Wednesday, 3 December 2014

Tukar nama jalan bukan titah Majlis Raja-raja

Persidangan Majlis Raja-raja tidak pernah menetapkan atau meluluskan sebarang resolusi menitahkan Dewan Bandaraya Kuala Kuala Lumpur (DBKL) menamakan semula beberapa jalan di ibu negara dengan nama bekas Yang di-Pertuan Agong.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad turut mengesahkan bahawa perkara itu tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana sesi persidangan berkenaan.

"Apa yang sebenarnya berlaku ialah satu kertas cadangan telah dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja oleh Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dibentangkan dalam Mesyuarat ke-234 Majlis Raja-raja pada 27 Feb 2014.

"Tetapi kertas cadangan itu telah ditarik balik oleh kementerian berkenaan dan tidak dipersembahkan semula untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi membetulkan fakta pemberitaan kurang tepat seperti yang tersiar pada 25 Nov lepas.

Pada 28 Nov lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan DBKL untuk menukar nama lapan jalan utama di sekitar Kuala Lumpur bukan dibuat atas permintaan Majlis Raja-raja, sebaliknya ia adalah keputusan kementerian.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah negara ini bagi memastikan rakyat terus mengingati mereka.

DBKL, dalam satu kenyataan terdahulu, mengumumkan jalan utama yang terlibat ialah Jalan Duta, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ipoh, Persiaran Duta, Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah, Lebuhraya Mahameru, Persiaran Mahameru dan Jalan Semarak.

Jalan-jalan itu ditukar nama kepada Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Sultan Azlan Shah, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Lebuhraya Sultan Iskandar, Persiaran Tuanku Ja'afar dan Jalan Sultan Yahya Petra.

Menurut DBKL, nama-nama baharu itu mula berkuat kuasa 26 Nov.
Sumber: Bernama

Baca lagi >>

14 kenderaan kemalangan

Sebanyak 14 kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Seremban - Kuala Pilah, berhampiran Kampung Sawah Liat, di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu berlaku apabila sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit dari arah pekan Kuala Pilah ke Seremban, melanggar belakang sebuah kereta Perodua Myvi di laluan sama.

Kemalangan turut melibatkan sebuah lagi lori tangki yang juga membawa muatan minyak kelapa sawit, lapan kereta , dua lori satu tan dan masing-masing sebuah treler tanpa muatan dan bas ekspres.

Pemandu Perodua Myvi, Lee Ziong Keat, 25, berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah brek pada lori tangki itu.

Katanya, ketika kejadian, semua kenderaan bergerak perlahan dari arah Kuala Pilah ke Seremban kerana terdapat kerja membaiki jalan rosak.

“Saya berada di barisan paling belakang dan sempat melihat cermin sisi kanan, ada sebuah lori tangki muatan sawit dipandu laju.

“Belum sempat saya elak, belakang kereta saya dirempuh lori itu hingga kereta saya bergerak ke depan, lalu melanggar belakang sebuah Kia Rio menyebabkan kedua-dua kereta kemek,” katanya.

Menurut Ziong Keat, akibat hilang kawalan, lori tangki itu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori satu tan yang membawa muatan minyak hitam menyebabkan berlaku tumpahan minyak di bahu kanan jalan.

“Lori tangki itu terus bergerak dan merempuh sebuah treler kosong yang berhenti kerana ada kerja-kerja baiki jalan.

“Akibat rempuhan kuat, treler kosong itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar sebuah lori tangki muatan minyak sawit yang berada di hadapan menyebabkan tangki bahagian belakang pecah serta berlaku tumpahan minyak sawit,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, terdapat enam kereta pelbagai jenis dari arah Kuala Pilah ke Seremban berlanggar antara satu sama lain.

Dalam pada itu, limpahan minyak sawit itu turut menye-babkan air sungai Terachi tercemar lebih tiga kilometer dari lokasi kejadian, sementara kesan minyak dikesan merebak ke empangan air di Terachi.

Bagaimanapun, bekalan air untuk skim pengairan tidak terjejas.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jaafar Yusuf berkata, tujuh pegawai bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk menyembur air serta menabur habuk kayu bagi membersihkan kesan tumpahan minyak.

“Tiga mangsa yang menaiki Honda Civic dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah menggunakan ambulan. Keadaannya stabil," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian

Baca lagi >>

Rasa terkencing atau terkentut ketika solat?

"Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. 

Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing. 

Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. 

Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya. Apakah penyelesaiannya".


JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian;

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. 

Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. 

Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini. 

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; 
  • tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, 
  • terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, 
  • dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. 

Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: 
“Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. 

Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. 

Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” 
(Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. 

Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. 

Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. 

Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: 
“Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” 
(Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. 

Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. 

Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. 
Kata al-Imam Ahmad: 
“Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. 
(Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) 

Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis Al-Hakam bin Sufyan: 

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

“Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” 

(Riwayat Ahmad, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll. Sekurang-kurang hasan kerana syawahid). 

Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita untuk mengelakkan was-was.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. 

Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. 

Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti? 

Jawab Nabi s.a.w: 

لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

“Jangan berhenti sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. 

Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. 

Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. 

Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini

Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. 

Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita:

إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا

“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” 
(Riwayat al-Bukhari). 

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. 

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? 

Jika ia untuk Allah s.w.t, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. 

Ikutilah arahan Allah s.w.t dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah. 

Firman Allah: 

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَاآدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى (120) فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى

Maksudnya:

“Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? 

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan. 

(Surah Taha: 120-121)

Sumber: DrMAZA.com

Baca lagi >>

BR1M bukan lagi dalam bentuk wang tunai?

Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menukar  kaedah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bentuk baucar atau kad di masa depan bagi menggantikan pemberian dalam bentuk wang tunai.
 
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata kerajaan hanya akan melaksanakan kaedah baharu itu setelah mengambil kira keutamaan keperluan rakyat serta kemudahan infrastruktur setempat dalam menggunakan kaedah itu.
 

"Kerajaan akan mempertimbangkan kaedah pemberian BR1M dalam bentuk baucar atau kad pada masa hadapan, yang hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian yang telah dikenal pasti," katanya menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
   
Tee Yong berkata, kerajaan akan membuat kajian terperinci dan membuat penambahbaikan ke atas program bantuan tahunan yang bermula pada 2012 itu, agar objektif kerajaan ke arah peralihan subsidi bersasar tercapai.
   
"Bantuan ini diberikan secara menyeluruh kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik," katanya.

Sementara itu, Tee Yong berkata, sebanyak 216,374 rakyat tempatan telah diambil bekerja dalam 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, yang tersenarai dalam Program Transformasi GLC (G20), sehingga 31 Disember tahun lepas.
   
Menjawab soalan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan, Tee Yong berkata, jumlah itu adalah 85 peratus daripada keseluruhan 254,042 orang yang diambil bekerja untuk syarikat berkenaan.
   
"GLC utama yang terlibat dalam G20 juga secara berterusan menyediakan peluang latihan dan pembangunan diri kepada para pekerjanya.

"Pada 2013, G20 telah membelanjakan RM513 juta bagi tujuan melatih dan membangunkan kapasiti serta kompetensi para pekerja," katanya.
   
GLC sentiasa mengutamakan rakyat tempatan dalam pengambilan pekerja mereka, malah antara sumbangan terbesar syarikat itu kepada negara adalah penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, kata Tee Yong.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>