Tuesday, 13 May 2014

Jalan Duta jadi sungai

Kuala Lumpur: Hujan lebat lebih satu jam di ibu negara bermula jam 2.30 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah serta jalan raya utama dinaiki air sedalam antara 0.5 meter hingga satu meter.

Antara jalan yang terbabit ialah Jalan Duta, Jalan Chan Sow Lin, Lebuhraya Mahameru dan pusat beli-belah Leisure Mall, Cheras.

BANJIR kilat di Jalan Duta mengakibatkan ratusan kenderaan terkandas.
Skuad Bantuan Awal Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, hujan lebat berkenaan juga menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan iaitu di Jalan Pudu, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan dan Bandar Tasik Permaisuri.
SEBUAH kereta cuba meredah banjir ketika melalui Jalan Maarof, Bangsar.
“Akibat hujan lebat, beberapa jalan dinaiki air serta dilanda banjir kilat yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas luar biasa di beberapa jalan utama di ibu negara,” katanya.
SEBUAH kereta dihempap pokok tumbang, semalam.
Sementara itu, banjir kilat yang melanda ibu negara turut menyebabkan enam kereta terkandas di Jalan Maarof, Bangsar selepas paras air meningkat mendadak di kawasan itu.

Jalan jadi sungai sepanjang 100 meter

Pegawai Penyelaras Trafik 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ketua Inspektor, Afzal Nizan Abd Latif,  berkata, antara lokasi paling terjejas adalah Jalan Duta di kedua-dua hala apabila dinaiki air sepanjang 100 meter.

Menurutnya, turut dinaiki air adalah di terowong Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Maarof.

“Terdapat juga kejadian pokok tumbang di Jalan Raja Chulan, Jalan Ikan Mas dan Jalan Tun Razak (ranting) yang turut mengakibatkan lima kereta dihempap.

“Hampir 40 anggota diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, termasuk kren tunda. Ia tidak termasuk anggota-anggota yang berada di lokasi terjejas bagi mengawal keadaan,” katanya

Di Perumahan Awam (PA) Sri Johor, Cheras, sebanyak 15 kereta terjejas apabila dihempap kepingan zink yang juga bumbung tempat letak motosikal di situ.

Hujan lebat dan ribut mengakibatkan bumbung berkenaan tercabut dan ‘terbang’, namun tiada kemalangan jiwa.

Di Lorong Periuk, Kampung Baru, sekurang-kurangnya 10 rumah terjejas kerana dilanda banjir kilat.

Keadaan tanah yang rendah membuatkan kawasan itu antara yang paling cepat dinaiki air.

Sementara itu, enam kenderaan dilaporkan terperangkap dalam banjir berhampiran Kuil Arulmigu Sri Ramalingeswarar, Jalan Maarof Bangsar, di sini.

Kejadian selama dua jam bermula  jam 2.30 petang itu mengakibatkan seorang pemilik kereta terpaksa meninggalkan keretanya di bahu jalan selepas kuil berkenaan ditenggelami air kira-kira 0.5 meter.

V Jayamalar, 50, berkata,  dia tidak menyangka kejadian itu akan menenggelamkan keretanya.

“Saya ke kuil untuk bersembahyang, kereta saya sudah ditenggelami air dan nasib baik tiada apa yang berlaku.

“Kereta saya terkandas selama dua jam sebelum ia dapat dialihkan selepas paras air di Jalan Maarof kembali surut,” katanya.

Difahamkan, banjir di kawasan Jalan Maarof berkemungkinan berlaku akibat limpahan air dari Sungai Klang.

Kejadian hujan lebat itu turut menyebabkan banjir di empat lokasi lain iaitu di sekitar Lebuh Raya Mahameru dan Leisure Mall Taman Segar.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata berkata, beliau menasihatkan pengguna supaya mengelak dari melalui jalan di kawasan tanah rendah serta mendapatkan maklumat mengenai cuaca melalui radio, televisyen mahupun sumber lain.

