Tuesday, 9 December 2014

Kenduri besar bawa padah

Majlis perkahwinan di luar kemampuan kewangan sudah menjadi sinonim de­ngan masyarakat di negara ini biarpun terpaksa berhutang berbelas dan berpuluh ribu ringgit.

Masalah kewangan yang dihadapi pasangan ‘berhutang’ ini kemudiannya melarat walaupun sehingga anak sudah bersekolah dan tidak mustahil mewujudkan keada­an konflik yang berakhir dengan perceraian.

Cukup mengejutkan, kajian oleh Pusat Kecemerlangan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE) Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap 549 individu yang baharu dua tahun berkahwin mendapati 37 peratus daripadanya sudah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan perkahwinan mereka.

Bagai sudah dapat dijangka, masalah kewangan menjadi punca utama kepada konflik perkahwinan mereka dan masalah itu jauh me­runcing berbanding isu-isu lain termasuk sikap pasangan, pengurusan konflik, cara pasangan membuat keputusan dan masalah komunikasi.

Ketua FACE, Prof. Madya Dr. Rumaya Juhari berkata, beliau tidak menolak antara punca masalah kewangan yang menimpa pasangan muda itu adalah akibat beban hutang berikutan majlis perkahwinan di luar kemampuan.

Jelas beliau, ramai pasangan suami isteri pada masa kini gagal membuat perancangan kewangan untuk jangka masa panjang dan mengambil mudah terhadap trend meminjam wang untuk berkahwin walaupun kosnya mencecah antara RM25,000 hingga RM35,000.

“Bagi mereka berkemampuan atau memang dari keluarga kaya, saya tidak berapa kisah tetapi saya bimbangkan terhadap pasangan yang terpaksa berhutang berbelas atau berpuluh ribu ringgit dengan bank hanya semata-mata untuk majlis yang berlangsung sehari atau dua hari sahaja.

“Dalam agama Islam pun sudah diterangkan apa yang wajib dilakukan, tidak perlulah kita berbelanja keterlaluan dan melakukan pembaziran seolah-olah perkahwinan seorang bintang filem, sedangkan artis-artis pun kahwin meriah sebab dapat tajaan,” katanya.

Jelas beliau, apa yang cukup dibimbangkan adalah kajian itu juga mendapati hanya 16 peratus daripada responden terbabit sudah mempunyai anak, ini bermakna beban kewangan sudah pun merun­cing sebelum individu berkenaan mempunyai jumlah tanggungan lebih besar.

“Tempoh dua tahun pertama perkahwinan sepatutnya menjadi tempoh berbulan madu, yakni tempoh bahagia tetapi masalah berpunca kesilapan menguruskan kewang­an ini boleh merosakkan hubungan dan menjadi ‘api dalam sekam’ sehingga mengakibatkan perkahwinan dibubarkan,” katanya.

Katanya, masalah belanja perkahwinan di luar kemampuan tidak boleh ditujukan kepada pasangan suami isteri sahaja tetapi juga didorong oleh keluarga kedua-dua pihak sehingga konsep majlis perkahwinan yang mulia, berubah menjadi peluang untuk bermegah-megah.

Tegas beliau, trend masalah kewangan yang menghimpit pasangan suami isteri bukan masalah baharu, namun keadaan diburukkan dengan kos hidup masa kini yang bertambah tinggi terutamanya kepada mereka bekerja di bandar dengan pendapatan paras sederhana dan rendah.
Utusan Online

Baca lagi >>

Dua hutang, satu kehidupan

Berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat sejak umur baligh. Tetapi mereka yang keinsafan datang lewat, kejahilan melampaui umur baligh, pasti ada tertinggal solat.

Maka solat yang ditinggal itu wajib dibayar, diqada. Tidak ada alasan lain kerana ia ibarat berhutang kepada Allah. Bertaubat sahaja tidak akan dapat memadam hutang ini.

Dalam kitab disebutkan, orang yang ada solat tertinggal, wajib menggunakan seluruh masa yang ada untuk mengqadanya, dan sebaiknya memilih untuk mengqada solat dari bersolat sunat.

Hitungan bilangan solat tertinggal kena dibuat. Berusahalah sedapat mungkin melangsaikan qada ini di samping memohon ampun, jika tidak berterusan pun, buatlah qada setiap waktu, moga akhirnya selesai juga. Moga sempatlah selesai sebelum maut menjemput. 

Satu lagi hutang yang kebanyakan orang ada adalah hutang kepada manusia. Wajib dibayar, mati bukan bermakna tutup buku hutang kerana di akhirat masih dituntut dan dibalas. 
Doodle: http://lyfeofatikah.blogspot.com/
Hutang berjadual hendaklah dipatuhi jadualnya seperti hutang beli rumah. Hutang tak terjadual seperti kepada kawan, adik-beradik, atas dasar bila ada duit, akan bayar. 

