Wednesday, 24 December 2014

Mari sama-sama kita bersolat hajat mohon Allah redakan banjir yang melanda

Semua masjid di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat dan munajat bagi memohon kepada ALLAH SWT supaya meredakan musibah banjir yang sedang melanda.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata ,beliau berharap ia mendapat penglibatan para alim ulama, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia.

Keadaan banjir di salah sebuah sekolah di Kuala Krai
Beliau berkata semoga dengan usaha dan doa itu, ia akan diterima ALLAH SWT sekali gus meredakan musibah yang melanda.

"Ia juga bagi mendoakan keselamatan diri dan harta benda, kesihatan yang baik, keteguhan iman dan diberikan kekuatan kepada mereka yang terlibat termasuk mangsa, petugas keselamatan dan seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan (dilanda banjir)," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya Jakim melalui masjid utama di bawahnya iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya serta seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan akan bersama-sama mengadakan solat hajat dan munajat secara berterusan bermula hari ini.
Selain itu, Kutipan Derma Khas Masjid juga akan dilancarkan Jumaat ini yang akan disalurkan oleh Unit Bantuan Musibah dan Bencana, Bahagian Dakwah Jakim kepada mereka yang berkenaan, katanya.

Othman juga berharap semua Jabatan Agama Islam Negeri turut mengambil inisiatif yang sama agar masjid dan surau di bawah pentadbiran negeri masing-masing turut menunaikan solat hajat dan munajat.

Bernama

Baca lagi >>

Gua Musang dan Kuala Krai hampir lumpuh (20 gambar)

Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk apabila beberapa daerah terutama di Gua Musang dan Kuala Krai, hampir lumpuh sepenuhnya.

Sekurang-kurangnya 10 rumah hanyut di Gua Musang, manakala berpuluh lagi kediaman rosak dalam kejadian banjir paling buruk melanda seluruh Hulu Kelantan yang berlarutan sejak pagi kelmarin.

Kampung terjejas teruk ialah Kampung Baru Hulu, Kampung Tiong, Kampung Kolam Mas, Serian dan Limau Kasturi, malah ramai mangsa banjir terperangkap berikutan kenaikan paras air yang mendadak di beberapa sungai utama.

Dalam kejadian banjir besar yang melumpuhkan Bandar Lama Gua Musang itu turut menyaksikan detik cemas bot bantuan mangsa banjir dinaiki lapan orang terdiri daripada pasukan penyelamat dan orang awam terbalik, namun mereka sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, kira-kira 100 mangsa banjir dilaporkan terperangkap dan terputus bekalan makanan di asrama Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Gua Musang berikutan paras air naik mendadak menenggelamkan pusat pemindahan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan penduduk di Kota Bharu dan beberapa daerah lain dalam keadaan berjaga-jaga apabila air Sungai Kelantan dari hulu dijangka melimpah.

Ia ditambah dengan hampir semua lokasi catatan paras air di Dabong, Tualang, Tangga Krai, Tambatan Diraja, Rantau Panjang dan Pasir Puteh melepasi paras bahaya.

Mengikut e-portal banjir Kelantan, sehingga jam 6 petang semalam, seramai 6,673 keluarga melibatkan 21,600 mangsa banjir ditempatkan di 96 pusat pemindahan seluruh negeri ini.

Daerah Pasir Mas masih lagi mengekalkan angka tertinggi mangsa pemindahan dengan 8,753 orang melibatkan 31 pusat pemindahan, diikuti jajahan Gua musang seramai 4,459 mangsa.

Ia diikuti daerah Kuala Krai dengan 3,663 mangsa, diikuti Tumpat, (3,820), Tanah Merah (307),  Kota Bharu (86), Machang (68).

Jalan Kuala Krai-Kota Bharu-Kuala Krai di Sungai Durian antara 20 jalan yang masih ditutup kepada kenderaan. Begitu juga Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang, Jalan Banggul Kulim tidak boleh dilalui semua kenderaan.

Sinar Harian

Kuala Krai









Gua Musang













Baca lagi >>