Tuesday, 2 December 2014

Kenapa bomba syor pengguna ada alat pemadam api?

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesyorkan agar setiap pengguna jalan raya memiliki alat pemadam api sebagai langkah pencegahan awal dalam kebakaran kenderaan.


Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata, alat berkenaan boleh mencegah kebakaran daripada merebak dengan cepat, selain dapat menyelamatkan mangsa dan harta benda.


"Mangsa atau pengguna jalan raya lain juga dapat membantu memadam dan mengawal kebakaran yang berlaku sebelum bomba tiba di tempat kejadian," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Khiruddin berkata, walaupun jumlah kematian akibat kebakaran dilihat tidak terlalu serius namun kejadian sedemikian perlu ditangani bersama semua pengguna jalan raya.

"Walaupun pihak bomba belum mewajibkan penggunaan alat itu dalam kenderaan persendirian, tetapi masyarakat perlu tahu bahawa alat berkenaan memainkan peranan penting untuk menyelamatkan nyawa," katanya.

Beliau berkata alat itu dijual sekitar RM75 hingga RM100 satu silinder bergantung kepada saiz dan berat.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Rezeki pengayuh beca, 5 jam berkerja, hanya dapat RM2

KUALA TERENGGANU - Walaupun cuaca hujan, Hashim Umar, 62 tidak pernah terfikir untuk berhenti mengayuh beca kerana ia adalah sumber pendapatannya sejak 44 tahun lalu bagi mencari sesuap nasi untuk menampung keluarganya.


Menurutnya, sepanjang musim hujan dan banjir sejak hampir seminggu lalu, pendapatannya agak terjejas malah pernah hanya dapat RM4 sehari oleh seorang pelanggan yang meminta untuk dihantar ke pusat bandar.

“Hari ini (semalam) dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, saya hanya dapat seorang pelanggan dan hanya RM2 sahaja, sedangkan orang rumah (isteri) kirim macam-macam untuk dibeli di pasar seperti beras, ikan dan sebagainya.
“Macam mana nak buat tu saya tak tahulah sebab punca pendapatan bergantung sepenuhnya kepada hasil kayuhan beca,” luahnya kepada Sinar Harian.

Hashim yang kini menyewa rumah di Kampung Laut berkata, harga barangan yang kian mahal terutama musim banjir ini juga memberi tekanan kepada individu yang berpendapatan rendah sepertinya.

“Musim sekarang, harga ikan, ayam, sayur pun mahal. Jadi bagaimana nak bagi makan anak-anak. Tambah pula ada empat cucu yang tinggal bersama saya sekarang,” katanya.

Menurut Hashim, dia mempunyai lapan orang anak dan masih menanggung dua anak serta empat cucu.

“Dengan jumlah keluarga yang besar ini kalau pendapatan tidak tentu memang kena ikat perut. Makan pun tidak boleh yang sedap-sedap.

“Nak bertani atau berternak saya tiada rumah atau tanah sendiri. Rumah sedia ada pun yang menyewa,” katanya.

Hasim berkata, walaupun turun dari rumah seawal jam 6 pagi untuk mencari rezeki, dia masih sukar mendapatkan pelanggan kerana kebanyakannya kini memilih pengangkutan lain yang masih selamat musim ini.

“Kita turun awal dari rumah sebab bimbang jalan sesak apabila ramai orang mahu ke tempat kerja. Tapi nak buat macam mana, cuaca hujan. Rezeki pun kurang, saya terpaksa ikat perut. Sekarang pun masih belum jamah apa-apa.

“RM2 nak minum kopi pun tak lepas. Inikan pula mahu beli barang keperluan asas untuk dibawa pulang ke rumah. Isteri saya faham, kalau tiada bawa balik barang tu tandanya saya tidak ramai pelanggan,” katanya.

Menurutnya, mengayuh beca pada musim hujan dan berangin ini memerlukan tenaga lebih.

“Bukan tidak letih kayuh beca, letih. Sama juga dengan kawan-kawan saya yang lain yang turut sama kayuh beca. Habis sakit belakang sebab angin tolak. Kayuh beca perlu tenaga, bukan ada enjin.

“Tapi nak buat macam mana, kalau ada bantuan untuk pengayuh beca pada musim tengkujuh ini memang kami sebagai pengayuh beca amat bersyukur sebab masing-masing alami nasib serupa,” katanya.
Sumber: Sinar Harian

Baca lagi >>

Isteri kerja, suami lepak

PERTEMUAN saya dan seorang kenalan lama berlaku secara tidak sengaja. Jujur saya katakan, impresi pertama saya adalah tidak percaya saat terpandangkan wajahnya yang hampir tidak dicam kerana kusut dan lesu.

Dia yang saya kenal seorang yang sangat cantik dan berpenampilan menarik ketika kami di kolej dahulu.

