Saturday, 20 December 2014

Harimau Malaya menang tanpa piala

PENAMAT yang cukup memedihkan selepas impian Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan Piala AFF 2014 lebur apabila tewas dengan agregat 3-4, meskipun hampir mencipta kebangkitan dengan kemenangan 3-2, pada aksi timbal balik final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ternyata anak buah Dollah Salleh tidak mampu membendung kemaraan Thailand yang menyumbat dua gol pada 10 minit terakhir selepas mereka selesa mendahului 3-0, dalam tempoh hampir sejam permainan.

Kemenangan 3-2 itu belum cukup buat Malaysia mengulangi detik gemilang 2010 selepas mereka tumpas 0-2 pada final pertama di Bangkok Rabu lalu.

Berbekalkan sorakan padu 90,000 penyokong, Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama apabila pengadil dari Iran Faghani Alireza menghadiahkan sepakan penalti selepas penyerang Norshahrul Idlan Talaha dikasari pertahanan lawan.

Pemain tengah Safiq Rahim seperti biasa tidak berdepan masalah untuk menyudahkan sepakan penalti itu buat pasukan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-5.

Dollah yang hanya membuat satu pertukaran memasukkan pemain pertahanan tinggi lampai Mohd Afif Amiruddin menggantikan Mohd Fadhli Shas yang demam pada saat akhir lebih banyak mendominasi permainan manakala barisan pemain muda Thailand tampak kaku dalam sorakan penyokong Malaysia.

Biarpun bergelut dengan permukaan padang yang teruk, skuad kendalian Kiatisuk Senamuang itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-10 selepas sepakan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias ditampan Adisak Kraisorn namun mujurlah bola sekadar melintas di depan gawang.

Dollah terpaksa mengeluarkan Azamuddin Akil dua minit selepas itu akibat kecederaan dan digantikan dengan penyerang Mohd Safee Sali.

Selepas puas mencuba akhirnya gol kedua buat mengikat agregat 2-2, berjaya dihasilkan apabila bola hantaran lintang Norshahrul disambar Indra Putra Mahayuddin yang menanduk menewaskan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan di penghujung babak pertama.

Semangat anak buah Dollah terus membara pada babak kedua apabila mereka meraih gol ketiga pada minit ke-58 menerusi sepakan percuma menarik Safiq yang menerjah ke gawang.

Ia Jaringan keenam peribadi pemain Johor Darul Ta'zim itu untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan mengatasi pencabar terdekat Le Cong Vinh dari Vietnam dengan empat gol.

Bagaimanapun, Thailand juara tiga kali pada 1996, 2000, 2002 bangkit dengan ledakan dua gol pantas pada minit ke-81 dan 87 menerusi perubaan Charyl Chappius dan Chanathip Songkrasin untuk melenyapkan impian Malaysia.

Ia kekecewaan kedua skuad kebangsaan di tangan Thailand selepas kecundang 0-1, pada 1996 menerusi jaringan tunggal Kiatisuk yang ketika itu bergelar pemain.

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias; Pertahanan, S Kunanlan, Shukor Adan (C), Mohd Afif Amiruddin, Zubir Azmi; Mohd Amri Yahyah, Safiq Rahim, Mohd Badhri Radzi, Azammuddin Mohd Akil; Indra Putra Mahayuddin (Gary Steven Robbat), Norshahrul Idlan

THAILAND: Kawin Thamsatchanan (C); Perapat Notechaiya, Suttinun Phukom, Tanaboon Kesarat, Narubadin Weerawatnodom; Kroekrit Thawikan, Sarach Yooyen, Charyl Chappuis, Prakit Deeprom; Chanatip Songkrasin, Adisak Kraisorn

Harian Metro

Pautan berkaitan:


Video Final Piala AFF Suzuki 2014 | 

Malaysia vs Thailand


Baca lagi >>

Withdraw RM100 kena caj RM6?

AUTA

SATU mesej viral tersebar mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan kepada pengeluaran wang di mesin teler automatik (ATM).

Menurut mesej itu, jika sebelum ini perkhidmatan pengeluaran wang tunai di ATM melalui MEPS dikenakan caj RM1 bagi setiap transaksi, caj itu akan meningkat kepada enam peratus daripada jumlah wang yang dikeluarkan apabila GST diperkenalkan pada 1 April 2015.

"Contoh: (Pengeluaran sebanyak) RM100, cajnya RM6," menurut mesej itu yang memetik seorang pegawai di sebuah bank sebagai sumber.

Mesej itu turut menasihati orang ramai mengeluarkan wang di ATM milik bank masing-masing bermula tahun depan untuk mengelakkan caj enam peratus itu.

