Sunday, 21 December 2014

Pernah makan kuih ni?

Kuih tradisional putu halba yang membangkitkan selera dengan aromanya yang wangi dan dihidang panas, kini menjadi satu daripada hidangan popular bagi masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang pada musim banjir.
 
Kuih yang diperbuat menggunakan ubi kayu yang dicampur dengan gula melaka, gula pasir, halba dan dinikmati bersama kelapa parut itu kini boleh didapati di kebanyakan tempat seperti gerai menjual kuih di pinggir jalan, pasar dan pusat pemindahan banjir dengan harga RM0.50 sebiji.

 
Bagi seorang peniaga kuih itu, Rakiah Yusof, 56, berkata, setiap kali musim banjir, kuih putu halba mendapat permintaan agak tinggi.
   
"Saya mampu meraih pendapatan antara RM200 dan RM700 sehari pada musim banjir ini dan sambutan yang diterima agak menggalakkan," katanya ketika ditemui di Kampung Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, hari ini.
   
"Kalau pada waktu biasa (bukan musim banjir), permintaan terhadap kuih ini tidak banyak, dan kita hanya boleh dapatkan kuih ini di sesetengah tempat sahaja," katanya.

Seorang lagi peniaga Rosmah Deraman, 42, yang menjual kuih putu halba di Kampung Kota, Jalan Pintu Geng di sini, berkata, permintaan terhadap kuih tersebut bergantung kepada keadaan hujan.
   
"Kalau hujan turun lebat dan kerap, jualan kuih ini mampu mencecah sehingga RM500 sehari.. ia bergantung kepada keadaan hujan, mungkin orang suka makan kuih ini panas-panas," katanya yang dibantu tiga orang pekerja.
   
Ditanya kenapa kuih ini banyak dijual pada musim banjir, dia berkata pada musim ini bekalan ubi kayu mudah didapati kerana penanam akan menuai ubi tersebut bagi mengelakkan ia rosak ditenggelami banjir. 

Bernama

Baca lagi >>

Mengimbau kembali detik-detik cemas semasa tsunami sedekad yang lalu

Walaupun telah 10 tahun berlalu, bencana tsunami yang melanda rantau ini pada 2004 masih segar dalam ingatan penduduk kampung di sini malah kenangan pahit itu turut dikenang oleh 52 anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tsunami di beberapa pantai di Pulau Pinang pada 26 Disember 2004.
 
Dalam sekelip mata, orang tersayang hilang daripada pandangan setelah ditelan ombak besar yang mengganas akibat kejadian gempa bumi berhampiran Banda Aceh, Indonesia.

 
Namun tidak ramai yang mengetahui, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya juga merupakan seorang daripada mangsa yang terselamat daripada bencana tsunami pada 2004.
   
Mengimbau kembali tragedi itu, Dr Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, ketika kejadian itu, beliau sedang melawat kawasan Pantai Sungai Burung di sini selepas dilapor kejadian ombak besar.
   
Katanya, beliau dibawa oleh seorang rakan menaiki motosikal ke kawasan pantai Sungai Burung sebelum dipukul ombak besar kedua.

"Pada jam lebih kurang 12 tengah hari, kami telah melawat mangsa di Pantai Sungai Burung sebelum mendapati ombak kedua sedang menuju ke arah kami.
   
"Kami terpaksa memegang sekuat-kuatnya kepada tiang telefon awam dan berasa syukur kerana terselamat daripada ombak kedua itu," katanya dalam ucapan perasmian program Tsunami 2004 Dalam Kenangan di sini hari ini.
   
Katanya, beliau bersetuju cadangan Adun Pulau Betong Farid Saad untuk membina tugu peringatan tsunami berhampiran Pantai Pasir Panjang.
   
Bagi Mohd Aiman Sazali, 14, tragedi tsunami itu akan kekal dalam lipatan hidupnya kerana keseronokan berkelah bersama keluarga, bertukar tragedi selepas kehilangan ibu, Irdawati Suhimi, 23, yang ketika itu mengandungkan adiknya.    
   
Katanya, keluarganya sedang berkelah di Pantai Pasir Panjang sebelum ibu menyedari ombak besar sedang menuju ke arah mereka dan menjerit supaya lari menyelamatkan diri.