Beliau turut menegaskan kepada ibu bapa agar memantau anak-anak mereka dari menghampiri  kawasan-kawasan longkang atau sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Baca lagi >>

Faktor peribadi punca mereka keluar parti

Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, tindakan dua lagi pemimpin yang mengumumkan keluar parti disebabkan faktor peribadi dan kesetiaan terhadap bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Mohd Jidin Shafee
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diperbetulkan kembali dalam tempoh sehari dua bagi memastikan Umno Terengganu kembali bersatu.
Menurutnya, keputusan yang berlaku dalam tempoh singkat itu tidak memberi kesan kepada pentadbiran negeri yang kini masih sah diterajui BN.

Mohd Jidin turut menafikan khabar angin bahawa beliau akan keluar parti.

"Tidak. Perkara itu tidak akan berlaku. Kita di Setiu masih kemas dan sentiasa bergerak dan bekerja untuk rakyat," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Adun Permaisuri turut menafikan desas desus mengatakan tiga individu yang telah mengumumkan keluar parti iaitu Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said; Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud akan menyertai pembangkang.

"Itu semua berkait dengan perasaan sahaja. Insya-ALLAH, kita akan berbincang secara elok dengan mereka.

"Pejuang Umno yang kental tidak akan umum sertai pembangkang dan keadaan ini masih boleh diselamatkan," katanya.

Pas Terengganu sedia hadapi pilihan raya negeri

KEMAMAN - Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kemaman, Ramlan Mahmood meminta semua jentera Pemudanya bersiap siaga dengan segala kekuatan  untuk menghadapi kemungkinan berlaku pilihan raya negeri susulan krisis di Terengganu ketika ini.

"Dengan krisis MB (Menteri Besar) Terengganu dan perletakan jawatan oleh beberapa orang pimpinan Umno-BN sebagai Adun, saya menyeru semua jentera Pemuda Pas Kemaman bersiap siaga dengan segala kekuatan menghadapi segala apa jua kemungkinan yang berlaku.

"Mungkin pilihan raya negeri atau sebaliknya. "Tiba masanya untuk mencorak perubahan. Teruskan perjuangan," katanya.
Sumber : Sinar Harian 1, 2

Baca lagi >>

BN masih kekal memerintah Terengganu

KUALA TERENGGANU - Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya dari Umno mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas, kata penasihat undang-undang negeri, Datuk AzharAbdul Hamid.

Beliau berkata walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.

Tiga wakil rakyat yang mengisytiharkan keluar daripada Umno ialah bekas Menteri Besar dan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, yang meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif semalam, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).
Azhar ketika dihubungi Bernama, berkata speaker Dun turut dikira bersama 14 Adun BN yang masih tinggal dan dengan itu kerajaan BN masih kekal memerintah negeri ini.

Selepas Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar semalam, Adun Seberang Takir yang juga Exco Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau Negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu malam tadi.

Azhar berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa undang-undang negeri untuk dirujuk berhubung perkembangan politik di Terengganu ketika ini.

Sementara itu, Badan Perhubungan Pas Terengganu mengadakan mesyuarat khas di sini dan Pesuruhjaya Pas Negeri, Satiful Bahri Mamat dalam satu kenyataan berkata

"tindakan yang perlu sedang diambil" dan "kami akan memutuskan perkara yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini" .

Pas mempunyai 14 wakil di dewan undangan negeri dan PKR, satu.

Speaker mahu semua pihak bertenang

KUALA TERENGGANU - Speaker Dun Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong enggan mengulas mengenai jumlah sebenar Adun BN di negeri itu yang telah menghantar surat isytihar sebagai Adun Bebas.

Beliau bagaimanapun meminta semua pihak bertenang dengan situasi politik sekarang.
Sumber : Bernama, Sinar Harian

Baca lagi >>

Kerajaan Terengganu bakal bertukar tangan?