MEPS adalah perkhidmatan yang membolehkan pemegang akaun di sebuah bank mengeluarkan wang tunai melalui ATM di bank lain.

FAKTA

SHAH ALAM - Mesej yang mendakwa pengeluaran wang tunai melalui MEPS di ATM akan dikenakan GST sebanyak enam peratus dari jumlah pengeluaran adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, GST yang akan dikenakan kepada transaksi ATM jika wang dikeluarkan melalui MEPS ialah enam peratus daripada kadar caj yang dikenakan MEPS, dan bukan berdasarkan jumlah pengeluaran wang.

"Perkhidmatan yang mengenakan fi atau yuran memang tertakluk kepada GST, contohnya seperti perkhidmatan MEPS.

"Tetapi, kalau pengeluaran wang di ATM bank sendiri tiada apa-apa caj GST," katanya kepada Sinar Harian.

Kadar caj yang dikenakan MEPS kini adalah RM1 bagi setiap transaksi ATM antara bank-bank tempatan.

MEPS dalam laman webnya memaklumkan bermula 1 April 2015, pemegang kad bank tempatan akan dikenakan caj RM1.06, termasuk enam peratus GST bagi setiap transaksi.

Caj berbeza yang dikenakan kepada bank luar negara turut akan dikenakan GST.

Baca lagi >>

Kagum! Kecil-kecil dah pandai cari rezeki halal

Mungkin nampak mustahil tetapi Asia Newson, mampu mengubah habuk menjadi padang pasir.

"Sejak berumur kira-kira empat atau lima tahun lagi, saya sentiasa menginginkan untuk memiliki kemeriahan atau kuasa kecil yang membolehkan saya pergi jauh," kata Asia kepada ABC News.

DIKENALI sebagai usahawan termuda Detroit pada usia 11 tahun.
Dikenali sebagai 'usahawan termuda Detroit', Asia adalah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Super Business Girl iaitu sebuah syarikat yang dijalankan bersama ahli keluarganya.

Asia sering menghampiri orang-orang asing atau yang tidak dikenalinya di jalanan bagi menjual lilin buatan sendiri supaya dia boleh membeli pakaian dan makanan untuk kanak-kanak yang memerlukan, barangan sekolah serta bekalan perniagaannya.

Dia yang berusia 11 tahun tidak kekok dengan tingkah laku sebagai seorang penjual berjaya menjalankan syarikatnya sendiri selama enam tahun.

Berasal dari Michigan, Asia menunjukkan keyakinan diri pada ABC News' 20/20 sewaktu kamera mengikuti pergerakan kanak-kanak ini yang mendekati orang yang tidak dikenalinya dan cuba meyakinkan mereka untuk melabur dalam perniagaannya yang semakin berkembang.

"Hari ini, saya mencari keuntungan sekurang-kurangnya RM69.66 untuk membolehkan saya membeli peralatan yang diperlukan bagi memperluas dan mengembangkan perniagaan saya," katanya.

Pada masa yang sama, seorang wanita tertarik dengan semangat Asia sewaktu beliau diaju untuk membeli lilin itu lalu wanita terbabit membeli dengan bayaran RM348.30.
DIA kelihatan cuba meyakinkan seorang wanita di jalanan Detroit untuk membeli lilin buatannya
Bersama ayahnya Michael yang menunggu berhampiran, Asia turut mengedarkan kad perniagaan ketika dia membuat pusingan perjalanan.
"Detroit masih tempat yang hebat untuk memulakan perniagaan. Kami mempunyai orang-orang yang baik. Mereka akan memberi galakkan kepada anda. Maksud saya, saya menjual lilin di sini seumpama perniagaan saya sangat memberikan keuntungan," kata sunti yang cepat matang itu.

Asia turut menarik perhatian Dave Anderson, pemilik bersama Bamboo Detroit, pusat inkubator tempatan untuk memulakan syarikat.

"Dia benar-benar banyak memahami konsep perniagaan yang lebih baik daripada kebanyakan dewasa yang berinteraksi dengan saya dan ia hanyalah satu perkara semula jadi.
BAMBOO Detroit memberi ruang kepada Asia untuk mengajar skil perniagaan kepada kanak-kanak seusianya. 
"Saya begitu kagum dengan semangat beliau, saya hanya mahu berikan dia semua wang dalam poket saya," kata Anderson yang membeli lilin daripada Asia pada tahun lepas.

Bamboo Detroit memberi Asia ruang bebas dan sokongan Internet untuk membangunkan Super Business Girl agar dapat memenuhi impiannya untuk melatih kanak-kanak lain dalam bidang keusahawanan.

Pada laman web terbabit, ujar Asia misi syarikatnya adalah untuk mengenali potensi sebenar dalam setiap kanak-kanak dan untuk membangunkan keselamatan intrinsik yang menggunakan bakat optimum individu itu.

