Sunday, 10 August 2014

Mangsa culik ditemui mati

GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik sekumpulan warga asing semalam ditemui dalam kawasan belukar atas Bukit Gambir di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemui dalam keadaan berbogel selepas polis menerima maklumat kira-kira jam 1.30 petang.

Anggota bomba menurunkan mayat mangsa yang ditemui atas Bukit Gambir.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridaltrash Wahid berkata, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati mayat lelaki berkenaan adalah individu yang dilaporkan hilang selepas diculik sekumpulan warga asing yang dipercayai warga Myanmar.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang warga asing yang mendakwanya dan seorang lagi rakan diculik dan dibawa ke atas bukit berkenaan.

Menurutnya, mangsa memaklumkan kumpulan penculik berkenaan meminta wang tebusan RM200,000 daripada rakan-rakannya.

"Sebaik menerima laporan kira-kira jam 2 petang, kami menjalankan operasi mencari mangsa sehingga jam 7.30 malam tetapi gagal menemui sebarang kesan sebelum menerima maklumat mengenai penemuan mayat.

"Salah seorang daripada mangsa yang diculik berusia 33 tahun bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan tampil membuat laporan polis," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kesan jerutan pada leher mangsa dan dipercayai mati dalam tempoh kurang 24 jam.

Mior Farid berkata, mayat mangsa dibawa turun dengan bantuan anggota bomba dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kita juga akan memanggil kira-kira 20 rakan mangsa untuk diambil keterangan dan membantu siasatan," katanya.
Sumber : SH

Baca lagi >>

Pesawat Iran terhempas 40 maut

Sebuah pesawat milik Iran terhempas tidak lama selepas berlepas daripada lapangan terbang Iran dan mengorbankan kesemua 40 penumpangnya, lapor agensi berita Irna, yang memetik Persatuan Bulan Sabit Iran.

Gambar hiasan
Nahas itu dilapor berlaku ekoran masalah enjin.

Pesawat itu milik Taban Airlines dan pasukan penyiasat dalam perjalanan ke tapak nahas.
Ia berlepas daripada Lapangan Terbang Mehrabad di Iran untuk menuju ke Tabas, di timur negara itu pada 9.45 pagi (0515 GMT).

Seramai tujuh orang yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak.

Sumber : MK

Baca lagi >>