Tapi hari ini, dia saya lihat begitu lesu, tidak ceria dan sedikit gempal berbanding dahulu. Apa berlaku? Saya tertanya-tanya.


Hampir sembilan tahun kami terpisah, pertemuan itu terlalu nostalgik untuk saya huraikan. Kami berpelukan lama. Air mata mengalir tiba-tiba. Entah kenapa, saya dan Emma merasakan rindu nan syahdu.

Emma (bukan nama sebenar) menarik tangan saya ke tepi koridor pejabat pos. Niat saya untuk membayar bil serta-merta tertangguh lantaran terlalu banyak yang ingin kami perkatakan. Saya dan Emma, masing-masing punya cerita.

Seorang kanak-kanak lelaki enam tahun dan bayi berusia kira-kira lapan bulan diam dalam trolly di sisi Emma. Tanpa kata, saya memahami senyuman Emma yang memaksudkan bahawa itu bayi dan anaknya.

Saya tersenyum, mencuit pipi montel bayi lelaki Emma. Sesungguhnya, Emma antara teman rapat saya di kolej dahulu.

“Kenapa muka nampak kusam ni? Macam...-

“Orang ada banyak masalah?” Emma meningkah, seperti dapat menduga yang saya hairankan keadaannya. Saya tersenyum kelat, lalu memutar soalan lain.

Bimbang sahabat yang dirindui ini terluka pula.

“Kau kahwin dengan Boy ke? Senyap tanpa berita. Aku cari nama kau dalam Facebook pun tak ada?.” Soal saya. Emma senyum lagi, sedangkan tadi air matanya mengalir sewaktu kami berpelukan. Nah, saya mula kognisi. Orang kuat senyum mahupun ketawa, pasti sedang menyembunyikan masalah.

Suami culas

Dari sekadar berdiri di hadapan pejabat pos, kami beralih ke dalam kedai makan yang terletak berhampiran. Usai membetulkan duduk anak-anak dan posisinya sendiri, Emma membuka bicara.

“Boy tak kerja. Dah dua tahun aku sara dia. Kau mesti nak kata aku bodoh kan? Memang aku bodoh tapi... Kau boleh tolong aku?” Saya terdiam. Soalan ini memang lebih susah dari soalan final exam.

“Aku tertekan sangat. Banyak perkara aku kena fikir setiap bulan. Aku kena kerja, kemas rumah, jaga anak, hantar anak ke pengasuh, hantar sekolah tadika. Dah lah aku yang bayar semua bil.

Gaji RM4,000 habis! Boy makin melampau. Dulu aku faham sebab dia susah nak dapat kerja, sekarang macam dah naik lemak. Kerja rumah satu pun tak bantu. Apa aku kena buat? Tolonglah...”

Terlalu banyak yang Emma hamburkan, dan kesemuanya berpusat kepada satu permasalahan, iaitu kerja. Suaminya tidak bekerja dan culas. Tidak menjalankan tanggungjawab dan tidak pula membantu meringankan beban Emma dalam melakukan tugas-tugas di rumah.

Saya yakin, situasi ini juga dilalui kebanyakan wanita lain di luar sana. Ada wanita yang bekerjaya, membina empayar perniagaan yang gah tetapi suaminya tidak berbuat apa-apa.

Jika situasi seperti ini, isteri mungkin terdera dari sudut emosi sebaliknya kewangan bukan beban. Tetapi bagaimana dengan isteri yang berpendapatan rendah. Ada yang sekadar meniaga kecil-kecilan, tetapi suami sibuk melepak di kedai makan main dam haji!

Fitrah wanita, selalunya bersabar dan bersabar sehingga hati sendiri terluka. Dalam keadaan apa jua pun wanita ingin melakukan dan memberikan yang terbaik buat pasangannya.

Malangnya, madu dibalas cuka. Natijahnya, jadi seperti Emma yang sudah mula tidak memikirkan penampilan diri.

Di sini, permasalahan lain pula bermula. Apabila nampak isteri sudah tidak cantik, suami mungkin terdorong mencari kekasih gelap. Isteri juga dipersalahkan kerana tidak menjaga body. Sedangkan tanggungjawab menjaga keluarga telah diambil alih oleh isteri. Itu tidak mahu diambil kira pula?

Kasihanilah si isteri. Benaknya penuh dengan masalah. Ya, otak isteri ibarat pejabat pengurusan yang paling bijak dan bersistematik. Akan tetapi, jika segala-galanya tertanggung di benaknya sendirian, fikirannya pasti lemah dan tepu. Kesan dari itu akan menular ke arah fizikalnya yang turut terdorong penat dan lemah.

Gangguan emosi dan kelemahan spiritual bergabung menjadi buntu. Bersama-samalah kita bermuhasabah diri dengan perkongsian WOW minggu ini. Isteri kerja, suami lepak.

Sumber: Sinar Harian

Baca lagi >>