Tuesday, 23 December 2014

7 gambar sekitar bandar Terengganu ditenggelami air

Beberapa kawasan rendah di sekitar Bandaraya Terengganu ditenggelami air setinggi setengah meter sekitar jam 10 malam tadi berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

Antara kawasan terjejas ialah Bazar Warisan, Pasar Payang, Waterfornt, Pulau Warisan, Pulau Kambing dan Batu Buruk.
Masjid Terapung (foto FB)
Seorang peniaga di Pasar Payang, Abu Bakar Abdul Hamid, 55, berkata, air mula naik jam 9 malam dan dia sempat memindahkan barang niaganya ke tempat tinggi.
Pasar Payang (foto FB)
"Ini kali kedua Pasar Payang dinaiki air sejak 20 tahun saya berniaga di sini dan air naik secara mendadak," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi peniaga Noraini Abdullah, 52, berkata, dia juga sempat menyelamatkan beberapa barang niaganya setelah menyedari air semakin melimpah naik ke jalan sekitar pasar itu.

"Sudah lama kawasan ini tidak banjir dan malam ini tidak dijangka air akan naik setinggi ini," katanya.

Turut terjejas banjir ialah kawasan perumahan sekitar Seberang Takir dan beberapa kampung di Pulau Duyong.

Orang ramai turut memindahkan kenderaan mereka di sepanjang Jambatan Sultan Mahamud di sini.

Bernama


Batu Buruk (foto FB)

Jalan Ajil - Kuala Berang (foto FB)

Bawah Jambatan Kuala Ibai (foto FB)

Pulau Kambing (foto FB)

Waterfront (foto FB)

Baca lagi >>

15 laluan ditutup kepada lalu lintas di Kelantan

Sebanyak 15 laluan di lapan jajahan di negeri ini ditutup akibat banjir yang semakin buruk pagi ini.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, lapan laluan ditutup kepada semua lalu lintas manakala tujuh lagi ditutup kepada kenderaan ringan.

Laluan menghala ke Masjid Besar Kuala Krai dinaiki air. Foto FB
Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah:

Gua Musang:
  • Km37 Jalan Gua Musang-Jelawang-Dabong
Kuala Krai:
  • Jalan Sultan Yahya Petra (Bandar Kuala Krai)  
  • Jalan Jirat (Bandar Kuala Krai).
Tumpat:
  • Km8 Jalan Cabang 4 Kampung Jambu-Meranti 
  • Km2 Jalan Keselamatan (Kesban) Pengkalan Kubor-Kampung Jambu.
Pasir Mas:
  • Km12 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan 
  • Km11 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram, 
Machang: 
  • Km8 Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata.

Laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan:

Pasir Mas:
  • Km3 Jalan Pengkalan Rakit, 
  • Km23 Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 
  • Km24-Km26 Jalan Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang.  
Tanah Merah:
  • Km1.5 Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh
Machang: 
  • Km6 Jalan Kubor China-Temangan.
Jeli:
  • Km37 Jalan Jeli-Dabong 
Kota Bharu:
  • Km10 Jalan Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan 
Menurut portal berkenaan, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 20,468 pagi ini berbanding 16,081 orang malam tadi.

Bernama

Baca lagi >>

Berhentilah sertai mana-mana pelaburan / kutu emas. Ramai yang dah jadi mangsa. Duit bayar, barang tak dapat.

Seramai tujuh mangsa penipuan pelaburan emas menggunakan sistem penggiliran membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang menganjurkan pelaburan tersebut, di sini semalam.

Kesemua pelabur mendakwa tidak menerima barang kemas dijanjikan penganjur yang dikenali melalui laman sosial Facebook (FB).

Salah seorang mangsa Marina Abdul Jamai, 37, berkata, dia mengetahui mengenai pelaburan itu pada Mac lalu dan tertarik apabila dimaklumkan pelaburan menggunakan sistem kutu tersebut membolehkannya memiliki emas tulen setelah tiba gilirannya.

Menurutnya, dia kemudian memasukkan wang tunai seperti dijanjikan di sebuah bank di Jengka sejak April hingga September 2014 berjumlah keseluruhan RM720.

“Sepatutnya saya terima barangan kemas itu pada September lalu, tapi sampai sekarang belum dapat. Apabila saya hubungi pemilik akaun berkenaan, dia beri macam-macam alasan,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Temerloh, semalam.

Seorang lagi mangsa, Farnida Mohamed Norawi, 39, berkata, dia mengenali pemilik akaun FB itu sejak Mac lalu melalui seorang kawan yang terlibat sama melabur.

