Friday, 9 May 2014

Blogger kena penjara 10 tahun dan 1000 sebatan

Sebuah mahkamah di Arab Saudi, kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 1,000 sebatan ke atas seorang penulis blog yang didakwa murtad selepas didapati bersalah kerana mewujudkan rangkaian liberal secara dalam talian serta menghina Islam.

 Raef Badawi
Sebelum ini, Raef Badawi yang diberkas pada Jun 2012 dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 600 sebatan, namun mahkamah rayuan mengarahkan tertuduh dibicarakan semula.
Hakim turut mengarahkan Raef membayar denda AS$266,000 (RM862,000).

Difahamkan, rangkaian kontroversi diasaskan bersama aktivis, Suad al-Shammari mengisytiharkan 7 Mei 2012 sebagai Hari Liberal dan menggesa menghentikan penguasaan agama dalam kehidupan masyarakat di negara.

Laman blog tersebut juga didakwa melemparkan kritikan pedas terhadap beberapa ulama, Suruhanjaya Amar Ma’ruf Nahi Munkar dan fatwa yang kononnya didakwa berbahaya kepada Islam, laporan dipetik dari Al-Jazeera.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Lelaki Afrika Timur buruan INTERPOL ditahan

Seorang lelaki warga Afrika Timur berusia 34 tahun yang amat dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL) kerana terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas Al- Shabab ditahan dalam satu operasi khas di Selangor, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, lelaki terbabit ditahan selepas anggota Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman melancarkan operasi khas bagi memburu suspek yang bersembunyi di Selangor.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan susulan ke atas aktiviti suspek di Malaysia bagi mengenal pasti rangkaian kumpulan Al-Shabab yang berkemungkinan bersembunyi dalam negara atau menjalankan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIa kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Keselamatan (Langkah - langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 11 individu berusia antara 22 dan 55 tahun termasuk dua wanita ditahan sejak 28 Mac lalu selepas dipercayai terbabit kegiatan militan di negara ini. Enam daripada suspek ditahan di Selangor tiga di Kedah manakala dua di Kuala Lumpur.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Sanggup korban nyawa demi rakan

Pasir Puteh: Keseronokan 109 pelajar tahfiz Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Dewan Beta, Kota Bharu, mandi-manda di Pantai Tok Bali, di sini, semalam, berakhir tragedi apabila seorang rakan mereka maut selepas menyelamatkan seorang rakan yang lemas.

Sekadar gambar hiasan
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Wan Muhamad Al Amin Ali, 18, meninggal dunia beberapa minit selepas menyelamatkan rakannya yang lemas, dipercayai kerana kepenatan menarik mangsa ke pantai.

Difahamkan selepas menarik rakannya yang berusia 22 tahun itu, Wan Muhamad Al Amin gagal mengapungkan diri dan terus tenggelam sebelum disedari rakan lain yang menantinya.

Dia dibawa naik ke darat dan diberi bantuan pernafasan, namun gagal diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mangsa berasal dari Kampung Raja, Besut, Terengganu, adalah pengawas dan ketua pelajar madrasah berkenaan, menginap di chalet di Tok Bali selama dua hari bagi mengikuti program sahsiah pelajar.

“Kira-kira jam 9.30 pagi kumpulan pelajar yang berusia 13 hingga 25 tahun itu berpakat untuk mandi di pantai sebelum pulang ke Kota Bharu dan mereka dipantau Timbalan Mudir berusia 44 tahun bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Namun beberapa minit kemudian, seorang pelajar berusia 22 tahun yang berada jauh dari lokasi mangsa dan rakannya mandi, menjerit meminta tolong dan dia terjun memberi bantuan,” katanya.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>