Asia yang turut menjual lilin atas talian dengan harga RM34.79-RM52.21, berkongsi kisah mengenai usaha permulaan perniagaannya semasa ditemubual dengan MSNBC pada Februari lalu.

"Ayah saya seorang jurujual. Dia keluar rumah untuk menjual lilin ini dan saya biasa mengekorinya kerana tiada siapa perasan kehadiran saya.
ASIA sentiasa ceria sambil menggayakan stoking tangan berwarna merah jambu. 
"Ayah sering berkata, jualan lilin agak sukar tetapi entah bagaimana saya pun mencubanya. Jadi, pada satu hari saya mengganggu penyampaiannya dan saya berkata sesuatu yang hakikat sebenarnya saya sudah mengaut keuntungan lebih banyak daripada dia," kata Asia.

hmetro

Baca lagi >>

Maut tertimbus ketika melombong emas dekat Maran

Seorang remaja maut akibat tertimbus tanah runtuh semasa melombong emas di lombong haram di Ulu Luit, Sri Jaya dekat Maran semalam.

LOKASI lombong haram tempat mangsa tertimbus.
Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, ASP Abdul Razak Abdul Majid berkata dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, Mohd Shahril A. Wahab@Amin, 17, dari Felda Sri Desa, Felda Kampung New Zealand mati di tempat kejadian.
"Mangsa dikatakan melombong secara haram bersama beberapa penduduk apabila tanah di kawasan itu tiba-tiba runtuh menyebabkan mangsa tertimbus.

"Pelombong lain yang mencarinya kemudiannya menemui mangsa yang sudah tidak lagi bernyawa," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Maran sebelum dihantar ke Hospital Jengka pada pukul 8 malam.

Bernama

Baca lagi >>

Seorang gelandangan membantu wanita yang dalam kesusahan. Ini balasan yang dia dapat

LANCASHIRE (England): Seorang lelaki gelandangan yang sanggup menawarkan wang dikumpul sepanjang hari kepada seorang wanita yang tidak cukup wang bagi membayar tambang teksi di bandar Preston, di sini, pada malam 4 Disember lalu, menerima ‘pulangan’ sehingga lebih£21,000 (RM114,383) selepas wanita itu membalas budi dengan mencari dana untuk membantunya.

Gelandangan dikenali sebagai Robbie itu menawarkan £3 (RM16) kepada penuntut Universiti Lancashire, Dominique Harrison-Bentzen, 22, selepas wanita terbabit tidak cukup wang untuk membayar tambang teksi kerana beg duitnya hilang.

Robbie turut bimbang dengan keselamatan wanita itu sehingga sanggup memberi wang supaya Dominique dapat pulang ke rumah dengan selamat.

Bagaimanapun, Dominique enggan menerima wang berkenaan sebelum dijemput ibunya, tetapi terharu dengan kemurahan hati Robbie menyebabkan dia nekad membantunya.

Wanita itu memuat naik status di Facebook dan Twitternya untuk mendapatkan sokongan orang ramai sehingga menjadi viral di seluruh dunia, malah turut tidur semalaman di tepi jalan di Bandar Preston Selasa lalu untuk mencari wang membantu Robbie.
Dominique membalas budi gelandangan.
Hasilnya, lebih £21,000 (RM114,383) berjaya dikutip dan Dominique turut melancarkan laman web untuk mencari dana bagi membantu Robbie membayar deposit rumah flat. The Telegraph

Harian Metro

Baca lagi >>

Hampir sejuta kebuluran akibat Ebola

Penutupan sempadan, perintah kuarantin dan kerugian hasil tanaman di negara Afrika Barat akibat penularan wabak Ebola telah menyebabkan hampir sejuta penduduk kini diancam kebuluran.

Program Makanan Dunia PBB memberitahu sekatan ke atas negara yang terjejas teruk akibat virus pembawa maut itu telah memberi kesan besar kepada sektor pertanian dan bekalan makanan di rantau tersebut.

Kanak-kanak di negara terjejas akibat Ebola juga kini diancam kebuluran.
"Situasi itu telah mengakibatkan Liberia, Guinea dan Sierra Leone mengalami kelembapan ekonomi sejak beberapa bulan lalu.

Ia sememangnya mengancam rantaian pemprosesan dan menjejaskan pasaran makanan di rantau terbabit," jelas laporan itu lagi, dipetik AFP.

Difahamkan, jumlah penduduk diancam kebuluran mungkin meningkat lebih satu juta menjelang Mac depan jika tiada langkah segera diambil untuk melindungi ternakan dan hasil tanaman di negara Afrika Barat terbabit.

Sinar Harian

Baca lagi >>