Hutang tak terjadual inilah pada setengah orang meremehkannya, menangguhkannya, hingga jadi perbalahan.

Orang yang berhutang sebenarnya kena menggunakan seluruh wang yang ada baki dari keperluan asasnya untuk bayar hutang. 
Doodle: http://lyfeofatikah.blogspot.com/
Ia sepatutnya tidak boleh berbelanja perkara diluar dari keperluan asas seperti beli hp, camera, joran, bawa anak makan kfc, domino pizza dan sebagainya, tetapi mengguna wang ini untuk bayar hutang yang dijanji “bila ada duit aku bayar”.

Bila mati seseorang, warisnya wajib selesaikan hutangnya dahulu sebelum hartanya difaraid. Adalah elok waris yang tinggal membuat pengumuman agar sesiapa yang ingin menuntut hutang si mati, supaya berbuat demikian kepada warisnya atau menghalalkannya untuk memastikan si mati tidak terbawa hutang ke hadapan Tuhan. 
Doodle: http://lyfeofatikah.blogspot.com/
Perkara utama saya nak peringatkan kali ini ialah hutang baik kepada Allah atau kepada manusia kena diberi priority, keutamaan melebihi hal lain yang tidak wajib. 

Elakkan berhutang sedapat mungkin kerana jika kita berhutang ibarat kita meyakini akan hidup lama lagi sedangkan hanya Allah yang menggenggam umur kita. 

Nukilan: Cikgu Abd Ghani Haron

Baca lagi >>

Isteri curang selepas diberi smartphone

Seorang suami tidak menyangka hadiah telefon bimbit pintar yang diberikan kepada isterinya telah disalahgunakan.

S Selvaratnam, 36, menghadiahkan sebuah telefon bimbit pintar kepada isterinya, M Ritha, 34, enam bulan lalu apabila didesak oleh isterinya.

Menurutnya, telefon pintar itu digunakan untuk bersembang di laman sosial Facebook.

“Gara-gara bersembang di Facebook isteri saya terpedaya dengan kata-kata manis seorang lelaki sehingga sanggup meninggalkan saya dan dua anak.

“Telefon itu saya berikan untuk kemudahannya dan tidak menyangka disalahgunakan,” katanya yang tinggal di Taman Krishnan, Sitiawan di sini.

Selvaratnam berkata, sejak mempunyai telefon berkenaan, isterinya tidak pernah lekang dengan gajet itu walaupun ke tandas.

Jelasnya, perbuatan isterinya berhubung dengan lelaki lain disedari apabila melihat perbualan mereka menerusi akaun Ritha.

“Saya bertindak menyiasat perkara itu dan mendapati isteri ada menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki dari Singapura.

“Mereka kini dipercayai berada di Johor dan saya sangat kesal kerana dia sanggup meninggalkan anak, S Vaishanavi, 11 dan S Yuvanraj, 8,” katanya.

Selvaratnam berharap isterinya pulang semula ke pangkuan keluarga kerana anak-anak begitu merindui Ritha.

Katanya, sehingga sekarang dia tidak tahu mahu mencari Ritha di mana dan berharap orang awam yang mengetahui keberadaan isterinya dapat menghubungi Selvaratnam dengan  segera.

“Saya juga mahu masyarakat menjadikan kisah saya ini sebagai pedoman agar tidak membiarkan anak-anak atau isteri terlalu bebas melayari internet sehingga menimbulkan kesan negatif seperti ini,” katanya.

Baca lagi >>

Tak jadi serah diri untuk ditelan anaconda

Tindakan seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) merakamkan aksinya 'ditelan hidup-hidup' seekor ular untuk aksi lagak ngeri televisyen kini ditertawakan selepas pasukan bantuan terpaksa menyelamatkan dia hanya selepas sebahagian kepalanya dibaham.

GAMBAR dari atas menunjukkan Rosolie bersama anaconda berkenaan sebelum dia ‘ditelan.’
Gambar kecil, pakaian khas yang digunakannya untuk ditelan ular berkenaan.
Dalam rakaman disiar Discovery Channel pada malam kelmarin, Paul Rosolie, 27, dan 10 pembantunya mengesan ular anaconda sepanjang enam meter di Sungai Amazon.

Berpakaian sut hitam dan dilumur dengan darah babi, Rosolie, 27, meredah kawasan itu sambil dirakam kamera dan disaksikan isterinya, Gowri.

Tidak lama kemudian, seekor anaconda betina menerpa Rosolie sebelum melilit lelaki setinggi 1.7 meter itu.

