, selepas ibu bapanya tiba di Lubnan. Di sana, beliau berpeluang melawat saudara maranya yang tinggal di kem pelarian dan kemiskinan yang membelenggu pelarian di situ benar-benar menyentuh hatinya walaupun ketika itu beliau masih seorang kanak-kanak.

“Saya adalah paling muda dalam keluarga dan bapa mula perasan minat saya untuk belajar dengan abang ketika masih berusia dua setengah tahun. Bagi bapa, pendidikan adalah paling penting terutamanya bagi anak perempuan.

“Katanya, lelaki akan keluar mencari kerja tetapi pendidikan adalah senjata bagi wanita di masa hadapan. Kami dibesarkan dengan diajar betapa pentingnya pelajaran dan ibu bapa saya sentiasa membantu anak-anak mereka belajar,” katanya.

Pendidikan awal

Iqbal bersekolah di sebuah sekolah swasta di Lubnan yang berdasarkan kurikulum di negara itu. Selepas dua tahun, pihak sekolah memberinya biasiswa penuh. Beliau juga kerap melangkau gred dan selalu menjadi pelajar paling muda dalam kelas.
Selepas habis sekolah tinggi, Menteri Pelajaran Lubnan ketika itu, Khaled Qabbani mengiktirafnya sebagai pelajar termuda yang pernah menamatkan sekolah tinggi.

Iqbal memberitahu Khaled tentang cita-citanya untuk menjadi seorang doktor. Khaled berjanji untuk mendapatkannya biasiswa dan kemudian bertemu Pengerusi Yayasan Qatar Sheikha Mozah bint Nasser Al Missned.

Nyata, rezeki berpihak kepada Iqbal apabila Qatar menawarkan beliau biasiswa penuh di (WCMC-Q), sebahagian daripada kumpulan cawangan kampus elit Amerika di Bandar Pendidikan.

Iqbal memulakan pengajian dalam bidang yang diminatinya itu dikelilingi mereka yang kebanyakan berusia sekurang-kurangnya lima tahun lebih tua daripadanya.

Cabaran jadi pelajar termuda

Menjadi pelajar paling muda di sesebuah tempat pengajian bukan perkara mudah. Bagi Iqbal, waktu paling sukar dihadapi adalah ketika mula-mula tiba di Qatar.

Biasiswa penuh diterima dari Qatar Foundation dirasakan menambahkan lagi tekanan, kerana baginya dia perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa amanah yang diberikan kepadanya tidak akan sesekali disia-siakan.

“Saya membesar dengan pelajar lebih tua daripada saya, jadi saya sudah biasa berurusan dengan mereka yang lebih berusia dan saya juga cukup matang untuk bekerja dengan mereka. Interaksi antara dua golongan berbeza umur turut membantu meningkatkan cara saya berfikir,” katanya.

Selepas menghabiskan pengajian, Iqbal akan kembali ke Timur Tengah dan bekerja di antara Qatar dan Lubnan sebagai membalas jasa kerana telah menaja pengajiannya selama enam tahun.

Selain itu, beliau juga ingin kembali ke Lubnan untuk membantu rakyat Palestin kerana mereka sebenarnya adalah inspirasi utama beliau menjadi doktor selain mahu memenuhi impian zaman kanak-kanaknya yang ingin membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat di wilayah bergolak itu.

Inspirasi sebagai doktor

Menurut Iqbal, beliau membuat keputusan untuk menjadi doktor ketika berusia 12 tahun. Membesar sebagai seorang Palestin yang tinggal di Lubnan, beliau melihat banyak penderitaan dalam kalangan Palestin Lubnan memandangkan mereka tidak mempunyai insurans kesihatan.

“Lawatan ke kem pelarian menyedarkan saya ramai ibu bapa di sana yang melihat anak-anak mereka menderita tetapi mereka tidak dapat membantu kerana tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian," katanya.

Kini, Iqbal berkhidmat di bahagian pediatrik di Hospital Kanak-kanak di Cleveland,  Amerika Syarikat selama tiga tahun dan bakal menyambung pengajian dalam bidang kardiologi pediatrik selepas tamat tempoh tiga tahun tersebut.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wabak demam campak merebak di Disneyland, pelawat diminta mendapatkan vaksin terlebih dahulu

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Kanak-kanak yang melawat ke Taman Hiburan, Disneyland didakwa berisiko mendapat penyakit demam campak.

