Friday, 12 December 2014

Video Menteri Palestin dibunuh semasa demonstrasi

Pertempuran sengit sekali lagi tercetus antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa Israel di Hebron sehari selepas seorang menteri kanan Fatah terbunuh dalam insiden sama.


Sekumpulan penduduk Palestin turut membaling batu ke arah tentera rejim Zionis sebagai tanda protes terhadap tindakan ganas mereka yang telah meragut nyawa Ziad Abu Ein, namun tiada kecederaan atau tangkapan dibuat sejurus pertempuran itu berakhir.

Menurut AFP, Pihak berkuasa turut meningkatkan kawalan mereka di sekitar Tebing Barat.

Sementara itu, pegawai kanan Palestin, Hussein al-Sheikh memaklumkan keputusan autopsi menunjukkan kematiannya berpunca daripada terhidu asap tebal.



"Keputusan tersebut menunjukkan mangsa gagal diselamatkan kerana bantuan lambat diberikan kepadanya," jelasnya.

Dalam satu kenyataan lain, Israel mendakwa kononnya punca kematian bekas timbalan menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA) itu adalah akibat serangan jantung.

Difahamkan, konfrontasi itu tercetus ketika Ziad menyertai perarakan bersama kira-kira 300 aktivis yang berhasrat menanam pokok buah zaitun sebagai langkah simbolik bagi membantah projek penempatan haram di Tebing Barat.

Menurut saksi, beliau diserang tiga anggota tentera rejim Zionis sebelum secara tiba-tiba rebah ke tanah.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kes denggi di Pulau Pinang meningkat

Kes denggi di Pulau Pinang meningkat sehingga 171.26 peratus dengan 2,558 kes direkodkan sepanjang Januari hingga 6 Disember ini berbanding hanya 943 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Exco Kesihatan Negeri, Dr Afif Bahardian berkata, dalam tempoh itu sebanyak tujuh kematian akibat denggi direkodkan berbanding lima dalam tempoh sama tahun lepas.


Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, sebanyak 34 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di negeri ini iaitu daerah Timur Laut membabitkan  Taman Sri Pinang, Taman Free School,  Jalan Lim Eow Thoon,  Jalan Sungai Ujong, Taman Manggis, Taman Kheng Tian, Kuarters PBA  Jalan Padang Tembak, Jalan Wright dan Pengkalan Weld.

Daerah Timur laut membabitkan Jalan Haji Hashim  Imam, Jalan Datuk Keramat, Lorong Abu Siti, Halaman Kristal, Sinar Bukit Dumbar,  Pangsapuri Alimshah Walley, Sri Saujana Apartment, Bellisa Court, Greenlane Heights  Apartment, Kampung Cetty dan Taman Alor Vista.

Daerah Barat Daya ialah di Mutiara  Perdana, Persiaran Mayang Pasir, Taman Sahabat, Kampung Masjid Teluk Kumbar, Flat  Lengkok Mahsuri, Blok J Permatang Damar Laut dan Kampung Perlis.

Daerah Seberang Perai Utara membabitkan Taman Bunga Tanjung, Bagan Jermal, Taman Melur dan Pangsapuri  Aman sementara daerah Seberang Perai Tengah ialah Kampung Besar, Kampung Jalan Baru dan Taman Permata.

Dr Afif meminta masyarakat setempat supaya mengambil langkah pencegahan dengan mengadakan aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan sekitar serta membenarkan anggota jabatan kesihatan menjalankan semburan kabus di dalam rumah. 

Bernama

Baca lagi >>

Protes harga minyak pada ambang tahun baru

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan kumpulan aktivis bakal mengadakan demonstrasi pada ambang tahun baru untuk mendesak kerajaan menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.90.

Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Muhamad Azan Safar berkata, tindakan menghapuskan subsidi oleh kerajaan BN adalah tidak adil dan membebankan rakyat.


“Antara NGO dan parti politik yang bakal menyertai demonstrasi ini adalah Solidariti Anak Muda Malaysia, Pas, PKR serta Pemuda DAP.

“Demonstrasi ini akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Disember bermula jam 9 malam," katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, demonstrasi berkenaan tidak memerlukan permit berhimpun daripada pihak berkuasa kerana selain berdemonstrasi pihaknya turut meraikan ambang tahun baharu.

“Kami turun berhimpun seperti orang ramai bagi meraikan ambang tahun baharu tetapi dengan cara membawa mesej mendesak kerajaan menurunkan harga minyak,” katanya.

Muhamad Azan berkata, himpunan berkenaan bakal berlangsung secara aman tanpa berlaku sebarang kekecohan.