Persoalan sama ada BN mampu mengekalkan kuasa di Terengganu menimbulkan persoalan apabila memiliki 14 kerusi Dun berbanding 17 sebelum ini selepas tiga Adunnya mengumumkan keluar dari parti awal hari ini.

Pengumuman itu sekaligus, menjadikan kedudukan PR mendahului di negeri itu dengan 15 kerusi Dun.

Konflik timbul berikutan tindakan bekas Menteri Besarnya, juga Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said keluar dari Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Kemudian Adun Bukit Besi, Roslee Daud mengesahkan beliau turut keluar dari Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mengenai keputusan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas, Ahmad dilaporkan berkata, beliau telah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menangguhkan pertukarannya selepas majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.

"Saya sudah lama bekerja dengan Umno. Saya sudah beritahu PM bahawa anak saya kenduri saya kahwin pada 17 Mei dan tukar selesai selesai kenduri.

"PM kata itu soal peribadi. Jadi saya beritahu, kalau saya keluar (parti), jangan salahkan saya," katanya seperti dilaporkan sebuah portal web.

Sementara itu, menurut sumber, ekoran konflik yang melanda negeri Darul Iman ini, Pas Terengganu turut dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat khas pagi ini.
Lagi keluar Umno, kerajaan minoriti di Terengganu

Seorang lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno keluar parti di Terengganu hari ini, dipercayai ekoran tidak puas hati dengan pertukaran menteri besar negeri semalam.
Hari ini,  ADUN Bukit Besi Roslee Daud pula dilapor mengekori jejak langkah bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said dan  ADUN Ajil Ghazali Taib.

Seperti dua pendahulunya, Roslee juga memilih menjadi calon bebas.

Langkah terbaru itu menyebabkan BN kini hilang penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selepas bertahan hanya dengan kelebihan dua kerusi selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu.

BN sebelum ini mempunyai 17 wakil dalam DUN berbanding Pakatan Rakyat dengan 15 anggota. 

Selepas hilang tiga kerusi, BN kini hanya mempunyai 14 kerusi dalam DUN.

Jika tiga bekas ADUN Umno itu memilih menyokong Pakatan, kerajaan negeri akan jatuh ke tangan Pakatan, situasi yang hampir sama dengan krisis yang berlaku di Perak sebelum ini apabila BN merampas negeri itu.

Ahmad semalam berkata, lebih ramai lagi ADUN negeri itu akan mengikuti langkahnya, walaupun tidak menyatakan bilangan tepat.

Baca lagi >>

Bekas MB Terengganu Ahmad Said keluar Umno

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ketika dihubungi Malaysiakini awal pagi ini mengesahkan beliau bersama ADUN Ajil Ghazali Taib mengisytihar keluar Umno dan menjadi ADUN Bebas.

Ahmad yang juga ADUN Kijal berkata beliau telah memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menangguhkan pertukarannya selepas majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.
"Saya sudah lama bekerja dengan Umno. Saya sudah beritahu PM bahawa anak saya kenduri saya kahwin pada 17 Mei dan tukar nanti selesai kenduri.

"PM kata itu soal peribadi. Jadi saya beritahu, kalau saya keluar (parti), jangan salahkan saya," katanya bagi menjawab soalan mengapa beliau bertindak keluar daripada Umno dan menjadi ADUN Bebas.

Ditanya mengapa mengheret soal perkahwinan anaknya sehingga berbuat demikian, Ahmad berkata:

"Saya ada prinsip. Anak saya nak kenduri, kalau boleh bagi kenduri selesai. Tapi jadi begini. Saya tidak ada masalah, saya boleh terima (pertukaran MB)," katanya.

Menurutnya lagi, Ahmad berkata beberapa ADUN lagi dijangka akan mengambil langkah yang sama sepertinya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut jumlah dan siapa yang terlibat untuk berbuat demikian.

"Insya-Allah ada lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>