Memetik laporan portal berita MSN.news, pengurusan Disneyland berkata, setakat ini pihaknya sudah mencatatkan 87 kes membabitkan wabak tersebut.


Menurut Jabatan Kesihatan Awam The California, kebanyakan jangkitan kini dilaporkan di bahagian California, manakala selebihnya dicatatkan di Arizona, Utah, Washington, Colorado, Oregon, Nebraska dan Mexico.

"Wabak demam campak ini merebak dikaitkan dengan pelawat yang melawat ke taman Disneyland pada bulan lepas.

"Kebanyakan mereka (pelawat) yang dijangkiti tidak menerima vaksin lebih awal," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.
Setakat ini, pihak jabatan kesihatan telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk mendapatkan vaksin terhadap penyakit tersebut.

Wabak demam campak adalah penyakit berjangkit yang merebak ke udara menerusi batuk dan bersin.

Amerika Syarikat mengalami beberapa rekod campak kes tahun lepas, dengan 644 jangkitan dilaporkan dari 27 negara.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Video lelaki kena terkam singa betina

Saksikan video ini yang menyayat hati ini



Kisah di sebalik video ini...


SELEPAS tiga tahun, Sirga, seekor singa betina masih ingat kepada penyelamatnya, Valentin Gruener.

Gruener, pengasas kepada Modisa Wildlife Project mengambil Sirga di bawah jagaannya selepas menjumpai binatang tersebut terbiar dan berisiko untuk mati di Botswana.

Sebuah video yang menarik perhatian lebih 1 juta pelayar laman YouTube menunjukkan Sirga sungguh teruja apabila berpeluang bertemu dengan Gruener.

Sirga, singa betina yang beratnya 140 kilogram kini, melompat dan memeluk Gruener.

Hilang sifat buas seekor singa apabila bertemu dengan penyelamatnya.

Diterkam tuannya dengan penuh kasih sayang. 

Gambar Sirga memeluk Gruener. Sirga ketika kecil (gambar kecil).

Sinar Harian

Baca lagi >>

Friday, 23 January 2015

Zamani memberi maaf dan memohon agar rakaman video dipadamkan

PENYANYI, Zamani Slam dilaporkan telah memaafkan individu yang menyebarkan videonya menyanyi semasa bergari dan menjadi viral di laman sosial sejak Rabu lalu, lapor sebuah portal.

Memetik laporan itu, abang pelantun lagu Gerimis Mengundang itu, Zulfazli Ibrahim berkata, Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan dan meminta agar perkara itu tidak dipanjangkan.

Video yang menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaik ia tersebar menerusi laman sosial.
"Dia sendiri yang minta agar isu ini tidak dipanjangkan dan sudah memaafkan individu itu. Saya dan keluarga akur dengan permintaan itu. Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan. 

"Saya tahu berkenaan penahanan dan video itu hanya selepas dimaklumkan rakan,” katanya selepas melawat Zamani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini. 

Sebelum ini, video berdurasi satu minit 23 saat itu menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak sebaik ia tersebar menerusi laman sosial seperti blog dan Facebook.

Akui terkilan dengan perlakuan individu tersebut namun Zulfazli tetap berbangga dengan tindakan adiknya yang sudi memaafkan orang lain.

"Saya agak terkilan dan sedih dengan penyebaran video ini, tetapi, saya bangga dengan dia kerana dalam keadaan menghadapi kes ini pun, dia tetap sudi memaafkan orang yang bertindak begitu," katanya.

Peguam Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar memberitahu kes anak guamnya itu akan disebut di Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa depan.

Sementara itu, pengurus peribadi Zamani, Johan Aziz memberitahu, penyanyi itu meminta agar video tersebut dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Zamani telah menyatakan kemaafan kepada pihak yang merakam video viral itu dan beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap perkara tersebut.

“Beliau juga meminta agar video itu dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak. Saya harap kita semua menghormati keputusan Zamani,” katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Zamani berada dalam keadaan sihat dan mendapat layanan yang baik oleh pihak polis.

“Terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan kami berjumpa Zamani. Alhamdulillah dia dalam keadaan sihat dan diberi layanan yang baik oleh pihak polis,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>