Saturday, 3 May 2014

MAS hubungi keluarga berkenaan pampasan awal

Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan wakil mereka daripada Pusat Sokongan Keluarga menghubungi anggota keluarga penumpang yang menaiki MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas untuk memulakan proses pembayaran pampasan pendahuluan.

MAS dalam kenyataan di sini berkata ia bertujuan untuk membantu anggota bagi memenuhi keperluan ekonomi mereka dan bayaran itu tidak akan menjejaskan hak para waris untuk menuntut pampasan berdasarkan undang-undang kemudian nanti.
"Ia (pampasan pendahuluan) akan dikira sebagai sebahagian daripada keseluruhan pampasan," kata MAS.
   
Menurut kenyataan itu, perkara berhubung pampasan kekal sulit dan rahsia, sehubungan itu MAS mengulangi ia tidak akan membincangkan apa-apa maklumat yang berkaitan secara terbuka, kerana menghormati anggota keluarga yang sedang bersedih.
   
Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
   
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.
   
Tiada apa yang dijumpai sejak pesawat Boeing 777-200ER itu hilang 57 hari yang lepas sehingga hari ini. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Pembantu rumah dilayan seperti selebriti

Seorang pembantu rumah warga Filipina dilayan bagai ‘selebriti’ apabila dia disahkan sebagai penumpang pertama yang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini malam kelmarin.

GEMMA mendaftar masuk sebagai penumpang pertama ke Manila dari klia2.
Lebih manis, Gemma Camarinta, 39, turut menerima kalungan bunga dan ucapan tahniah sebelum diraikan beberapa kenamaan termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad di kaunter daftar masuk jam 10.20 malam.
Gemma turut menjadi tumpuan lensa kamera malah, diserbu wartawan yang hadir bagi menemubualnya kerana menjadi individu pertama mendaftar masuk di klia2 pada hari bersejarah itu.

Dia yang ditemani adiknya Nezell Camarinta, 37, berlepas ke Manila, Filipina menggunakan pesawat syarikat penerbangan Cebu Pacific Airways 5J502 kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Gemma yang ditemui berkata, dia akui teruja dan terkejut serta tidak menyangka diisytiharkan sebagai penumpang pertama yang mendaftar masuk di klia2.

Menurutnya, dia juga memuji kemudahan di klia2 yang disifatkannya cukup selesa bagi sebuah terminal penerbangan tambang murah.

“Saya kerap menggunakan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum ini, namun kemudahan di klia2 jauh lebih baik dan selesa.

“Malah, saya turut mengggunakan kemudahan Express Rail Link (ELR) untuk ke sini tadi (malam kelmarin),” katanya yang akan pulang bercuti ke kampung halamannya di Bohol, Manila.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>