Monday, 12 May 2014

MB Terengganu sah bertukar

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperkenan pelantikan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebagai menteri besar Terengganu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

Ia berkuatkuasa mulai tarikh mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

The Star sebelum ini melaporkan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dijangka mengangkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu malam ini.

Ahmad, menteri besar dua penggal, dipercayai menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Terengganu pada hari ini.

Perkembangan terkini itu sekali gus menyebabkan berakhirnya spekulasi berterusan yang melanda negeri itu.

Sebelum ini dikatakan terdapat perjanjian antara Ahmad dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau hanya akan memegang jawatan itu selama setahun selepas pilihan raya umum ke-13.
Sementara itu, Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu laporan Bernama mengesahkan pertukaran menteri besar tersebut.

Ahmad Razif angkat sumpah, sah MB Terengganu

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Razif, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada 9.18 malam.  
    
Razif, lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.
    
Beliau juga menjadi Ketua Penerangan Umno Terengganu pada penggal lepas.
    
Ketika ditemui pemberita, Razif berkata beliau bersyukur kerana majlis peralihan kuasa kerajaan negeri berjalan dengan lancar.

Beliau turut memberi jaminan akan meneruskan perancangan yang dibuat Ahmad.
    
"Segala perancangan program untuk kebaikan rakyat, kita akan  teruskan. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang banyak mengajar saya.
    
"Banyak pengalaman bersama beliau yang boleh saya guna untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya," katanya.
    
Razif yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pernah menjadi  Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Kuala Nerus dari 2008 hingga 2013.
    
Beliau menjadi Adun Seberang Takir selepas  memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.

Razif, yang mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Halina Zakaria, dikurniakan empat cahaya mata.
    
Sementara itum, Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.
     
Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul  Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970),

Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman  dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said daei Umno (2008-2014). 
Sumber : Malaysiakini, Bernama

Baca lagi >>

Cuaca lebih kering bermula pertengahan Mei

Malaysia dijangka mengalami Monsun Barat Daya bermula pertengahan Mei 2014 dan akan berterusan sehingga awal September tahun ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, secara amnya, Monsun Barat Daya merupakan musim kering bagi Malaysia dan dalam tempoh ini negara akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan.

"Bagaimanapun, hujan masih boleh dijangkakan berlaku pada waktu pagi terutama di kawasan pantai negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh Monsun Barat Daya kali ini, jangkaan hujan adalah kurang daripada paras normal pada bulan Jun untuk semua negeri dan kembali kepada paras normal mulai Julai hingga September kecuali Sarawak.

Sarawak dijangka akan lebih kering daripada normal bagi Jun, Julai dan September manakala Ogos pada paras normal, jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Meteorologi akan memantau rapi situasi ini dan akan mengemas kini maklumat ini dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian hotline 1-300-22-1MET, laman sesawang dan laman sosial MetMalaysia, kata kenyataan itu.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Juara EPL Manchester City

LONDON: Manchester City menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kedua dalam tiga tahun selepas menewaskan West Ham United 2-0 di Stadium Etihad, malam tadi.

City yang hanya perlu seri menamatkan saingan dengan kelebihan dua mata berbanding Liverpool yang turut menutup kempen 2013/14 dengan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United yang bermain dengan sembilan orang.

PEMAIN Manchester City meraikan kemenangan liga. FOTO EPA
Samir Nasri meletakkan City di depan hasil jaringan pada minit ke-39 sebelum kapten pasukan, Vincent Kompany melengkapkan malam gemilang Citizens menerusi tolakan mudah ke gawang West Ham pada minit ke-48.
Kemenangan ini menyaksikan City menjaringkan sebanyak 102 gol musim ini dan hanya kekurangan satu gol untuk menyamakan rekod Chelsea pada musim 2009/10.

Warga Chille Manuel Pellegrini juga adalah pengurus pertama dari luar Eropah yang berjaya membimbing pasukannya ke takhta EPL.

Di Anfield, suasana diam seketika apabila Martin Skrtel menjaringkan gol sendiri pada babak pertama tetapi Daniel Agger dan Daniel Sturridge memastikan anak buah Brendan Rodgers itu muncul naib juara Liga Perdana Inggeris.

Dua lagi pasukan teratas, Chelsea dan Arsenal turut menang ke atas lawan masing-masing sekali gus menyaksikan tidak ada sebarang perubahan di kelompok ter atas liga.

Dengan keputusan itu, City, Liverpool dan Chelsea layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim depan manakala Arsenal pula terpaksa mengharungi pusingan kelayakan.

Sementara itu, tiga pasukan terbawah, Norwich, Fulham dan Cardiff bakal tersingkir ke Liga Kejua raan musim depan. - Agensi

KEPUTUSAN PENUH:

Man City 2-0 West Ham
Liverpool 2-1 Newcastle
Cardiff 1-2 Chelsea
Fullham 2-2 Crystal Palace
Hull 0-2 Everton
Norwich 0-2 Arsenal
Southampton 1-1 Man United
Sunderland 1-3 Swansea
Spurs 3-0 Aston Villa
West Brom 1-2 Stoke
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>