"Jeritan ibu lari... selamatkan diri, masih segar dalam ingatan walaupun 10 tahun telah berlalu. Selepas melarikan diri meninggalkan pantai, saya cuba melihat ke belakang dengan harapan ibu akan selamat tetapi ibu telah lenyap," kata pelajar Sekolah Menengah Seri Balik Pulau itu sambil menahan air mata.
   
Mohd Aiman berkata, dia diberitahu, mayat ibunya ditemui keesokan harinya, di hujung tanjung lebih kurang tiga kilometer dari Pantai Pasir Panjang.
   
Sementara itu, bekas nelayan Ramlah Hassan, 67, dari Kampung Sungai Burung di sini berkata sewaktu tsunami 2004 melanda, dia bersama adiknya sedang berada di laut.
   
Katanya, dia menyedari sesuatu yang pelik apabila mendapati hasil tangkapan udang pada hari itu hampir satu tan lebih daripada hari-hari biasa.
   
"Pada jam lebih 12 tengah hari, bot kami dipukul ombak yang kuat semacam kepala kereta api dan setinggi pokok kelapa yang datang dari arah Pulau Kendi.
   
"Namun pukulan ombak kedua yang menyebabkan bot kami tenggelam dan lebih kurang dua jam berada di laut, saya mendapati diri saya berada di atas pokok kelapa," katanya.
   
Dia bersyukur kerana adiknya dijumpai selamat oleh pasukan Bomba dan Penyelamat di paya bakau berhampiran Pantai Pasir Panjang. 

Bernama

Baca lagi >>

Jangan terpedaya jualan murah

Pengguna diingatkan jangan terpedaya dana cepat mudah terpengaruh dengan tawaran harga jualan murah atau potongan harga sempena jualan akhir tahun (YES).

Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Terengganu, Mohd Zukee Mohd Ragam berkata, pihaknya bimbang ada peniaga mengambil kesempatan dengan menawarkan potongan harga tanpa kelulusan pada hal harga ditawarkan itu lebih mahal daripada premis yang tidak membuat jualan murah.

“Pengguna perlu sentiasa berwaspada dan hati-hati dengan tawaran yang diuar-uarkan serta tidak percaya seratus peratus pada potongan harga diberikan.

“Sebaliknya membuat  penelitian dan perbandingan harga sebelum membeli kerana kita bimbang terdapat kedai yang menjual dengan harga lebih rendah, meskipun tiada tawaran harga dilakukan," katanya.

Kata beliau, walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Ops Bongkar di seluruh negara bagi mengesan peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pengguna sepanjang tempoh jualan murah akhir tahun, pengguna masih perlu waspada dan sentiasa menjadi pengguna bijak dalam mermbuat keputusan untuk membeli.
Antara premis di sekitar Kuala Terengganu yang mempamerkan tanda harga sebelum dan selepas promosi dengan jelas kepada orang ramai.
Beliau berkata, untuk menyertai YES, peniaga perlu membuat permohonan dengan kementerian berkenaan  sebelum mereka diberikan tempoh 30 hari untuk menjalankan perniagaan (jualan murah) di premis masing-masing.

“Notis yang jelas juga perlu diletakkan bagi membuktikan peniaga sudah memaklumkan mengenai YES yang dijalankan selain membolehkan pengguna mengetahui tempoh promosi berlangsung serta pamerkan harga sebelum dan harga selepas promosi ,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tumpahan minyak; Israel menerima hukuman

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin mengarahkan Israel membayar ganti rugi sebanyak AS$856.4 juta (RM3 bilion) kepada Lubnan kerana menyebabkan tumpahan minyak ketika peperangan tercetus pada 2006.

Keputusan itu dibuat selepas resolusi tidak terikat berhubung insiden itu diluluskan oleh PBB.

"Tel Aviv digesa untuk membayar pampasan segera kepada Beirut dan beberapa negara lain termasuk  Syria yang turut terjejas akibat tumpahan 15,000 tan minyak di perairan Mediterranean tersebut.

