Sunday, 25 May 2014

Misteri kain, tudung terapung

BAGAN SERAI - Misteri penemuan kain dan tudung terapung dalam sebuah parit di Kampung Parit Jawa,di sini, kelmarin, membawa penemuan mayat seorang wanita bersama sebuah motosikal dinaikinya kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.00 petang, mayat Siti Ashah Razali, 45, ditemui seorang penduduk setelah curiga melihat sebuah motosikal terbalik di atas jalan utama, manakala kain dan tudung dilihat berada dalam keadaan terapung di dalam parit berhampiran.

Ibu mangsa (dua, kanan) meratapi kematian anaknya
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, berdasarkan keterangan saksi, penemuan kain dan tudung terapung menimbulkan rasa sangsi seorang saksi kejadian sehingga menyebabkan individu itu nekad terjun ke dalam parit untuk membuat pemeriksaan.

“Mangsa segera dinaikkan ke atas jalan ban atas bantuan orang ramai yang turut hadir ke lokasi kejadian dan ambulans segera dihubungi bagi menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada media.

Sementara itu, ibu mangsa, Maimunah Dahari ketika ditemui berkata, mangsa keluar dari rumah sekitar jam 3.20 petang untuk menjemput seorang anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu, di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan sedang makan bersama ahli keluarga lain, bergegas keluar dari rumah tanpa menghabiskan nasinya untuk mengambil anak di sekolah.

“Arwah keluar secara tergesa-gesa untuk menjemput seorang anak yang bersekolah.

“Kami sekeluarga terkejut melihat dia tergesa-gesa meninggalkan meja makan tanpa sempat menghabiskan nasinya,” katanya.

Maimunah berkata, dia sedih kerana arwah anaknya pergi meninggalkan mereka sekeluarga sekelip mata.

Menurutnya, kehadiran beberapa penduduk kampung memaklumkan tragedi menimpa mangsa menyebabkan dia sekeluarga berasa pilu.

“Berat kaki saya untuk melangkah keluar dari rumah setelah dimaklumkan dia ditemui dalam parit telah meninggal dunia akibat lemas.

“Saya tidak menyangka tingkah lakunya memberi tanda yang dia akan pergi selamanya,” katanya.
Sumber : SH

Baca lagi >>

Si tua tidak sedar diri

Dua lelaki, termasuk seorang warga emas, ditahan di sebuah rumah pekerja di tapak binaan di Permyjaya, di sini, semalam, selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Khamis lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 30-an dan 78 tahun itu ditahan pada jam 4.30 petang oleh bapa mangsa bersama beberapa rakan sekerjanya selepas kanak-kanak itu memaklumkan kejadian kepada ibunya pada pagi hari sama.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki sempat melarikan diri sebaik menyedari dua rakannya ditahan dan usaha menjejakinya dilakukan bagi membantu siasatan kes.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak berkenaan bermain di luar rumah pekerja berkenaan sebelum seorang daripada lelaki itu memanggil dan meminta mangsa masuk ke dalam rumah.

Katanya, ketika berada di dalam rumah itu, mangsa dipercayai dicabul.

Semua lelaki terbabit rakan sekerja bapa mangsa di tapak pembinaan berkenaan.

“Mangsa hanya menceritakan perbuatan semua lelaki itu kepada ibunya kelmarin.

“Terkejut dengan pendedahan itu, ibu mangsa berusia 40-an kemudian membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Bapa mangsa yang mengetahui kejadian menimpa anaknya menahan kedua-dua lelaki itu yang juga rakan sekerjanya sebelum menyerahkan mereka kepada polis.

“Bagaimanapun, pemeriksaan doktor mendapati tiada kesan koyakan pada kemaluan mangsa, sebaliknya tidak menolak kemungkinan mangsa dicabul tiga lelaki berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua lelaki itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sumber : mM

Baca lagi >>