Namun, ketika Rosolie mula berasa tangannya 'mula akan patah' akibat belitan itu, dia mengarahkan rakan, doktor dan pakar veterinar menyelamatkannya.

Harian Metro

Baca lagi >>

Nurul Izzah, suami setuju hak penjagaan anak

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahir Iskandar Raja Salim mencapai persetujuan mengenai hak penjagaan bersama dua anak mereka.
 
Persetujuan secara prinsip itu direkodkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Muhammad Fateh Saleh di dalam kamarnya di sini hari ini.

Gambar - Internet
Nurul Izzah yang diwakili peguam Nor Mawaddah Ramli dan suaminya, diwakili peguam Azmi Mohd Rais, menghadiri prosiding itu.
   
Ketika ditemui pemberita, Azmi berkata bagaimanapun persetujuan itu masih belum dijadikan perintah secara rasmi berikutan Hakim Amran Mat Zain sedang bercuti.
   
Azmi berkata terma-terma lain seperti tempat tinggal dan hak lawatan ke atas dua anak mereka itu akan diputuskan semula apabila kes itu disebut pada 15 Januari depan.
   
Pada 29 Oktober lepas, pasangan itu masih cuba mencari penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu hak penjagaan anak (hadanah) yang difailkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
   
Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, memfailkan permohonan hadanah itu pada 30 April lepas mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
   
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.
   
Sementara itu, Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga menetapkan tarikh sama (15 Januari depan) untuk sebutan semula kes cerai pasangan itu berikutan Raja Ahmad Shahir Iskandar memohon untuk memfailkan semakan terhadap Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperolehi sebelum ini.
   
Azmi berkata, anak guamnya itu tidak mengemukakan cadangan nama 'Hakam' seperti diperintahkan sebelum ini kerana ingin memfailkan semakan laporan itu mengikut Seksyen 51 Akta Pentadbiran Undang-Undag Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
   
'Hakam' adalah jawatankuasa yang dilantik oleh mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan, maka 'Hakam' akan melafazkan talak bagi pihak suami.
Sinar Harian

Baca lagi >>

300 mangsa banjir di Klebang dipindahkan

Lebih 300 penduduk di lima kawasan terutama di Klebang, di sini terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat kira-kira 8 malam tadi.

Setakat 1 pagi tadi, seramai 285 mangsa daripada 40 keluarga di kawasan Kampung Seri Kelebang Tambahan Dua, Kampung Tersusun Klebang Selatan, Kelebang Bayu dan Taman Bertuah dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, manakala sebanyak sembilan keluarga di Kampung Tengku Husein, Manjoi turut dipindahkan ke dewan orang ramai.

KEADAAN banjir di Kampung Seri Kelebang Tambahan Dua. FOTO ihsan bomba
Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut melawat kawasan yang terjejas, jumlah sebenar mangsa yang terbabit dalam bencana itu masih belum diperoleh kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih merekodkan serta mengumpul maklumat mangsa.

"Bedasarkan tinjauan yang dibuat, punca banjir yang berlaku selain daripada hujan lebat luar biasa pada sebelah petang, air naik dengan mendadak hingga memasuki rumah penduduk dipercayai berpunca daripada ban di Sungai Seri Kelebang, di sini pecah.
KEADAAN banjir di Kampung Seri Kelebang Tambahan Dua. FOTO ihsan bomba
"Saya masih menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkara itu dan mengarahkan mereka mengambil langkah sewajarnya untuk menangani masalah berkenaan," katanya di sini awal pagi ini.

Menurutnya, kesemua agensi kerajaan terutama pasukan keselamatan mengambil langkah awal menyelamatkan penduduk yang terjejas dan memindahkan mereka ke pusat pemindahan.

"Bantuan awal juga diberikan kepada mangsa termasuk makanan, pakaian, tilam dan sebagainya di pusat pemindahan.

"JKM kini sedang merekodkan maklumat kesemua mangsa yang terbabit untuk tujuan penyaluran bantuan lanjut," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan Perak, Hasrin Hasbi yang ditemui berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 9.41 malam dan menghantar anggota dari Balai Bomba Ipoh, Meru Raya dan Pasir Puteh untuk menyelamat dan memindahkan mangsa.

"Air naik setinggi kira-kira satu meter hingga memasuki rumah mangsa dan pasukan bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap termasuk warga emas dan dua Orang Kurang Upaya (OKU).

"Pasukan bomba masih memantau keadaan dan air setakat ini sudah mula surut di beberapa kawasan," katanya.
BANTUAN awal termasuk tilam yang diagihkan kepada mangsa. FOTO ihsan bomba 
Harian Metro

Baca lagi >>