Monday, 24 March 2014

Berakhirnya kisah MH370

PM kita baru sahaja selesaikan memberikan sidang medianya. Satu yang jelas ialah MH370 tanpa ragu telah menjunam ke Lautan Hindi.

Dengan pengumuman ini, maka segala teori, ramalan bomoh dan pandangan yang kita bina selama ini terjawab. Teori yang paling tidak sesuai ialah teori konspirasi. Inilah teori yang sejak dari awal lagi tidak masuk di akal saya.

Tidak mungkin ada anak kapal yang bersedia untuk menjadikan diri dan 'nyawa' mereka bahan ujian sesiapa? 

Tidak mungkin ada negara yang bersedia menggunakan pesawat ini untuk mengkhianati mana-mana negara atau nyawa yang tidak berdosa? 

Tetapi kerana ramai dalam kalangan kita yang hidup dalam dunia yang penuh prasangka, maka kita pun mula membina pelbagai tafsiran sendiri. Inilah yang saya harap menjadi pedoman kita masa depan.

Isunya sekarang, mengapa MH370 tersasar begitu jauh? Apakah puncanya? Adakah kokpit terbakar yang menyebabkan terputusnya alat hubungan? Adakah sabotaj atau adakah perbuatan anak kapal yang menyebabkan terjadinya tragedi ini?

Kita tidak boleh menjawab pertanyaan di atas sehinggalah alat perakam data dan kotak hitam ditemui. Sehingga kita ketemui kotak ini, janganlah kita berteori lagi.

Hormatilah keluarga mangsa yang terlibat. Jangan lupa juga kita hargai kesungguhan pihak berkuasa dan pasukan penyiasat yang telah bertungkus lumus menyelesaikan misteri ini. saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka.

Kepada keluarga mangsa yang beragama Islam, Al-Fatihah dari saya dan kepada yang bukan beragama Islam, takziah dari saya.

Baca lagi >>

Ibu bapa suruh anak cerai isteri kena patuh?

Malam semalam sempat menonton sekejap rancangan Kalau Sudah Jodoh.

Ustaz dalam rancangan berkenaan hafizohullah menyatakan wajib taat kepada ibubapa sehingga jika anak lelaki diperintahkam ceraikan isterinya pun, anak wajib taat.

Beliau memetik kisah Abdullah bin Umar RA yang diperintahkan ceraikan isterinya oleh bapanya Umar Al-Khattab lalu Rasulullah SAW memerintahkan Abdullah bin Umar laksanakan arahan bapanya.

Saya ingin menyambung sedikit kisah berkenaan. Tidak dinafikan kisah itu sahih, diriwayatkan oleh Tirmizi dan bertaraf hadis sahih. 

Namun para ulama ketika memahami hadis ini tidaklah secara mutlak meletakkan hukum wajib ceraikan isteri apabila diarah oleh ibubapa.

Antaranya ialah Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyyah. Kedua-duanya menyatakan bahawa tidak boleh sewenang-wenang ceraikan isteri hanya semata-mata diarah ibubapa. 

Sehingga pernah ketika Imam Ahmad bin Hanbal ditanya tentang isu berkenaan mengajukan soalan, 

"Adakah bapa kamu seperti Umar?"

Dalam hal ini, perlulah dilihat juga kepada kemaslahatan untuk agama dan keadilan. 

Ini kerana Rasulullah SAW memerintahkan taat kepada Saidina Umar kerana keadilan Saidina Umar itu sendiri memang diyakini.
Sumber : AFS

Baca lagi >>