Saturday, 13 December 2014

Piala AFF Suzuki 2014: Tiket secara online mula dijual esok, Ahad (14 Disember 2014)

Penjualan tiket menerusi atas talian (online) bagi perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014, Sabtu depan akan mula dijual mulai esok sehingga Rabu depan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kepada media selepas membuat tinjauan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.


Turut hadir, Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad.

Bagi tiket biasa pula, Hamidin berkata ia akan mula dijual di kaunter mulai Khamis ini hingga Sabtu, dengan harga ditetapkan RM50 bagi dewasa dan RM10, kanak-kanak.

Katanya, harga ditetapkan itu cukup memadai dan lebih murah berbanding di Singapura iaitu 26 dolar Singapura (RM67) serta USD20 (RM69) di Vietnam pada perlawanan sebelum ini.

Dalam pada itu Hamidin berkata, sebanyak 2,500 tiket diperuntukkan kepada penyokong Thailand.

"Di Bangkok, Thailand nanti, mereka bagi kita 2,500 tiket untuk penyokong dan jumlah sama juga akan kita peruntukan kepada mereka," katanya.

Baca lagi >>

Berbekam selamat, berkesan dan mencegah pelbagai penyakit

Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) membuktikan kaedah kesihatan melalui berbekam selamat, berkesan, bersih dan mencegah pelbagai penyakit jika dilakukan juru bekam diiktiraf.

Penyelaras Program Juru Bekam Klinikal, Prof Dr Ab Aziz Al-Safi berkata, berdasarkan kajian saintifik yang dilakukannya selama dua tahun, berbekam bukan sahaja amalan sunah tetapi dapat mencegah penyakit kronik.

Abd Aziz (barisan kedua, enam dari kiri) bersama juru bekam yang menerima pengiktirafan di USMKK, semalam.
“Kajian ini memberi hasil yang menunjukkan indikator terhadap pelbagai penyakit dengan mengurangkan kolesterol, menurunkan tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Paling penting, saluran sarah menjadi lebih anjal yang boleh mengelak serangan penyakit jantung, sekali gus menghindar daripada strok, juga baik untuk buah pinggang dan gout,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Diploma.

Majlis itu anjuran Kluster Perubatan Tradisional dan Integratif Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dengan kerjasama Akademi Usahawan Islam.

Turut hadir, bekas Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Prof Mustafa Musa; Ketua Kluster Perubatan Tradisional dan Integratif USMKK, Prof Dr Siti Amrah Sulaiman dan Pengasas Akademi Usahawan Islam, Datuk Dr Mohd Zamri Mohd Salleh.

Lebih menarik, Abd Aziz berkata, kaedah itu juga dapat mengurangkan penggunaan ubat-ubatan di hospital dan menjimatkan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun.

Sementara itu, beliau berkata, pemegang diploma bidang berbekam juga turut diberi latihan keusahawanan Islam dalam usaha menjana pendapatan terutama dalam persekitaran membantu orang kampung.

“Kita mendapati kekurangan juru bekam di hospital, jadi latihan kursus diberikan kepada mereka selama dua tahun dan latihan intensif. Pemantauan dilakukan dengan catatan buku log.

“Juru bekam yang mengikuti kursus ini diminta membuat kaedah bekam di tempat diiktiraf, malah menetapkan syarat mereka perlu buat bekam sekurang-kurangnya 120 kali dicatat dalam buku log, barulah mereka layak menerima pengiktirafan,” katanya.

Katanya, setakat ini sudah dua kali majlis pengiktirafan diadakan, melibatkan 41 juru bekam di seluruh Malaysia dan sebahagian daripada mereka adalah 15 juru bekam diiktiraf yang terdapat di Kelantan.

Beliau berharap lebih ramai juru bekam lahir di negara ini yang mengikuti kursus formal dan memberikan rawatan berbekam melalui kaedah terbukti berkesan serta mempunyai buku saintifik.

Sinar Harian

Baca lagi >>

'Second Honeymoon' hangatkan hubungan cinta suami isteri

Program Second Honeymoon atau Program Bulan Madu Kali Kedua yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menyelamatkan hampir 98 peratus rumah tangga pasangan yang menyertai program itu.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, daripada 772 pasangan yang menyertai program itu, hanya lapan pasangan yang tetap meneruskan hasrat mereka untuk berpisah.

“Ini menunjukkan program Second Honeymoon yang kita perkenalkan sejak 2010 ini menunjukkan hasil setelah hanya 1.2 peratus sahaja daripada jumlah pasangan yang menyertai program ini tetap meneruskan hasrat mereka untuk berpisah.

“Program ini sebenarnya khas untuk pasangan yang telah lama berkahwin dan bermasalah. Jadi, bagi memastikan keharmonian rumah tangga mereka, kita bawa mereka menyertai program ini bagi memantapkan institusi kekeluargaan, seterusnya memulihkan hubungan suami isteri,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2015 pada Sidang Dun, di Wisma Darul Iman, semalam.

Tambahnya lagi, pasangan yang dipilih kebanyakannya dalam kalangan mereka yang mengalami masalah rumah tangga dan ada antaranya yang kritikal sehingga sampai kepada proses permohonan penceraian di mahkamah syariah.

“Kita dapat data, angka dan peserta dari Pejabat Agama di negeri ini. Ada dalam kalangan mereka yang mengemukakan permohonan untuk tinggal berasingan.

“Jadi, kita cari pasangan ini untuk masukkan mereka dalam program ini.

Dengan beberapa modul santai sepanjang tiga hari dua malam itu, harapan kita hubungan mereka kembali bertaut, seterusnya mengukuhkan institusi kekeluargaan," katanya.

Menurut Pehimi, Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai program seperti itu, di mana kajian mendapati keruntuhan institusi kekeluargaan juga adalah antara faktor masalah sosial dalam kalangan generasi muda.

“Alhamdulillah, nampaknya program ini sudah menunjukkan hasil yang sangat positif dan YPKT sentiasa memantau perkembangan semua peserta selepas program agar mereka tidak lagi mengulangi perkara sama,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>