Menurutnya, selepas beberapa bulan, dia mengambil keputusan menyertai pelaburan tersebut dengan bayaran RM100 setiap bulan.

“Pada awal pelaburan, saya dapatkan maklumat lengkap mengenai penganjur dan hanya mula melabur pada Ogos 2014. Apabila ingin melabur untuk bulan keempat, saya dapat maklumat dalam laman sosial mengenai pelabur terdahulu masih belum menerima barangan kemas seperti yang dijanjikan.

“Saya ambil keputusan menarik diri daripada skim itu dan cuba pujuk penganjur pulangkan duit saya... Tapi, selepas dia berikan pelbagai alasan, saya hanya menerima kembali RM200,” katanya.

Menurutnya, dia turut dimaklumkan terdapat ramai individu yang turut menjadi mangsa penipuan penganjur berkenaan.
Individu dakwa menjadi mangsa penipuan kutu emas buat laporan di Balai Polis Temerloh, semalam.
"Selain kumpulan kutu yang saya sertai, ada 20 lagi kumpulan lain dari seluruh negara menjadi mangsa penganjur yang sama. Ini bukan lagi soal wang sikit atau banyak... kalau kami tak buat laporan polis, kami bimbang ramai lagi akan jadi mangsa pelaburan kutu emas ini,” katanya.

Sementara, Aspa Zaida Saidin, 25, yang juga mangsa penipuan pelaburan ini berkata, dia sepatutnya menerima barangan kemas mengikut giliran kutu pada Oktober lalu, namun sehingga kini masih belum menerimanya hingga dia kerugian RM500.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wajarkah peperiksaan PT3 diteruskan?

Keputusan Pentaksiran Tingkatan tiga (PT3) yang diumumkan hari ini ternyata mengejutkan pelbagai pihak, mana tidaknya PT3 yang mengambilalih ‘peranan’ Peperiksaan Menegah Rendah (PMR) telah melihatkan penurunan calon yang mendapat semua A.

Antaranya Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut mempersoalkan PT3 ini.

Menurutnya reaksi yang beliau dapat terutama daripada ibu bapa calon ternyata mereka kecewa dengan PT3.

“Jam 9 pagi, saya keluar pejabat untuk ke SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi melihat reaksi anak murid dan ibu bapa menerima keputusan peperiksaan PT3. Saya ke sekolah ini kerana inilah sekolah terbaik di daerah ini yang setiap tahun ratusan pelajarnya mendapat 8A ke atas.

“Namun, tahun ini hanya 8 orang pelajar sahaja dari sekolah ini yang mendapat semua A. Pencapaian sekolah ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan pencapaian dari sekolah berasrama penuh yang lain. Maklumat awal yang saya perolehi menunjukkan hanya 11 orang dari Tunku Kursiah yang mendapat semua A, 10 dari Faris Petra, seorang dari SDAR, seorang dari Sakti, 21 orang dari Mozac dan 26 orang dari Tun Fatimah.

“Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebooknya.

Jelas Agus lagi, luahan hati ibu bapa calon juga mengatakan bahawa PT3 dilaksanakan secara tergesa-gesa sehinggakan anak-anak mereka tidak sempat untuk ‘bersiap siaga’.

“Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc (sementara), diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi.

“Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya,” katanya.

Menurut Agus lagi, oleh itu pandangan ibu bapa dan guru perlu tentang PT3 perlu diambil kira sekiranya sayangkan pendidikan negara.

“Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?

“Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita. Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan Tasik Kenyir

Kerajaan negeri meminta agensi kerajaan menghentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan Tasik Kenyir bagi mengelak sebarang kejadian buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata langkah berkenaan perlu dilaksanakan berikutan keadaan cuaca semasa yang tidak menentu.

Tanah runtuh di Felda Aring Kenyir (foto FB)
Beliau yang juga Adun Kawasan Telemong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai  kejadian 26 kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkandas di Gunung Gagau, Tasik Kenyir sejak tiga hari lalu.

Mereka yang dikatakan membuat kerja-kerja ukur berhampiran gunung berkenaan dijangka keluar menggunakan helikopter namun gagal keluar berikutan faktor cuaca.

Jabatan bomba dan penyelamat mula memasuki kawasan terbabit kira jam 8:00 pagi tadi menggunakan bot kira bagi membantu membawa keluar kesemua mereka ke pengkalan Gawi.

Dalam pada itu, Datuk Rozi berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengatasi jalan yang rosak di laluan menghala ke Tasik Kenyir.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna jalan raya supaya mendapatkan maklumat dari MKN dan JKR mengenai jalan yang rosak dan ditenggelami air bagi mengelak terperangkap dalam perjalanan.

Astroawani

Baca lagi >>