“Tahun lepas kami turut mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan menurunkan harga barangan dengan dihadiri lebih 10,000 peserta. Saya jangka jumlah ini akan bertambah pada tahun ini.

"Diharapkan tidak ada pihak yang melemparkan tuduhan liar terhadap himpunan aman yang akan berlangsung nanti,” katanya.

Beliau mendakwa, formula apungan harga terkawal yang diamalkan oleh kerajaan kini memberi jaminan pembayaran balik kos dan keuntungan kepada syarikat-syarikat minyak sebanyak 30 sen seliter.

“Kami percaya harga yang adil kepada rakyat ialah RM 1.90 seliter bagi RON95 iaitu dengan mengambil kira harga pasaran dunia,” katanya.

Baca lagi >>

Bangga! KL tersenarai di tangga 13 hotel harga patut di dunia

KUALA LUMPUR disenaraikan di tangga ke-13 di dunia sebagai destinasi hotel harga patut, oleh GoEuro.com, sebuah laman carian pelancongan Eropah yang berpangkalan di Berlin.


Penemuan itu diperoleh hasil tinjauan yang dibuat ke atas indeks harga penginapan yang saksama meliputi 150 bandar dan lebih 60,000 premis bagi mengetahui trend terkini dalam industri hotel.

"Bandar-bandar terlibat dipilih berdasarkan beberapa faktor, dan untuk bandar di luar Eropah, kami memilih berdasarkan populasi, saiz industri hospitaliti dan jumlah serta ketersediaan hotel-hotel 1 hingga 4 bintang," katanya dalam satu kenyataan.

Bernama

Baca lagi >>

Video Piala AFF Suzuki 2014: separuh akhir kedua Malaysia menewaskan Vietnam aggregat 5-4


MALAYSIA bakal berentap dengan Thailand pada aksi final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 selepas menang agregat 5-4 ke atas Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, malam ini.
 
Skuad Harimau Malaya, yang kalah 2-1 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, bangkit dengan kemenangan bergaya 4-2 pada aksi timbal balik untuk mara ke final buat kali kedua selepas 2010.
 
Thailand pula menang agregat 3-0 ke atas Filipina dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, semalam.     Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina, Sabtu lepas.
 
Pada aksi malam ini, Vietnam dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong mereka terus mengasak kubu skuad Harimau Malaya sebaik sahaja pengadil dari Jepun, Toma Masaaki meniupkan wisel.
 
Nasib bagaimanapun lebih menyebelahi Malaysia yang membuka tirai jaringan seawal minit ketiga oleh perancang tengah, Safiq Rahim menerusi sepakan penalti.
 
Masaaki menghadiahkan penalti tersebut selepas pemain tengah negara, Indra Putra Mahayuddin dijatuhkan oleh pertahanan Vietnam, Que Ngoc Hai di dalam kotak penalti.
 
Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha menamatkan kemarau jaringan pada kejohanan kali ini dengan meledak gol kedua untuk skuad Harimau Malaya pada minit ke-15 hasil kesilapan pemain tuan rumah.
 
Tersentak dengan gol tersebut, Vietnam kembali menyusun permainan dan berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Le Cong Vinh pada minit ke-22.
 
Selang enam minit kemudian, skuad Harimau Malaya kembali menambah duka untuk skuad kendalian Toshiya Miura itu selepas pertahanan mereka, Dinh Tien Thanh tertampan bola ke dalam gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran silang Indra Putra.
 
Kegembiraan skuad negara berterusan selepas kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan berjaya menambah gol keempat pada minit ke-42 selepas menyudahkan tandukan pemain pertahanan, Mohamad Fadhli Mohd Shas.
 
Bersambung babak kedua, Vietnam mengubah rentak perlawanan dengan menggandakan asakan bagi merapatkan jurang dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Le Cong Vinh menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-78 hasil kelalaian benteng pertahanan skuad negara.
 
Pasukan tuan rumah berusaha untuk menambah jaringan namun gagal sehingga tiupan wisel daripada Masaaki, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia untuk mengulangi kejayaan juara pada 2010 yang dihoskan bersama oleh Indonesia dan Vietnam.
 
Malaysia mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia pada aksi final 2010 untuk muncul juara buat pertama kali.
 
Sebagai rekod, Malaysia kalah 1-0 kepada Thailand pada aksi final 1996 di Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger.
 
Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Bangkok pada 17 Disember ini disusuli aksi timbal balik pada 20 Disember di sini.
Bernama

Baca lagi >>