Kejadian itu telah memberi kesan besar kepada kehidupan dan ekonomi Lubnan serta menyebabkan bencana alam yang dahsyat," menurut kandungan resolusi itu.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku selepas rejim Zionis melancarkan serangan udara ke atas tangki simpanan minyak berhampiran loji kuasa negara itu.  - AFP

Baca lagi >>

Seorang maut, 10 parah dalam nahas di Kuala Lipis

Kemalangan melibatkan dua kereta di kilometer (KM) 14 jalan Lipis-Merapoh kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, mengakibatkan seorang terbunuh sementara 10 lagi cedera parah.

Dalam kejadian berhampiran simpang Kampung Gua di sini, kereta Proton Iswara dipandu Mohd Sofian Mat Daud, 37, dari arah Merapoh ke Lipis dipercayai dilanggar secara berhadapan oleh kereta Perodua Myvi yang dipandu Tuan Mohd Khuzaie Tuan Rosli, 22, dari arah bertentangan.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata, Perodua Myvi dipandu Tuan Mohd Khuzaie bersama empat ahli keluarganya dipercayai terlanggar lopak air sebelum hilang kawalan lalu masuk ke laluan sebelah kanan.

“Dalam masa sama, Mohd Sofian yang memandu Proton Iswara membawa lima ahli keluarganya dari arah Merapoh menuju ke Lipis gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta Perodua Myvi berkenaan.

“Mohd Sofian parah di bahagian kepala dan cedera mengalami dalaman. Dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.35 malam ketika menerima rawatan di Hospital Lipis,” katanya sambil memberitahu anak bongsu mangsa, Puteri Batrisya Aulina, 3, yang turut parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk rawatan lanjut.

Sementara itu Abdul Razak berkata,  isteri Allahyarham, Hasmi Adam, 38; anak perempuan mereka, Puteri Balqis, 12; bapa mertua, Adam Awang, 89; dan biras, Yusof Bakar, 51, yang juga cedera sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Menurutnya, turut menerima rawatan di hospital sama ialah bapa kepada pemandu kereta Perodua Myvi, Tuan Rosli Tuan Abdullah, 48; ibunya, Sarimah Halim, 43; dan dua adiknya, Tuan Narisah, 15; serta Tuan Abdul Muhaimi, 9.

“Kejadian dipercayai berpunca kecuaian sikap pemandu yang tidak mematuhi had kelajuan lebih-lebih lagi struktur permukaan jalan basah dan licin akibat hujan,” katanya.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 atau tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

28 Gambar sekitar Final Piala AFF Suzuki 2014

Klik gambar untuk paparan lebih besar




























Video Final Piala AFF Suzuki 2014, klik SINI

AFF Suzuki Cup 2014

Baca lagi >>

Video Final Piala AFF Suzuki 2014 | Malaysia vs Thailand

Malaysia 3-2 Thailand (3-4 on agg): 

Thailand became 2014 AFF Suzuki Cup Champions after 2 late goals by Charyl Chappuis & player of the tournament Chanathip Songkrasin gave them a dramatic 4-3 aggregate win

Baca lagi >>

25 bekas pegawai tinggi tolak jemputan Jakim

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menjemput 25 bekas pegawai tinggi Melayu yang menulis surat terbuka mengenai amalan undang-undang Islam di negara ini, baru-baru ini, untuk mengadakan dialog dan perbincangan.

Pegawai perhubungan awam Jakim, Asiah Alkharib Shah dalam satu kenyataan hari ini berkata, perbincangan tersebut dijadualkan berlangsung pada 23 Disember ini.

Bagaimanapun, katanya, wakil 25 bekas pegawai tinggi berkenaan memaklumkan mereka tidak bercadang mengaturkan pertemuan dengan mana-mana pihak termasuk Jakim.

Pada 7 Disember lalu, sekumpulan 25 bekas pegawai tinggi Melayu menulis surat terbuka kepada rakyat Malaysia yang antara lain mendesak supaya Undang-undang Jenayah Syariah dinilai semula kerana sistem perundangan plural yang wujud sekian lama, menimbulkan pelbagai konflik dan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah.

Surat terbuka daripada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Rahim Din dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar serta beberapa bekas duta itu turut menggesa sesi dialog diadakan berhubung pelaksanaan undang-undang Syariah.

Sinar Harian

Baca lagi >>